"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

MENJADI ‘UMMI’ BIJAKSANA

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Kabare?? Imannya? Jasadnya? Mudah-mudahan kedua-duanya dalam keadaan sihat hendaknya. Amin-amin. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi saw, ahli keluarga dan sahabat baginda keseluruhannya. Syukur kepada Allah swt atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita walau dalam apa jua bentuknya.

TAHNIAH

Adakala, bila saya menulis entri tentang isteri, ada dalam kalangan sahabat pembaca dalam nada gurau mungkin, bertanya bila turn saya pula? Bila saya menulis entri tentang keibubapaan, ada yang kata, “kahwin pun dak lagi,”. Hehe.

Tuan puan, sahabat pembaca yang saya hormati sekalian, bukankah kita seharusnya mempelajari sesuatu perkara sebelum masanya tiba? Dengan ilmu yang lengkap tersedia dalam diri maka insyaallah kita akan memasuki alam tersebut dalam keadaan yang lebih baik dengan ilmu. Dengan ilmu akan menjadi penyuluh perjalanan kita melaluinya. Dengan ilmu, pastinya akan lebih terpandu.

Alhamdulillah, akan lahir dan telah lahir lagi bakal-bakal generasi masa depan dari kalangan sahabat-sahabat, saudara mara terdekat mahupun saudara mara seIslam. Selamat memulakan tugas buat ibu bapanya kita ucapkan. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan kalian.

KEBIJAKSANAAN ATAU KEKUATAN FIZIKAL?

Ingin saya kongsikan suatu detik dari kehidupan saya sebagai manusia biasa ini, pada suatu hari, “Nadia bawak black warrior esok,” kata seorang sahabat muslimin. Saya mengangguk sahaja. Sahabat-sahabat yang lain kelihatan excited. Saya pula kehairanan.

“Kenapa? Kereta Hilux ni yang mana?” hehe.. Bab-bab kereta saya agak fail sedikit. Kurang update. Bila dapat tahu Hilux ni yang mana.. Allahurabbi.. Siyes saya kena bawak? Besau!

“Taknaklah. Besar sangat,” saya meletakkan kunci di atas meja di mana seorang sahabat sedang duduk.

“Lar kenapa? Tak ley start enjin?” Lalu diajarkannya. Sungguh-sungguh benar disuruhnya mencuba. Allahurabbi.. larat ke?

Keesokannya, saya memang benar-benar drive Hilux. Bagai dalam mimpi, bukan hanya Hiluxnya sahaja, malah di’angkut’ sekali dengan beberapa orang jejaka di bahagian belakang untuk ke pantai.

Sewaktu memandu saya tersenyum kerana saya terfikir, rupanya kebijaksanaan boleh atasi kekuatan fizikal. Jika menurut akal, laratkah saya memandu Hilux yang sedia besar, kemudian diangkut golongan lelaki yang pastinya berat..

Namun, apabila difikirkan semula, saya hanya perlu mengimbangkan clutch dan minyak sepertimana yang sepatutnya. Jika dalam keadaan ringan mungkin gear 2 sudah memadai, namun berat sedikit beban dibawa, maka tukarkan sahaja ke gear 1 jika ‘tak makan’ untuk bergerak. Hey, its easy, just need KEBIJAKSAAN to control that! Right?

URUS ANAK-ANAK PERLU KEBIJAKSANAAN

Saya yang belum berkahwin, belum memiliki anak-anak, belum bekerja, dan sepastinya belum bergerak aktif dalam masyarakat luar, adakalanya merasa risau. Mampukah saya nanti dibebankan dengan amanah dalam sebuah syarikat, kemudian jika ada jodoh berkahwin, yang bermaharkan tanggungjawab mengurus rumahtangga, yang akan menguruskan makan minum suami dan anak-anak. Kemudian dengan keluarga yang sedia ada, pastinya ada lagi yang tidak selesai malah bertambah tanggungjawabnya. Mampukah saya terlibat aktif dalam organisasi masyarakat di luar?

Begitu saya kagum dengan kalian yang telah menempuhi semua itu dan mampu mengurus segalanya dengan baik. Jujur saya merasakan ianya bukan mudah! Namun kalian berjaya membuktikan. Mungkin juga ada yang mengatakan, “saya belum berjaya menguruskan segalanya dengan baik” tetapi saya yakin anda akan terus mencuba.

Bayangkan kita seorang ibu kepada 10 anak dan aktif sebagai seorang ahli politik, jadi bagaimana akan kita uruskan hal ehwal keluarga dan rumah tangga? Mungkin dia ada kekurangannya namun dapat dicontohi dari sudut kebijaksanaan beliau menguruskannya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (2011-2013 setakat ini), Siti Zailah Mohd Yusoff mengurus masa dengan mewujudkan kerjasama dalam kalangan anak-anak beliau. Beliau menyusun tugasan buat anak-anak dengan mewujudkan giliran seperti memasak, jemur kain, sapu sampah dan kemas laman rumah. Sejak kecil anak-anak telah diajar berdikari seperti menggosok baju sendiri. Subhanallah, bagi saya, hal ini dapat membentuk peribadi dan anak-anak itu sendiri.

Ada juga pernah dikongsikan pada saya, dari seorang penggerak di Tebrau, beliau membahagikan masa hariannya kepada beberapa bahagian, ada waktu bekerja, ada waktu bersama anak-anak, ada masa juga bergerak kerja. Hariannya begitulah. Yang pasti, tersusun dan bijak menguruskannya. Emosi juga harus diurus. Perempuankan, kadang-kadang dah penat rasa nak ngamuk dan membebel aje kan? J

KEBIJAKSANAAN DZATUN NITHAQAIN

Abdullah bin Zubair, membicarakan tentang umminya, Asma’ Binti Abu Bakar, "Aku belum pernah melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan sedikit pun sehingga hari esok."

Dzatun nithaqain, gelaran khusus buatnya yang diberikan oleh Rasulullah yang bermaksud "wanita yang mempunyai dua tali pinggang" kerana keberanian Asma' yang berperanan sewaktu peristiwa Hijrah. Susuk tubuh muslimat ini bukan dari calang-calang orang. Dari rahimnya telah lahir Abdullah Bin Zubair, seorang anak muda yang berkualiti, merupakan generasi yang mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya, merupakan cetakan peribadi generasi yang siap berjuang membela Islam dan kalimah Lailahaillah Muhammad Rasulullah! Anak muda ini dibentuk hasil dari ‘air tangan’ seorang wanita yang begitu memahami peranannya dalam melahirkan generasi penyambung rantai perjuangan Islam.

Ketika pertemuan terakhir dua beranak ini, yang saling menumpahkan kasih semata-mata kerana mencintai Allah swt, Abdullah memberi salam buat ibunda dan berhajat untuk bermusyawarah tentang suatu permasalahan.

“Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang kuminta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?” luah si anak.

“Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! Dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!” tegas Asma’.

Abdullah membalas, “Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.”

Dengan yakin Asma; berkata,”Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah  dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!”

“Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!” Abdullah berterus terang.

Diyakinkan oleh Asma bahawa, “Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya dikupas orang!”

“Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah kudengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!” bicara sang perwira.

“Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat,” kata Asma’.

Abdullah meyakinkan, “Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.”

“Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu..."

PENUTUP


Saya yang berbicara bukanlah bererti saya yang terbaik. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Semoga usaha kita untuk menjadi ibu yang cerdik dapat ditingkatkan. Even tak jadi ibu pun, kita adalah daie. Untuk menggapainya perlukan perngorbanan. Semakin pahit pengorbanan, semakin manis kejayaan. Korbankan ‘Ismail’mu. J

Sekiran, wassalam.

BOLEH BACA JUGA DI LINK BERIKUT:


Tiada ulasan:

Catat Ulasan