"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

MENIKAHLAH KERANA AGAMA

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Alhamdulillah.. walaupun tak dapat kongsikan apa-apa dari saya sendiri tapi alhamdulillah saya dapat berkongsi sesuatu dari sahabat lain untuk dikongsikan kepada pembaca sekalian. 

Saya kongsikan hasil hasil dari 'copy & paste'. 

Menikahlah kerana agama agar kau tidak menderita

Diriwayatkan oleh Imam Yahya bin Yahya al-Naisaburi rahimahullah yang berkata bahawa beliau pernah bersama dengan Imam Sufyan bin Uyainah Rahimahullah apabila ada seorang lelaki yang datang dan mengadu kepada Imam Sufyan berkenaan masalah rumahtangganya.

Kata lelaki itu, isterinya sering menghinanya dan membencinya.

Lalu Imam Sufyan pun berkata, “Boleh jadi kamu menikahinya kerana mahu meninggikan status kedudukanmu?”

Lelaki itu pun menjawab, “Benar wahai Abu Muhammad (kuniyah Imam Sufyan).”

Maka Imam Sufyan pun berkata:
“Barangsiapa yang menikahi kerana mencari kedudukan yang mulia maka dia akan diuji dengan kehinaan, barangsiapa yang bernikah kerana harta maka dia akan ditimpa kefakiran, dan barangsiapa yang menikah kerana agama maka Allah akan menghimpunkan baginya kedudukan dan harta bersama dengan agama.”

Kemudian Imam Sufyan pun menceritakan,

“Kami mempunyai 4 orang adik-beradik. Iaitu Muhammad, Imran, Ibrahim, dan diriku. Abang yang paling tua ialah Muhammad dan Imran pula yang paling muda manakala aku pula ditengah-tengah. Apabila Muhammad mahu bernikah maka dia ingin mencari kedudukan lalu dia pun menikahi seorang wanita yang berkedudukan lalu Allah pun mengujinya dengan kehinaan. Imran pula menginginkan harta maka dia pun menikahi wanita yang kaya lalu Allah membalasnya dengan kefakiran. Semua hartanya diambil tanpa ditinggalkan sedikit pun.”

“Aku memerhatikan keadaan mereka lalu satu hari Ma'mar bin Rasyad datang kepada kami dan aku pun meminta nasihatnya sambil menceritakan kisah yang dihadapi oleh saudara-saudaraku. Maka beliau pun mengingatkan aku dengan hadith Yah'ya bin Ja'dah dan hadith A'isyah RA.”

Adapun hadith Yahya bin ja'dah meriwayatkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda, “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara iaitu kerana agamanya, kedudukannya, hartanya dan kerana kecantikannya. hendaklah engkau memilih yang beragama nescaya engkau akan beruntung.' [riwayat Al-Bukhari]

Sedang hadith A'isyah pula menyebut , “Wanita yang paling berkah ialah yang paling murah belanja untuk menikahinya.” [Riwayat al-Nasaie]

Justeru aku pun memilih untuk menikahi wanita yang beragama dan yang murah belanjanya menurut sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam. Maka Allah pun memberikan aku kedudukan, kekayaan dan juga agama.


[Tahzib al-Kamal, Al-Mizzi]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan