"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

MUSLIMAT HARAKI ITU

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, masih lagi kita dikurniakan nikmat terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Yang mana, bukan semua orang berpeluang mengecapi nikmat ini. "Syukur padaMu Allah." 

SIAPA NAK MASAK NI?
Musim-musim exam seperti ini, norma bagi mahasiswa mahasiswa masing-masing begitu tekun menggunakan  sisa-sisa masa yang ada bagi membuat persiapan terbaik sebelum menjejak masuk ke dewan peperiksaan bagi setiap paper yang diambil. Selain belajar, masa yang ada dicuri sedikit untuk makan, untuk mandi, mungkin untuk jengah-jengah sedikit update di Facebook. Siswa siswi, setuju? 

Sehinggalah berlaku dialog di bawah.

"Zulaikha, kamu masak boleh petang ni?"

"Err...tapi Alisa, saya ada paper esok," 

"Ala, lisa pun pun ada paper gak. Sumer orang ada paper. Erm, takperlah, kita makan luar? Tapi nak makan luar pula, dah akhir-akhir ni duit dah nak habis. Nak makan luar pula. Husna?" serba salah Zulaikha dibuatnya. 

"Husna pun ada paper esok sama ngan ika.."sambil mempamerkan riak wajah meminta kasihan. 

Zulaikha, Husna dan Alisa, merupakan muslimat haraki, yang masih bujang, yang apabila membicarakan tentang Baitul Muslim, hebat-hebat belaka. 

AMANAH YANG SANGAT BESAR MENANTI DI HADAPAN
Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, urusannya dengan Allah begitu banyak, tidak ketinggalan menghadirkan diri ke kuliah-kuliah membentuk fikrah, merebut peluang berjemaah di masjid dan surau, malamnya meratap rindu dipecah kesunyian dengan tangisan yang syahdu, suaranya merdu dengan alunan surat cinta dari Allah iaitu al-Quran, dan hatinya sentiasa berhubung dengan kekasih terutamanya iaitu Allahu rabbul alamin.

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, urusannya sebagai seorang anak muda tidak ketinggalan, mendekati wanita-wanita di luar sana yang memerlukan sentuhan iman, dirinya di'serahkan' kepada yang memerlukan, sentiasa ada untuk membantu dengan penuh keikhlasan. Bahan bacaannya merupakan bahan-bahan yang mampu membina akhlaknya ke arah yang lebih baik. Melihat dirinya, bukanlah terlalu sempurna, tetapi cukup untuk dijadikan contoh buat teman-teman yang lain.

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, urusannya sebagai seorang anak yang solehah, seusai solat sering mendoakan ibu dan ayahnya, setiap kebaikan dihadiahkan pahala buat yang membesarkannya, setiap butir bicara, tindakan dan apa padanya menjadi penyejuk hati buat si ayah dan si ibu, silapnya sentiasa diminta ampunkan, dan menjadi harapan besar di hari tua kelak.

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, dia bakal menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Makan pakai suaminya, urusan rumahtangga, mengemas, memasak, pendidikan anak-anak, menjadi tanggungjawab utama. 

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, mungkin juga seorang jurutera penting sesebuah syarikat, seorang doktor, dan ahli-ahli profesional, yang dirinya menjadi kepentingan sesebuah organisasi, tugasannya bukan setakat di lapangan kerjaya, apatahlagi yang menjadi kepentingan dalam masyarakat. 

BANGKIT MUSLIMAT HARAKI
Sungguh, dia benar-benar muslimat haraki, inginku tanya bilakah waktu rehatnya? Bagaimanakah dia mampu lakukan itu semua?

Semalam adalah sejarah yang tidak boleh dipinda, esok adalah khayalan yang belum nyata, hari ini adalah kenyataan dan penentu siapa kita. 

Detik-detik yang kita lalui hari ini, mungkin akan menjadi kebiasaan di hari kemudian kelak. Bagaimana bisa kita mampu melalui maratibul muslim dengan cemerlang jika di peringkat individu lagi kita sudah  fail?

TERMENUNG DI MEJA MAKAN
Sambil menjamah makanan yang tidak seberapa di depan mata, itulah yang saya fikirkan dan saya risaukan. Adakalanya kita hebat berbicara soal baitul muslim, namun bila masuk ke praktikalnya, sehingga ke pengurusan rumah yang belum belum bertangga (belum berumahtanggalah maksudnya kan), kita fail

Ingin saya kongsikan, kerana saya yakin, belum semua antara serius menggalas amanah sebagai muslimat haraki. Adapun mungkin hanya sekadar nama. Terbayang wajah YB Zailah, kak Aida Rohayu dan almarhumah Dr Lolo. 

Soal pengurusan masa sangat memainkan peranan. Perlukan kesedaran. Hidup untuk berjuang. Moga kita teguh untuk terus melangkah. 

Bagi muslimin, supportlah muslimat. Bagi muslimat, mohon kuat!

Moga kita bermanfaat buat Islam! Takbir!



1 ulasan:

  1. Assalammualaikum..mohon dengan Allah moga kita sentiasa berasa syukur dan cukup dengan nikmat kurniaanNYA.. :)

    BalasPadam