Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera!
Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulilllah, bersyukur tidak terhingga kita kepada Allah swt atas segala nikmatNya, segala perhatianNya, dengan kasih sayangNya dan kehadiranNya sentiasa bersama kita, hamba Allah swt ini. Hamba yang sesungguhnya, hakikatnya sentiasa memerlukan Dia.
Apa khabar pembaca sekalian?! Mudah-mudahan sentiasa dalam lindungan rahmat kasih sayang Allah hendaknya. Semoga kita masih dalam usaha yang tidak putus-putus bermuhasabah diri dan mencari-cari jalannya untuk kita peroleh keredhaan Allah dalam kehidupan di dunia menuju akhirat. InsyaAllah ye pembaca sekalian....
Baiklah, dalam entri pada kali ini, merupakan apa yang telah lama saya ingin kongsikan, dan alhamdulillah, saat ini berkesempatan. Alhamdulillah. Tajuk yang saya beri pada entri saya kali ini adalah, "Dua Ramadhan".
Pada suatu hari, saya mengenali seorang lelaki, lalu jatuh hati padanya. Jatuh hati pada apa yang ada padanya. Sekadar apa yang diketahui dan dikenali tentangnya saat itu. Di situ bermulanya istikharah. Istikharah tentang... bersediakah dengan pernikahan? dan istikharah, adakah dia calon yang tepat?
Sepanjang perkenalan itu, sering hadir teka teki, tarik tali dari empunya diri, perbincangan keluarga dan teman-teman, adakalanya meyakinkan, dan adakalanya meragukan. Setiap kali ragu, istikharah menjadi jalan penyelesaian. Setiap kali selesai solat, sering mendapat kepastian dan ketetapan hati.
Itulah Ramadhan pertama, tahun 1435H iaitu pada tahun 2014, saya nekad, ingin sekali mendapat jawapan. Adakah dia lelaki yang akan mengambil saya sebagai istrinya? Pembaca sekalian, saya berkongsi agar kalian yakin, bahawa istikharah itu sangat indah. Jika itulah orangnya, akan didekatkan, jika bukan maka akan dijauhkan. Saya pernah gagal dalam perhubungan sebelum itu, dan dengan istikharah juga dia semakin jauh. Dan dengan istikharah juga, yang didekatkan adalah yang kini menjadi suami saya.
Ramadhan tahun itu, setiap hari saya wajibkan diri saya untuk menunaikan solat taubat, agar dosa bukan menjadi penghalang antara kita dengan Allah wahai pembaca sekalian. Istighfarlah walau sependek "Astaghfirullah" sebanyak 100x. Dan kemudian dirikanlah solat Hajat, mohon hajat kita, mohon jangan biar kita sendirian di dunia ini. Dan kemudian, dirikanlah solat Istikharah. Mohonlah petunjuk, daripada Allah, "Ya Allah, jika dia baik untukku, baik untuk agamaku, baik untuk keseluruhan penghidupanku, maka dekatkan dia denganku, tetapi andai dia tidak baik untukku, tidak baik untuk agamaku dan tidak baik untuk keseluruhan penghidupanku, maka jauhkanlah dia daripadaku, dan gantikanlah tempat dengan yang lebih baik ya Allah." Saat itu, dan hampir setiap saat itu, air mata akan mengalir.... kerana terasa sebak... betapa terlalu perlunya pada Allah di saat itu. Dan seusai itu, hati menjadi tenang... Seakan telah diserahkan segalanya yang terbaik akan hadir daripada Allah.
Semakin hari, dia semakin rapat dengan keluarga. Semakin banyak petunjuka diperoleh. Sehinggalah pada suatu hari, "Ibu, saya nak masuk meminanag yaya... Boleh tak bu?"
Dan sehinggalah ke suatu saat yang lain.... "Along, Harith, ibu dah bincang dengan keluarga, dan keluarga semua setuju, bulan 3."
Dan sehinggalah ke suatu saat yang lain lagi..."Bulan 3 tu... 6hb Mac jatuh hari Jumaat, 7hb pula jatuh Sabtu, oklah, 6hb tu nikah, 7hb majlis. Lepastu majlis belah lelaki pula boleh serentak dengan majlis sepupu Harith."
Dan sehinggalah ke suatu saat yang lain lagi.... "Aku terima nikahnya Nor Nadia Binti Zakaria dengan mas kahwinnya 1 dinar emas tunai...." dan.... "Sah."
Ramadhan Kedua... seperti biasa duhai pembaca sekalian, dah kahwin, semua risau tentang anak pula kan? Aduhai manusia ini akan sentiasa berharap dan berhajat. Begitulah. Tahun 1436H, iaitu 2015, 3 bulan berlalu, setiap kali uzur, seringkali saya risau. Risau, adakah rezki anak untuk saya?
Hamba yang penuh dengan pengharapan, hari pertama di bulan Ramadhan, solat taubat menjadi pilihan pertama. Saya manusia pendosa, penuh dengan dosa ya Allah.. sungguh, hanya Allah tutup aib saya, Kalaulah dosa itu berbau, alangkah malunya saya, pasti tercium bau yang amat busuk.... Allah... dan kemudian, hamba ini meminta penuh berharap... "Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku dan dosa-dosa suamiku..ya Allah... sempena Ramadhan tahun ini, rezkikanlah kami anak ya Allah..."
Hari pertama Ramadhan, saya berpuasa penuh, sedangkan sepatutnya hari saya dah "cuti" dah. Tapi saya dapat puasa full! Kemudian hari kedua, pada malam itu, perut saya sangat sakit, dan saya tidak dapat tidur... pada fikiran kerana malam itu saya makan durian. Kemudian hari ketiga. Kemudian keempat dan sehinggalah hari ketujuh Ramadhan, waktu "cuti" dah terlalu lambat. Suami pula mengadu sering mual-mual.
Pada hari Isnin, saya nekad, saya ke Mydin Melaka untuk mendapatkan Pregnancy Test, dan terus buat test tersebut di tandas Mydin! Tersandar, mengalir airmata, sebab saya fikir apa..... "Ya Allah... aku pendosa.... tapi kau dengar doa aku... berkat Ramadhan ya Allah....." Saya sedih, sebab saya sering lalai... saya selalu lupa Allah... tapi Allah dengar juga doa saya...
Dua Ramadhan yang saya maksudkan aitu Ramadhan pada tahun 1436H (2015) dan 1435H (2014), jika saya berpeluang suka saya kongsikan dengan kenalan-kenalan saya, sebab saya semakin merasa istimewanya Ramadhan, maka jangan persiakan. Dan sebenarnya, bukan Ramadhan sahaja, tetapi sebenarnya Allah sentiasa hampir dengan hampirnya, apatahlagi jika hambanya mahu dan ingin semakin dekat denganNya.
Maka wahai pembaca sekalian, carilah Allah. Jika kita lalai, kita pernah lalai, kita pernah jauh dari Allah, kembalilah. Allah akan sentiasa menerima kita, jangan lepaskan peluang ini. Jangan sesekali!
Allah.... Maha dekat!!
Sekian.
Semoga bermanfaat buat hati, khususnya hatiku sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan