"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

KENAPA KISAH 2 MINGGU TERAKHIR SITI HAJAR DITULIS?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Seusai kelas tamat hari ini, 25 Mac 2014, Selasa, berhenti rehat sebelum ke lab petangnya, jam 2 hingga 5, saya melangkah ke Pusat Komputer di kampus tempat pengajian atas urusan akademik. Terpandangkan inbox pada email, lalu mengingatkan kembali pada pesan mak (mak kepada Hajar), katanya dia ada hantar email untuk saya baca. 

Mak, tak pernah pun jemu mengingatkan, berusaha meniupkan roh-roh dakwah agar ianya tidak terpadam dalam diri saya dan anak-anak muda, jiwa-jiwa muda yang seharusnya terus bergerak dan kencang dalam rentak dakwah. Namun, jiwa muda inilah yang selalunya lalai dan alpa, hanyut dalam hiburan yang sering melalaikan. 

Maka, tidak hairanlah lahir mujahidah seperti Hajar.. Sungguh akak cemburu padamu dek.. 

Saya kongsikan kepada anda, tulisan mak..

Allah...Allah...

Bismillahirrahmanirrahim

Pada awalnya kami keberatan menukilkan kisah perjalanan akhir Siti Hajar kerana bimbang disalahertikan. Sejujurnya kisah itu  terhasil dari permintaan Siti Hajar sendiri kerana rasa terhutang budi yang menggunung tinggi terhadap setiap insan yang telah membantunya selepas kemalangan itu, ditambah pula dengan permintaan yang kuat dari sahabat-sahabatnya yang ingin tahu perkembangan Siti Hajar semasa di dalam Hospital. Disebabkan sewaktu kemalangan itu berlaku, rakan-rakannya sedang menghadapi peperiksaan akhir, dan sukar pula untuk melawatnya kerana beliau di tempatkan di wad ICU. Terasa hiba hatinya melihat kesungguhan teman-teman melawatnya walaupun di waktu yang sungguh tidak sesuai. Sehinggakan, kedatangan pelawat yang terlalu ramai tersebut, telah mendatangkan rasa tidak senang pihak hospital.

Keikhlasan Siti Hajar dalam menjalankan tugas dakwah, `dibayar tunai ’ oleh Allah semasa saat-saat akhirnya. Lalu Hajar berharap agar pengalamannya itu dirakamkan dalam bentuk penulisan agar dibaca oleh rakan-rakannya sebagai `hadiah terakhir’ darinya bagi me’motivasi’kan rakan-rakan, para mujahid dan mujahidah di luar sana.

Apa yang ingin disampaikannya ialah janji Allah kepada mereka yang ikhlas berdakwah adalah benar. `Hadiah’ yang Allah sediakan untuk mereka sangat indah dan manis. Kerana sesungguhnya tugas dakwah itu sangatlah berat dan melelahkan, ramai yang patah semangat dan berhenti dipertengahan jalan. Lalu pengalaman Hajar ini adalah berita gembira yang Allah sampaikan kepada kita semua supaya jangan berputus asa dengan RAHMAT Allah yang tidak terhingga banyaknya. Pertolongan yang Allah beri juga adalah benar dan ada pelbagai cara ianya disampaikan. Menjadi tugas kita untuk memikirkannya dan bertasbih serta bertahmid mensyukuri nikmat-nikmatnya diatas pertolongan-pertolongan tersebut.

PERIBADI HAJAR

Gadis bertubuh kecil ini, pada zahirnya kelihatan pendiam tetapi kepada yang telah mengenalinya pasti tahu bahawa beliau sebenarnya seorang yang sangat positif dan periang. Mulutnya sangat petah berbicara dan kita boleh terpaku mendengar celotehnya tanpa sedar masa berlalu. Seorang pelawak berbakat semulajadi,  apa yang keluar dari mulutnya sering mencetuskan gelak tawa. Hati-hati  yang sedang berduka pun akan tersenyum mendengar butir bicaranya. Memang sukar untuk kita menahan gelak jika dia telah memulakan bicara. Biasanya dialah yang menceriakan suasana seperti katanya sendiri…`Bila dia ada, orang kata bising. Bila tiada….orang cari. Bila senyap, ditanya sakitkah? Bila dia dah pergi nanti….pasti orang akan rindukannya.’

Tidak sukar sebenarnya untuk bertegur sapa dengan gadis berwajah `baby face‘ ini. Umpamanya  mungkin suatu ketika, sedang anda berjalan, tiba-tiba anda disapa oleh seorang gadis yang bercakap seolah-olah dia telah mengenali anda sepanjang hayat. Dia sangat peramah dan kelakar. Kalau anda dari Kelantan, dia akan‘kece kelate’, jika anda dari Terengganu, dia akan gunakan bahasa ‘ganu kite’. Jika anda dari Melaka, dia tidak kekok berbahasa Melaka dan jika anda dari N.Sembilan, dia akan  berbahasa‘nogoghi’. Andai anda bermasalah, anda rasa selesa berkongsi masalah dengannya. Melihat airmukanya yang tenang dan wajahnya yang polos, terasa anda meyakininya. Dan dengan senyumannya yang murah, dia sentiasa cuba menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh kepada anda. Anda segera akan rasa selesa berkawan dengannya. Jika anda melakukan kesilapan dihadapannya, dia akan segera menegur dan membetulkan anda semula. Anda mungkin sebenarnya  telah pernah berjumpa dengan insan yang bernama SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR.

SEJARAH HIDUP

Beliau dilahirkan pada 27hb Jun 1993, di Hospital Besar Kuala Lumpur. Memulakan persekolahan pada usia 4 tahun dipelbagai Tadika Islam. Menjejakkan kaki ke Tahun Satu di SK Sungai Kantan  di Kajang. Seterusnya menyambung persekolahan di  Sek Madinatul Ilmi, Pondok Tok Kenali Kelantan di bawah kelolaan Ustaz Soleh, cucu Almarhum Ulama Tok Kenali, yang ketika itu baru pulang dari Mekah. Pernah setahun, iaitu semasa di darjah 5,  beliau belajar di  Madrasah Darul Taqwa,  Kuala Terengganu. Di sanalah, beliau diajar pengajian akademik bersepadu dengan sistem pondok. Pelajar dididik dengan akhlak yang baik, agar sangat mencintai Allah dan Rasul, menjaga hubungan sesama manusia serta menjaga ADAB di hadapan Allah, Rasul, ibubapa dan guru-guru. Hajar muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang di situ yang sangat disayangi oleh guru-guru dan rakan-rakan.

Sebagaimana lazimnya bagi seorang  pelajar pondok, menghafal surah-surah  munjiyat terpilih adalah diwajibkan. Di dalam Al Quran milik beliau, ada ditandakan surah-surah yang  dihafalnya iaitu Al Mulk, As Sajdah, Al Insan, Al Waqiah, Yassin, dan Ar Rahman sementara surah lain yang kerap dibaca seperti Al Kahfi, Al Baqarah, As Soff, As Saffat, Al Jumuah, Al Hujurat, Al Luqman, Al Maidah dan ‘Ali Imran. Surah-surah ini dibaca mengikut jadualnya sendiri: ada yang dibaca setiap hari sebelum tidur, pada waktu selepas solat dan ada yang dibaca bila berkesempatan kerana kekangan masa sebagai pelajar.

SEKOLAH MENENGAH

Seterusnya beliau menyambung pengajian peringkat menengah di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Kelantan. Di situ beliau mula diasuh untuk berdakwah tetapi kerana umur yang belum matang, semua itu dipandang ringan. Tugas dakwah dilepaskan pada` senior’ yang lebih syadid.

Semasa masuk ke Tingkatan 3, tempoh kerja ayahnya di Pantai Timur telah berakhir dan Siti Hajar dipindahkan ke SMK Lubok Cina Melaka. Bertukar dari Sek Agama Perempuan ke sekolah kebangsaan memang satu kejutan budaya bagi beliau. Di sini, terlalu banyak masalah di kalangan remaja sekolah yang disaksikannya .Kelemahan akhlak di kalangan remaja terlalu ketara. Sedikit demi sedikit beliau mula berdakwah secara bersendirian di kalangan pelajar-pelajar perempuan. Segala ilmu yang dipelajarinya di sekolah lamanya dimanafaatkan sebaik-baiknya. Dia bagaikan kaunselor yang merawat jiwa-jiwa yang hilang arah. Pelajar-pelajar yang terluka kerana ‘cinta monyet’ diajak bertaubat dan  dipujuk mendekati Allah. Rahsia-rahsia mereka disimpannya dengan teliti. Yang mana tidak mampu mengaji Al Quran, diajarkan dengan sabar malah beliau menjadi Naqibah di asrama, membantu Ustazah mengendalikan kelas mengaji. Masa berlalu, semakin ramai yang mendapat `sentuhan jiwa’ dari beliau termasuk dari kalangan pelajar-pelajar  lelaki. Hajar mula rasa terbeban bergerak sendirian kerana persatuan ugama di sekolah tidak cukup memainkan peranan yang sepatutnya. Fikirnya alangkah baik kalau ada Jemaah yang sama-sama memikul gerakan dakwah di sekolahnya pada masa itu supaya pelajar lelaki boleh dibantu oleh kaum sejenisnya sementara pelajar perempuan dibantu oleh sesama perempuan.

KOLEJ MATRIKULASI MELAKA

Doa Hajar diperkenankan Allah. Menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Melaka adalah RAHMAT Allah untuk memudahkan kerja dakwah beliau. Di sini, beliau dihimpunkan dengan rakan-rakan yang sama bercita-cita untuk melihat Islam tinggi di muka bumi ini. Beban yang berat terasa ringan apabila dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Dipilih sebagai Naib Exco Publisiti di dalam Nadi Tarbiyah Pelajar, yang bertanggungjawab mempromosikan aktiviti-aktiviti Nadi Tarbiyah. Alhamdulillah, semua tugasan yang diberi, disempurnakan dengan baik dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Tugas dakwah menjadi semakin menyeronokkan bila usaha mereka mula membuahkan hasil. Antara kejayaan terbesar Nadi Tarbiyah Pelajar  sepanjang setahun itu ialah mengubah majoriti pelajar perempuan agar bertudung dengan sempurna dan meramaikan pelajar lelaki bersolat jemaah. Dan diantara kursus yang paling bermanafaat yang dianjurkan oleh NTP ialah kursus pengurusan jenazah. Apa yang indahnya ialah apabila Hajar yang mengikuti kursus tersebut, menggunakan pengetahuannya itu dalam menghadapi sakaratulmautnya sendiri dan rakan-rakannya yang turut serta dalam kursus tersebut adalah rakan-rakan yang turut memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan jenazahnya. Dulu itulah ikrar mereka, jika mereka telah terpisah, andai ada yang mengadakan walimah, maka datanglah memeriahkan suasana. Tapi andai ada yang dijemput Allah, maka datanglah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Belajar di UTeM

Timbulnya minat untuk mempelajari MEDIA KREATIF sebagai pilihannya di UTeM, supaya mudah beliau menyampaikan dakwahnya melalui media elektronik; menggunakan watak-watak animasi dan satira. Waktu itu nanti, ruang lingkup dakwahnya tidak terbatas kepada khalayak perempuan sahaja tetapi merangkumi kedua-dua jantina di seluruh dunia. Baru sepenggal menjadi penghuni bumi bertuah UTeM, Hajar belum dapat mencurahkan baktinya. Namun dia sempat mengambil bahagian di dalam setiap program yang dianjurkan oleh BADAR. Mungkin kerana terlalu teruja untuk mempelajari teknik-teknik  pembikinan video, dia cuba menyiapkan video pertamanya untuk kami saksikan. Janjinya, nanti dia akan membaiki lagi mutu videonya bila ilmunya bertambah dan secepat mungkin dia akan mula berdakwah di internet. Malangnya, umur beliau telah sampai ke penghujungnya.

Bagaikan tahu hayatnya semakin singkat, sebelum kemalangan tersebut, beliau sempat menghubungi rakan-rakan lamanya dan berpesan agar mereka meneruskan dakwah tanpa henti. Pada muslimat, ditekankan bersungguh-sungguh agar terus kuat dan agar meletakkan malu pada tempat yang sesuai. Padanya muslimat perlu berani dan lantang bersuara pada waktu yang sepatutnya, perlu yakin mengeluarkan pendapat dan tegas dalam menjalankan tugas dakwah. Seolah-olah beliau ingin berpesan, `saya akan pergi dan kamu semua adalah pengganti saya’. Ramai rakan-rakan lamanya telah terkesan hebat dengan obor semangat yang dibakarnya dan mereka sedang bergerak aktif di saf kepimpinan Islam universiti-universiti seluruh Malaysia.

Pada Hajar, apapun pandangan orang lain terhadap kerja dakwahnya, tidak berbekas dihatinya kerana apa yang penting adalah REDHA Allah sahaja.

PERANAN HAJAR SEBAGAI PENDAKWAH WANITA

Terdapat perbezaan yang jelas antara peranan Dakwah seorang  lelaki dan seorang wanita. Tugas pendakwah lelaki lebih berat dan menyeluruh. Dia lebih terkehadapan sementara seorang wanita tugasnya lebih banyak dibelakang tabir. Wanita menjadi tulang belakang yang menguatkan kerja dakwah seorang lelaki. Seorang pendakwah wanita harus tahu ruang lingkup medan dakwahnya supaya penglibatannya tidak mendatangkan fitnah. Dia harus tahu batasan-batasan yang tidak boleh dilanggarnya semasa berdakwah. Janganlah hendaknya kerana ingin berdakwah, kita menghalalkan segala cara.

Kebijaksaan pendakwah wanita memilih medium untuk berdakwah terutamanya kepada golongan wanita sendiri, akan memudahkan Islam disebarkan dengan meluas dibumi ini dan ajarannya difahami dengan mudah. Pendakwah wanita harus melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya fiqh untuk wanita. Hajar memainkan peranan yang cemerlang dalam merangsang dakwah kaum wanita turut menggerakkan kaum lelaki terutama sekali ayah dan adik-adik  lelakinya yang In Shaa Allah, kini sedang giat mempersiapkan diri menyambung tugasan dakwahnya.

HAJAR SEBAGAI SEORANG ANAK

Adalah sukar untuk memahami bagaimana seorang anak yang telah remaja, masih mempunyai ikatan perasaan yang begitu kuat dengan orang tuanya. Hajar amat menghormati ibubapa dan setiap hari dia meraikan ibunya. Hampir setiap hari dia menghantar pesanan ringkas,  berkongsi pelbagai cerita yang dilaluinya. Padanya, ibu bukan sekadar ibu yang melahirkan, tapi juga sahabat karib, guru dan mentornya dalam mengharungi hidup. Beliau berkongsi minat yang sama dengan ayahnya dalam bidang komputer serta mengambil bakat ayahnya dalam watak ceria dan gurau sendanya. Dalam banyak hal, pandangan ibubapa tidak pernah diketepikan dan sentiasa minta didoakan yang terbaik untuknya.

Kami pernah menyarankan agar dia menjadikan cara dakwahnya seperti serbuk kopi yang  mampu mengubah air dengan lembut dan tanpa paksaan. Tuntasnya, agar dia menyampaikan ilmu dengan berHIKMAH dan lemah lembut dan supaya orang ramai `jatuh cinta’ dengan Islam selepas melihat peribadi indah yang ditonjolkan oleh penganut islam itu sendiri. Kerana itu, sentiasa kami katakan kepadanya, kami ikhlaskan hidup matinya di jalan Allah, agar dia sendiri IKHLAS dalam setiap tindak tanduknya. Juga kami pesankan, dakwah yang disampaikan dari hati yang ikhlas itu bagaikan cahaya,  akan mudah meresap masuk  ke dalam hati-hati yang mendengarnya.

PAHIT GETIR PENGALAMAN SEORANG PENDAKWAH

Namun Allah tidak menjanjikan laluan mudah kepada para pendakwah. Sesiapa yang mengaku beriman, pasti Allah datangkan ujian untuk melihat sejauh mana keimanan hamba tersebut. Di Kolej Matrikulasi Melaka, Hajar terkena gangguan jin (bukan kerasukan) sehingga tubuhnya kerap kelesuan. Kami merawat beliau menggunakan rawatan islam dan kami titipkan zikir- zikir untuk diamalkan bagi melindungi dirinya dari gangguan tersebut. Itulah hikmah disebalik kejadian. Zikir-zikir  yang diamalkan  dari gurunya Dato’  Sheikh Hj Mohd Murtadza bin Sheikh Hj Ahmad, mantan mufti Negeri Sembilan, menjadi sebati dengan diri dan mendekatkan hubungannya dengan Allah.

Sejak itu Allah sentiasa di hatinya. Sentiasa dia memerhatikan alam sambil menghayati kebesaran Allah. Sentiasa terasa Allah berada disampingnya, membantunya dalam setiap perkara. Setiap urusannya diadukan kepada Allah. Allah dipilih sebagai pelindung dalam setiap musibah yang datang. Di situ bermulanya kisah cinta hakiki seorang makhluk kepada penciptanya. Sehinggakan saat-saat  kematiannya bagaikan saat yang mengembirakan, saat yang sentiasa ditunggu-tunggu dan tanpa rasa berat hati, dia terus minta izin untuk melangkah pergi. Bagaikan sebelum pemergiannya itu, Allah telah dulu menghiburkan hatinya dengan mempamerkan anugerah-anugerah yang indah. Kerana itu, di wajahnya tiada terpancar sebarang kebimbangan dan dalam kesakitan, senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.

BERITA DARI ALLAH

Maha suci Allah yang Maha Mengasihani, sebulan sebelum kemalangan tersebut,  Allah telah menyampaikan berita  bahawa Hajar akan diambil kembali untuk bertemu penciptanya. Dalam mimpi ibunya, Hajar  telah dipakaikan pakaian pengantin keemasan dan tetamu yang hadir memenuhi seluruh ruang dewan yang amat besar. Walaupun pelbagai ikhtiar telah dilakukan tapi ajalnya sudah tidak boleh ditangguhkan lagi. Dia pergi membawa hatinya yang suci bersih dan meninggalkan semangat juangnya untuk diteruskan oleh seluruh rakan-rakan yang ditinggalkan. Lahirnya dulu pada hari Ahad 8hb Muharram, perginya pula juga pada hari Ahad 8hb RabiulAwal.

AKHIR KATA

Jika anda menyayangi Siti Hajar, dia juga menyayangi anda sebagai saudaranya kerana orang Islam itu bersaudara. Siti Hajar mencintai Allah dan Rasulnya, maka anda juga cintailah apa yang dicintainya. Jika anda menyanjung Siti Hajar, maka dia tidak layak untuk menerima sanjungan itu. Dia juga manusia seperti anda yang pernah melakukan kesilapan. Beliau hanya meneruskan jejak dakwah idolanya iaitu Nabi Muhammad s.a.w., maka ambillah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai idola anda.

Hajar sebagai seorang mujahidah, terlahir dari hasrat seorang ayah yang mahu anaknya menjadi pembela Agama Islam, lalu berkorban segala-galanya untuk pendidikan anak tersebut. Hasrat tersebut dipermudahkan oleh Allah dengan menghantarkan dia untuk dididik oleh guru-guru yang hebat dan dibimbing oleh senior-senior yang lebih berpengalaman. Seterusnya tugas beliau disokong pula oleh kehadiran sahabat-sahabat yang suci bersih hatinya dan ikhlas di dalam persahabatan.

Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk dari kelemahan kami sendiri. Semoga setiap yang mendengar perkongsian  ini mendapat taufiq dan hidayah dari Allah dan mengambil pengajaran yang berguna darinya. Amin 3x …Ya Rabbal ‘Alamin.

                            ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~