"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

MENGENALI DIA YANG TERINDAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan buat pembaca blog mahupun entri saya pada kali ini.

Pertama dan selama-lamanya, bersyukur kita kepada Allah swt dengan kurniaan rahmat dan kasihNya melalui pelbagai cara. Subhanallah… Patutlahkan Rasulullah pernah kata, “Salahkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur…” tatkala ditanya mengapa Rasulullah saw beribadah sehingga bengkak-bengkak kakinya walhal baginda merupakan calon yang pastinya akan masuk syurga, merupakan kekasih Allah yang nama baginda telahpun terlakar sejak Nabi Adam a.s baru diciptakan lagi. Allahurabbi..

DIA?
Ya, Dia. Dia yang menciptakan kita. Dia yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Memiliki, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pengampun, dan semua nama-namaNya yang terindah. Dialah Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah cinta teragung dan yang kekal abadi dan hakiki.

Pernah bermain teka teki, ayam atau telur yang wujud dulu? Ahah, ada yang kata ayam, sebab ayam yang bertelur. Kemudian ada juga yang kata telurlah wujud dulu kemudian barulah ayam! Aik, yang mana satu ni? Tak kisahlah siapa pun dulukan, yang pasti siapa yang menciptakan ayam dan telur ayam itu? Sepastinya Allah yang menciptakan. Begitu juga dengan diri kita. Ibu ayam hanya sebagai perantara adanya telur dan kemudian menetas menjadi anak ayam dan seterusnya menjadi ayam dewasa.

MENGENALI DIA
Mengenali Dia sang Pencipta merupakan fitrah kita, fitrah manusia, semulajadi yang ada pada hati ini, ingin mengetahui siapakah yang menjadikan alam ini. Melainkan golongan ateas yang berpegang kepada kefahaman bahawa dunia ini terjadi dengan semula jadinya. Namun sebagai Muslim, hendaklah kita yakin dan percaya bahawa setiap makhluk ada penciptanya dan pencipta yang teragung adalah Allah swt..

Di dalam hadis Qudsi, Allah berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya Aku telah menciptakan semua hamba-Ku dalam cenderung kepada kebenaran, namun syaitan-syaitan mendatangi dan menjauhkan mereka daripada agamanya. Syaitan-syaitan mengharamkan apa-apa yang telah Aku halalkan dan menyuruh manusia untuk mempersekutukan diri-Ku dengan sesuatu yang tidak memiliki kuasa apa-apa.” (Riwayat Muslim)

YANG TERINDAH
Mengenali Tuhan kita menjadikan jiwa kita tidak kosong, tidak kering dan penuh bermakna. Kita pasti akan merasakan ketenangan, merasakan kehadiran Dia dalam setiap waktu dan ketika. Merasakan bahawa Dia sentiasa melihat kita, sentiasa sudi mendengar keluhan kita.. Tiada halangan dan batasan untuk kita terus-terusan berhubung dengan Allah swt.

Ibn Taymiah berkata, “Sesungguhnya kelazatan, kegembiraan, kenikmatan dan kebahagiaan yang tidak mungkin digambarkan dengan kata-kata hanya boleh kita rasai apabila mengenal Allah, mentauhidkan-Nya dan beriman kepada-Nya. Hati tidak akan merasai kegembiraan dan kelazatan sempurna melainkan apabila mencitai Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

MAKRIFATULLAH
Abu Ali al-Daqqaq menyebut, “Makrifah dalam lisan para ulama bermakna ilmu. Setiap ilmu ialah makrifah. Dan setiap makrifah ialah ilmu.
Manakala Muhammad bin Fadl pula menyebut, “Makrifah ialah hati yang selalu hidup dengan Allah.
Maka apa yang kita mesti dalami adalah nama-nama dan sifat-sifat Allah. Apabila kita dapat salami, hayati dan merasakan kesemua sifat dan nama-nama Allah, insyaallah benih-benih makrifah akan tertanam di dalam hati kita. Semakin kerap kita memikirkannya, semakin bertambah ilmu kita tentang Allah. Hatta, keserabutan yang melanda dek kerana cabaran dalam kehidupan pastinya dapat dihadapi dengan tenang…

Kata Abu Ali al-Daqqaq, apa katanya? “Makrifah melahirkan ketenangan dalam hati. Sesiapa yang bertambah makrifatnya, maka bertambahlah ketenangan dalam hatinya.
Dan, Ibn Umar berkata, “Apabila seorang manusia hanya takutkan Allah, maka tidak ada sesuatu yang mampu menyakitinya.”

BAGAIMANA?
Berusahalah kita untuk menghafal nama-nama Allah, menghayatinya dan mengaitkan setiap kejadian dalam kehidupan kita dengan nama-nama tersebut.

“Setiap kali melihat penguasa jatuh hina lihatlah Allah di sebaliknya. Setiap kali melihat orang miskin yang menjadi kaya, Allah juga berada di sebaliknya. Segala sesuatu yang berlaku, semuanya adalah atas kehendak dan kuasa Allah. Jika kebiasaan ini terus kita lakukan, maktifat kita akan meningkat.”

Berkata Muhammad bin Wasi dalam al-Ta’aruf: “Setiap kali aku melihat sesuatu, aku melihat Allah bersamanya.

Zun Nun al-Misri pula menyatakan, “Tiga tanda keyakinan: Melihat Allah pada segala sesuatu, merujuk kepada-Nya pada segala sesuatu, dan meminta bantuan daripada-Nya dalam segala sesuatu.”

Ibn al-Qayyim menjelaskan dalam kitab al-Fawaid, “Allah menyeru seluruh hambaNya dalam al-Quran untuk mengenaliNya menerusi dua cara. Pertama dengan mengamati perbuatan-perbuatanNya. Kedua dengan memikirkan dan menganalisis ayat-ayatNya. Yan pertama ialah ayat-ayat Allah yang terlihat, manakal yang kedua, ayat-ayat Allah yang terdengar.

Selain itu, kita hendaklah berusaha untuk khusyuk di dalam ibadah kita kepada Allah. Hadirkanlah Allah di dalam hati yang merupakan roh untuk menghidupkan ibadah tersebut. Jika tidak, ibadah yang kita lakukan hanyalah menjadi rutin harian yang tidak mampu membawa kepada nilai-nilai pembaikan pada diri kita.

“Ibadah tanpa makrifatullah ibarat jasad tanpa roh.”

AKHRI SEKALI
Say, “I Love you so, Allah.”

Budail bin Warqa berkata, “Siapa yang mengenali Allah, dia pasti jatuh cinta kepada-Nya.”


Selamat “bertaaruf” dengan Allah. J


Tiada ulasan:

Catat Ulasan