"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."
Memaparkan catatan dengan label Fatatul Muaddibah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fatatul Muaddibah. Papar semua catatan

Juang Seorang Ummi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera buat pembaca yang masih saya ingati. 

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah, yang memberi kita nafas, beri kita segala-segalanya yang kita ada pada hari ini. Tidak terkira banyaknya nikmat yang Allah beri. Allah sayang kita.. Allah sayang kita 24 jam dalam sehari. Subhanallah.. Kasih sayang Allah terbukti dengan segala nikmat dan ujian yang Allah beri untuk hambaNya. 


Pembaca sekalian,
Terima kasih, kerana masih sudi membaca nota-nota biasa dari saya. Yang adakalanya mungkin, memberi manfaat, dan mungkin adakalanya bicara kosong. Dan mungkin, adakalanya bicara saya tidak mampu saya buktikan melalui perbuatan iaitu amal. Malah, anda semua jauh lebih baik dari diri saya yang penuh dengan kelemahan, penuh dengan kealpaan dan kekurangan ini. 

Sahabat pembaca yang dirahmati Allah sekalian, 
Dunia kita, hanya kita yang mengerti, namun jangan kita menggunakan alasan itu untuk tidak mengerti dunia orang lain. Adakalanya kita perlu mendalami dunia orang lain, agar kita punya jiwa simpati dan terpancar sifat bantu membantu dan tidak pentingkan diri. 

Dalam realiti kita sebagai seorang isteri, adakalanya kita memandang suami tidak itu dan tidak ini, sedamgkan jika kita pandang semula, bukankah dia telah buat itu dan buat ini, telah korbankan itu dan ini, telah mengusahakan itu dan ini.

Dalam realiti kita sebagai seorang anak, adakalanya kita memandang ibu dan ayah kita tidak itu dan tidak ini, tidak mengerti dan tidak mahu memahami. Walhal, kitalah yang tidak menghargai setelah apa yang mereka berikan kepada kita segala-galanya. Manakah sangka baik kita? Manakah rasa sayang kita terhadap mereka kita letakkan? Sampai bilakah kita mahu berbuat salah terhadap mereka?

Dalam realiti kita sebagai seorang ibu, atau seorang bapa, kita terlalu mengharap agar anak kita itu dan ini. Anak kita seperti anak orang itu dan anak orang ini. Kita terlalu mengikutkan hati. Terlalu mahu dipenuhi. Sedangkan, tanpa kita sedari, kitalah yang mencotak zuriat kita, dan itulah mereka yang kita ada. Baik buruk mereka datangnya dari doa kita....


Sahabat pembaca yang dikasihi sekalian,
Syukurlah kita dengan apa yang kita. Bertuturlah yang baik-baik. Usahakanlah amalan yang baik dan istiqamahlah. Ingatlah Allah.. Istighfarlah kerana kita banyak silap.... Mungkin banyak yang tidak kita dapat laksanakan... Mintalah bantuan Allah.. "Ya Allah... bantu aku dalam memikul segala amanah yang dipikulkan di atas bahuku ini ya Allah...."

Sungguh, amanah itu berat... amanah di tempat kerja, amanah membentuk seorang anak.. amanah menjaga makan minum pakai harta suami... amanah menjaga ibu bapa yang semakin tua dan menjengah usia.... 

Hanya Allah yang tahu keupayaan kita. Biar apa orang nak kata, asal kita ingat, Allah kan ada.... Allah mahu tahu....

Hanya sedikit bicara mengisi ruangan yang ada.
Teruskan perjuangan di dunia, JANGAN LUPA SAYA nanti di akhirat sana........

NADIA MUJAHIDAH 
Saya masih di sini meneruskan langkah, mungkin lemah, tapi terus berusaha gagah.
TERUS TEGUH wahai mujahid mujahidah!

Wassalam.

Wahai Al-Fatehku!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera buat pembaca sekalian!!

Allah, rasa semangat pulak kalini nak menulis dan nak berkongsi. Sevelum itu, kalian dan saya, mari sama-sama kita senyum seketika, hadirkan rasa syukur kepada Allah, sebab Allah bagi kita apa yang kita ada pada hari ini. Dan yang paling penting, Allah sentiasa ada untuk kita, sentiasa dan selama-lamanya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang dirindui. Mana tidaknya, kita ni asyik dengar kisah baginda, hanya tahu dan setakat yang kita kenal, insan ini teramatlah hebat, insan ini teramatlah banyaj berkorban untuk kita supaya kita dapat masuk syurga. Akhlah insan ini, teramatlah mulia. Kalau ada baginda bersama dengan kita, uih..... macam mana lah agaknya. Bayangkan betapa tenangnya kita kalau dapat lihat wajah baginda! Sollu 'alannabiy!

LAHIRNYA ANAKKU PADA 18 FEBRUARI 2016
Pertama sekali, izinkan saya berkongsi berita gembira akan kelahiran anakku dan suami, dengan izin Allah, diberi nama Hadif Irfan Bin Harith Iskandar. Terngiang lagi saat ini pertama kali mendengarkan suara tangisannya, dengan perasaan yang... tak tahu nak gambarkan bagaimana, subhanallah, dan pertama kali melihatkan dia. Alhamdulillah, terima kasih buat semua yang mendoakan, terima kasih buat suami yang menemani dengan penuh setia, tak putus memberi semangat walaupun mungkin semangat beliau sendiri teruji, terima kasih buat semua ahli keluarga yang menemani di hospital, yang tak makannya kerana teramat risau, mata bengkak menangis kesayuan, doa yang tak putus-putus agar saya dan anak selamat. Sungguh, benarlah pernah dipesan oleh emak Hajar, bahawa melahirkan adalah suatu perjuangan. Bukan mudah. Yang mana, andai mati maka syahid. 

"Abang nak bagi gelaran pada anak-anak kita nanti," perbualan kami masa tu di dalam kereta. 
"Jadi yang pertama kita bagi al-fateh," suami tersenyum kerana rupanya idea kami sama. Pertama, saya sendiri mengagumi tokoh Islam yang satu ini, kedua kerana Hadif adalah pembuka bagi kami berdua. Dia yang sulong. "Ibubapa hendaklah membentuk falsafah hidup anak-anak supaya apabila keluar nanti, dia tidak mencari falsadah hidupnya dari teman-teman," lebih kurang begitulah pesan ustaz yang pernah saya dengar. 

TOKOH ISLAM SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
Beliau ialah sultan ketujuh Khilafah Islamiah Othmaniyah. Beliaulah pembuka kota Constantinople atau yang dikenali hari ini sebagai Istanbul. Ketika itu beliau baru menjangkau usia 26 tahun. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Keadaan inilah yang pernah dibayangkan oleh baginda s.a.w. ketika dalam perang Khandak. Antara lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”  Ketika ayahnya menjadi sultan, beliau dilantik menjadi gabenor di Magnisa. Setelah kematian ayahnya, Sultan Muhammad al-Fateh dilantik menjadi pemimpin kerajaan Uthmaniah iaitu pada bulan Februari 1451. Dengan pelantikan ini bermakna beliau merupakan seorang pemimpin termuda yang pernah dilantik. Walaupun baru berusia 22tahun, beliau berjaya membawa kecemerlangan dalam pemerintahannya.

KETINGGIAN PERIBADI
Kekuatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Hal ini demikian kerana ketika usianya kecil lagi sudah diajar menunggang kuda, memanah, dan menggunakan pedang. Namun didikan rohani mendapat perhatian serius dan dorongan penuh daripada ayahnya. Beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama terulung antaranya ialah al-Syeikh Muhammad bin Ismail al-Kurani. Beliau mengajar Sultan Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu al-Quran, al-Hadith, fiqh, linguistik (bahasa Arab, Parsi, dan Turki), dan juga ilmu kemahiran yang lain. Melalui tarbiah yang teliti dan penuh terhormat, tidak hairanlah lahir peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad al-Fateh banyak meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Constantinople. Beliau sering mengikuti ayahnya ke medan peperangan. Sebab itu ketika menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Dalam hal ini, beliau banyak mengkaji sejarah Islam zaman Muawiyah bin Abi Sufian r.a.

Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah s.a.w. dalam peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad al-Fateh mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran, dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan. 

WAHAI AL-FATEHKU!
Ya Al-fateh, kau lahir dan akan ada sikapmu tersendiri, sifatmu tersendiri, dan apa adanya pada dirimu adalah keistimewaan bagi ummi. Ummi dan abi mengharap agar kami dapat memdorongmu menjadi yang terbaik. Mudah-mudahan umurmu panjang dan diberi kesihatan yang berpanjangan. Buat yang masih belum direzkikan anak, saya doakan mudah-mudahan giliran kalian akan tiba. Buat yang sudah memilikinya, jangan dibuang merata, jangan dipersia kehadirannya, walau susah bagaimana, insyaallah rezki untuknya pastikan ada. Buat yang telah kehilangan, sukarnya dirasa, namun saya yakin, mudah-mudahan kalian kuat menhadapinya. Buat yang diuji kesakitan anaknya, mudah-mudahan dipanjangkan umur dan diberi kesembuhan. Jangan berputus asa. Segala-galanya datang dari Allah. Semoga kita sentiasa usahakan yang terbaik walau dimana posisi kita berada. Insyaallah.

*http://tokoh1038.blogspot.my/2005/08/sultan-muhammad-al-fateh.html



MALAS?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera


Seperti biasa, saya ingin mengajak semua pembaca dan me'remind' diri saya sendiri agar rasa syukur dengan setiap kurniaan Allah sama ada berbentuk nikmat kebaikan mahupun nikmat ujian. Syukurlah! Syukurlah!

ENTRI YANG PENDEK
Blog saya masih gagal saya urus dengan baik. Mungkin malas, mungkin kesibukan sedikit, mungkin takde idea dan sebagainya. Macam-macam alasan ada. :) Namun, kali ini saya usahakan juga dengan entri yang pendek ini. Tentang apa? Tentang malas.

MALAS MA NAK LAYAN
Hehe, lucu dan tertarik perbualan Matlutfi bersama mamanya di dalam phone. 

"Apabila saya malas, saya akan call mak saya,"

"Ma, Mamat malas,"

"Malas apa?"

"Malaslah. Malas study, malas makan, malas tidur," kalau tak silap antara yang disebutkan oleh Matlutfi di dalam video.

"Malas mak nak layan," 

hehe. Berapa kali tengok pun video ni, mesti saya tergelak part ni. Hehe. Memangpun, memang malas pun nak layan orang yang malas kan. hehe. 

Tidak terkecuali, saya juga pernah mengalami rasa malas seperti ini. Memang teramatlah malas.



BAGAIMANA MAHU ATASI SIFAT MALAS?
Teringat suatu ketika dulu pernah mengikuti kursus Motivasi Alihan Pelajar (MAP Training), Dr. Asmadi pernah berpesan, malas ini ubatnya adalah 'make a move.' Itulah ubat malas. Maka, jika rasa malas, kita kena bergerak. Insyaallah, hilanglah malasnya tu. 

Selain itu, kita juga haruslah berdoa. Mohon janganlah ada sifat buruk ini dalam diri kita. Antaranya ialah doa yang terdapat di dalam al-mathurat;


Yang maksudnya, "Ya Allah, aku berlindung denganMu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari kedekut dan perasaan takut dan dari desakan hutang dan paksaan orang."

JAUHI MALAS DENGAN CARA JAUHI SAHABATNYA
Malas, siapa sahabat karibmu?



Nanti dulu...




Setelah 5 minit...




Malas, tak ada jawapan lagi?!




Kan dah kata nanti dulu...




Setelah 1 jam...




Oi Malas, soalan mudah ini pun tak leh jawab ke!?




Kan dah kata... nanti dulu. 




Nanti dulu nanti dulu nanti dulu... Nak tunggu sampai bila? Memang dasar orang tak rajin.




Oi! Nama sahabatku namanya "Nanti dulu" -- apa bahasa yang kau tak faham?!


*Dari wall Facebook Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)

PENUTUP

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)

[al-Nisa’ : 142]






MILIKI SALAH SATU AKHLAK NABI MUHAMMAD SAW IAITU TIDAK MUDAH MARAH


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. jari letak di hidung, ada nafas lagi, maknanya Allah beri lagi nikmat untuk bernafas, dipanjangkan usia untuk memperbaiki diri lagi. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga dan para sahabat baginda.

BERTEMU BEKAS GURU SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA JOHOR BAHRU SEKETIKA
Suatu hari saya bertemu seorang guru yang saya sangat rindui bual bicaranya, nasihatnya, yang saya panggil namanya Ustaz Hakim. Sejak saya meninggalkan sekolah, Ustaz Hakim rajin sungguh menghubungi anak-anak muridnya termasuklah saya. Namun, saya sangat terkilan kerana saya sendiri yang sudah lama tidak menghubungi Ustaz Hakim. Ustaz sering bertanya khabar sekurang-kurangnya setahun sekali sejak 2008 saya meninggalkan sekolah! Sikapnya bagaikan satu gambaran bahawa dia bukan hanya seorang guru, malah seorang pendidik, yang banyak membentuk sikap saya dan menegur kekurangan saya sebagai seorang anak muda.

Selepas saya meninggalkan sekolah, ustaz mengalami masalah mata. Setelah sekian lama tidak bertemu, akhirnya diizankan Allah untuk bertemu dengan ustaz di mana dia sedang bertugas iaitu Sek Men Keb Sri Menanti, Muar. Sedih melihatkan keadaan ustaz. Mohon kalian doakan ustaz saya agar dapat kembali melihat semula. Penglihatannya begitu kabur.

“Doakanlah saya supaya dapat melihat semula. Saya teringin sangat nak baca quran. Saya bayangkan wajah awak ni masa sweet 17th lagila..” seloroh ustaz buat saya tersenyum lebar disamping airmata yang bergenang. Permintaannya sama seperti semasa dia menghubungi saya, katanya rindu mahu membaca al-Quran.

“Akhlaknya sama ye macam dulu? Masih pakai tudung labuh lagikan?” sayu hati saya mendengar bicara Ustaz Hakim.

 Gambar bersama Ustaz Hakim di Langkawi. Ketika ini Ustaz masih mampu menikmati keindahan pemandangan di sini.

Kerana kepercayaan sekolah dan usaha Ustaz, saya ke sana bersama Ustaz dan seorang lagi wakil dari kalangan pelajar lelaki.

Ketika Abang Raja Shamri datang ke sekolah, saya sebagai pengarah program. 

MUHASABAH AKHLAK
Pada 25 Januari yang lalu, saya mengikuti program bersempena maulidurrasul di SMKAJB. Bagaikan suatu hikmah menjentik hati memuhasabah diri, sejauh manakah peranan yang telah saya mainkan sebagai bekas pelajar sekolah agama di dalam masyarakat hingga ke hari ini?

Di sekolah, saya merupakan salah seorang ahli Badar. Badar? Ya, Badar, Badan Dakwah & Rohani.

“Apa beza yang Badar dengan bukan Badar ek?” lucu pula bila teringat soalan yang saya tujukan kepada salah seorang pelajar tingkatan 5 semasa aktiviti explorace. Sudah 6 tahun berlalu, sekolah tersebut menjadi memori. Kini pandangan saya berubah. Bagi saya, mereka ahli Badar sekolah ataupun tidak, mereka semua adalah Badar. Ya, di kampus, seharusnya merekalah yang menganggotai badan-badan dakwah!

“Owh saya kenal akak..” semasa berbual dengan salah seorang alumni generasi di bawah saya. Alangkah tidak pekanya saya tidak mengenali adik ini.

“Owh kenal eh? Yang selalu marah-marah kat atas kan?” perbualan kami ketika itu di surau sekolah. Surau sekolah memang besar, selesa, dan menjadi tempat kami solat berjemaah bersama-sama setiap waktu solat. Herm, ya, setiap waktu solat, rindunya.

“Haah kak, hehe,” dia tersengih. Saya juga tersengih, tapi tersengih kelat. Terbayang. Mempersoalkan. Muhasabah. ‘Apalah aku ni, masa tu marah-marah, buruknya.’

JANGAN MUDAH MARAH, MILIKI JIWA YANG TENANG
Di dalam Kuliah Zohor di TVAlhijrah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Radhi Bin Abdul Ghani mengatakan, sedangkan Islam mengajar kita untuk berakhlak tenang, tidak mudah marah. Hidup yang tenang akan tenteram. Kerana itu, Islam mengajar kita untuk berakhlak sedemikian.

Sewaktu di sekolah, (hatta mungkin juga sekarang), ramai yang apabila pertama kalinya bertemu dengan saya mengatakan saya ini garang, takut nak mula sapa. Allahu.. biasanya saya yang mulakan ‘sesi perkenalan’ bersama teman-teman baru. First impression.

Sebenarnya, apabila kita tidak mudah marah, kita akan mudah didekati. Namun, bagaimana untuk kita mengawalnya?

Pertama, bila rasa nak marah, ucapkan isti’azah atau ta’awuz iaitu A’udzubillahi minasy syaithanir rajim yang bererti aku memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. Kita perlu mengucapkannya dengan penuh penghayatan dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan perlindungan.

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi saw, dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah A’udzubillahi minash syaitan, nescaya kemarahannya akan hilang. [Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3282 (Kitab Bad’I al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya]

Kedua, bersegeralah berwuduk. Kerana lawan api adalah air.
“Kemarahan itu dari syaitan, sedangkan syaitan tercipta dari api, api hanya boleh padam dengan air, maka kalau kamu marah, berwuduklah.” [HR Abu Daud]

Ketiga, jika sedang berdiri, duduklah. Jika sedang duduk, berbaringlah.
Al-imam Ahmad dan Abu Dawud meriwayatkan hadis dari Abu Dzar bahawa Nabi saw bersabda: “Apabila salah seorang di antara kalian marah dalam keadaan berdiri duduklah, jika belum hilang maka berbaringlah.”

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredhai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredhai.”

Update, kita tengok balik diri kita, then upgrade, perbaikilah. Mudah-mudahan kita jadi seorang anak muda yang semakin hari semakin baik akhlaknya. Mudah-mudahan insyaallah. Saya yang menyampaikan bukan bererti saya yang paling baik akhlaknya. Wassalam