"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

Selamat Datang Mahasiswa/i Baru Kemasukan Ijazah 2012/2013 ke UTeM


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt
     
 Alhamdulillah. Bersyukurlah ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi dua nikmat terbesar iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman pada hari ini. Tidak lupa juga nikmat kesihatan, yang mana dengan kesihatan tubuh badan yang baik mendorong kita untuk melaksanakan lebih banyak perkara-perkara yang berfaedah selagi mana tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda r.a.

Di kesempatan ini, ingin saya ucapkan Selamat Datang buat mahasiswa dan mahasiswi baru sesi 2012/2013 bagi program Ijazah Sarjana Muda ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Tahniah dan syabas kerana memilih dan terpilih untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu di sini. Sungguh, pemilihan anda ke sini adalah pilihan dari Allah swt.

Siswa siswi yang dikasihi sekalian,
Gunakanlah ‘tiket kebebasan’ di alam kampus ini untuk terlibat aktif dalam proses menuntut ilmu dan meng’upgrade’ diri sebagai mahasiswa UTeM yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam ilmu duniawi (keduniaan) iaitu kejuruteraan, ICT, dan pengurusan, dan ilmu ukhrawi (akhirat). Sahabat Rasulullah saw iaitu Saidina Ali r.a pernah berpesan, sesiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang menginginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang menginginkan kedua-duanya juga hendaklah dengan ilmu.
Di dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.
   
Disini segalanya bermula, lakukanlah perubahan yang baik untuk diri, keluarga dan masyarakat. Tanpa langkah pertama, kita tidak akan sampai ke mana-mana. Oleh itu, sekali lagi ucapan tahniah dan syabas buat kalian. Kedatangan kalian amat dialu-alukan. Bak kata pepatah, 'Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.' Insyaallah, kita akan bertemu nanti, terutama di program-program anjuran Badar UTeM yang mendatang. 

      Akhir kata, selamat maju jaya saya ucapkan dan masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin diucapkan kepada semua. Jangan lupa puasa enam bagi yang belum melaksanakannya. Banyak ganjaran dan kelebihannya. Selamat Beramal.

Dari saya,
NOR NADIA BINTI ZAKARIA,
NYDP 2 Badar UTeM 2011/2012.
"With Ukhuwah,We Care"


Tiada ulasan:

Catat Ulasan