"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

CITA-CITA UNTUK BERGELAR ISTERI SOLEHAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Sudah dijanjikan, jika kita bersyukur dengan nikmat Allah, akan ditambahinya lagi nikmat ke atas kita. Bagaimana mahu buktikan bahawa kita bersyukur dengan nikmat Allah selain dengan cara kita mengucapkan Alhamdulillah? Adalah dengan kita menggunakan nikmat yang diberikan kita itu dengan sebaik-baiknya. Gunakan ianya untuk perkara-perkara yang Allah redha akan ia. Telah banyak nikmat Allah yang telahpun kita lalaikan. Terutama nikmat iman dan nikmat Islam. 

Sesungguhnya Allah berikan dunia kepada sesiapa yang Allah suka dan kepada sesiapa yang Allah tak suka. Akan tetapi, Allah akan beri agama hanya kepada yang dicintai. -HR Ahmad.

MESTI ADA CITA-CITA
Adakalanya, berbicara soal masa depan seperti kerjaya, rumahtangga, dan anak-anak menjadi malu apabila topik yang boleh dibicarakan secara ilmiah bertukar menjadi bahan usikan dan bahan penilaian sesama rakan-rakan. Walhal, bukankah sewajarnya kita meletakkan cita-cita dan harapan agar usaha kita lebih serius untuk ke arah itu?

Jika tiada cita-cita, itu yang tiada perancangan apa-apa, tahu-tahu masanya dah tiba dan kita entah dalam keadaan yang sudah bersediakah? Ingin saya spesifikkan dalam entri saya di sini adalah cita-cita untuk menjadi isteri solehah. Apapun, saya tetap bersetuju dengan pandangan, wanita itu tidak akan mengatakan dirinya sudah bersedia sehinggalah dia benar-benar bergelar seorang isteri. Baguslah kan?

PESANAN ISTERI 'AUF BIN MUHLIM ASHAIBANI
Indahnya pesanan isteri 'Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya.

“Puteriku, kini engkau meninggalkan tempat kelahiran menuju rumah baru dan orang baru yang belum pernah engkau ketahui keadaan dan wataknya. Maka, jadilah engkau sebagai pengabdi yang baik bagi suamimu, supaya dia menjadi pengabdi yang baik juga bagimu. Perhatikan baik-baik sepuluh perkara daripadaku supaya ia menjadi modal bagi hidupmu.”
Begitulah kasihnya isteri ‘Auf terhadap anak gadisnya, tetapi kasihnya itu bukan mengadakan majlis besar-besaran dan serba mewah, kasih sayang dizahirkan melalui kaedah menyalurkan nasihat berguna buat anaknya melayari alam rumah tangga supaya aman sejahtera dan bahagia.
Pesanan pertama kepada anaknya: “Jadilah engkau sebagai pendamping hidupnya yang selalu menerima apa adanya. Sebenarnya nasihat isteri ‘Auf itu bertepatan kehendak agama kerana sikap qanaah, bersedia dengan hati lapang terhadap kemampuan suami, menu keharmonian rumah tangga”. Erti kata lain, isteri tidak sesekali membebankan suami yang di luar batas kemampuannya. Inilah seharusnya ada pada diri seorang isteri solehah.
Seterusnya pesanan kedua beliau: “Bergaullah engkau bersama suamimu dengan cara mendengar dan mentaatinya.” Seorang Ulama’ pernah mengatakan: “Seseorang isteri itu hendaklah memberikan layanan pada suaminya, memelihara anak, mengatur urusan rumah tangga sebaik mungkin. Hendaklah dia memberikan layanan pada suami dengan layanan yang wajar dan sesuai keadaan.”
Isteri ‘Auf berkata lagi: “Tunjukkanlah dirimu di hadapan matanya sebagai seseorang yang paling menarik baginya dan tampilkan dirimu di hadapan hidungnya sebagai seseorang yang paling harum.” Kebijaksanaan dan kesediaan isteri menonjolkan imej peribadi dalam aspek lahiriah dan dalaman mampu mewujudkan hubungan lebih intim pasangan suami isteri. Ia ibarat suatu tembok pengukuh dalam membina keluarga bahagia melalui landasan diredai Allah.
Beliau juga berpesan supaya memperhatikan penjadualan waktu makan yang betul dan tepat serta menjaga ketenteraman masa tidur. Jadi, jika diteliti apa dipesan isteri ‘Auf kepada anak gadisnya, sesuai dan relevan dijadikan sebagai pedoman kita semua.

UPDATE&UPGRADE
Tekan sahaja 'wanita solehah' di google, macam-macam rujukan sudah tersedia. Namun mengapakah ada lagi wanita yang sanggup lari dari rumah? Meninggi suara kepada suaminya? Oh masyarakatku. Duhai diriku. Berusahalah kita, dalam suatu hadis, jika boleh, Rasulullah saw akan minta isteri sujud kepada suaminya. Maka jadilah yang terbaik lebih daripada mengharap yang terbaik. Yakinlah, jikamu baik, partnermu baik. Biiznillah!

1 ulasan:

  1. salam, dik akak copy ea entry nie. Mohon halal kan ;-)

    BalasPadam