DENGAN
NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
Assalamualaikum
wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan buat pembaca entri saya pada kali ini.
Selawat dan salam buat junjungan besar
Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Syukur kehadrat
Allah swt kerana kita masih lagi dikurniakan nikmat Iman dan nikmat Islam. Syukur
sangat-sangat apabila orang beri kita nasihat, orang beri kita teguran, kita
dapat menerima dengan lapang dada, kita dapat mempertimbangkan teguran mereka
dan hati kita ada keinginan berusaha menuju ke arah yang lebih baik. Sebab kita
tahu, dan kita mahu, menjadi hamba Allah yang soleh. Syukur pada Allah.
Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu
‘alaihi wa sallam bersabda,
“Manfaatkan
lima perkara sebelum lima perkara :
Waktu
mudamu sebelum datang waktu tuamu,
Waktu
sehatmu sebelum datang waktu sakitmu,
Masa
kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
Masa
luangmu sebelum datang masa sibukmu,
Hidupmu
sebelum datang kematianmu.”
(HR. Al Hakim dalam Al Mustadroknya,
dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat
Bukhari-Muslim. Hadits ini dikatakan shohih oleh Syaikh Al Albani dalam Al
Jami’ Ash Shogir)
DARIPADA WIKIPEDIA,
ENSIKLOPEDIA BEBAS
Saya
yang baru di dalam medan ini, tersangat baru, apabila mendapat berita pemergian
Ustaz Azizan melalui Whatsapp, tiba-tiba bergenang air mata. Terdetik di hati
untuk mengenali beliau walaupun setelah pemergiannya.
Allahyarham
Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak (25 Oktober 1944 - 26
September 2013) merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Dato' Seri Diraja
Mahdzir Khalid. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah. Beliau menjadi Menteri Besar
selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas
kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.
Beliau
mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, pernah belajar di
Maktab Mahmud pada tahun 1959-1965. Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda
Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent,
Canterbury, United Kingdom.
Ustaz
Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan
tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar
pada tahun 1966. Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State
University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995). Beliau fasih berbahasa Melayu (loghat
Kedah), bahasa Inggeris,bahasa Arab dan bahasa Filipina. Subhanallah.
USTAZ
AZIZAN YANG KU KENALI
Saya
dapat bayangkan betapa akrabnya hubungan beliau dengan para wartawan sehingga
salah seorang daripada mereka iaitu ROSLINDA HASHIM iaitu Wartawan Kanan, Sinar
Harian Utara membuat nukilan tentang beliau.
TANGGAL
24 Ogos 2013 pasti terpahat dalam memori saya kerana itulah kali pertama
bertentang mata dengan Ustaz Azizan sejak beliau dimasukkan ke hospital akibat
komplikasi diabetik.
Sebaik
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang selepas menziarahi
Ustaz Azizan di wad ICU (HSB), saya dibenarkan melawat, ditemani bekas
Setiausaha Politik beliau, Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa ahli Pas yang
turut berada di situ.
Sebaik
melangkah ke bilik yang menempatkan Ustaz Azizan, hati tidak sekuat yang saya
sangka. Saya berdiri disisi Ustaz Azizan tanpa berkata-kata, hanya renungan
yang mampu saya berikan. Sedangkan dalam benak ini, banyak yang ingin saya
katakan. Ustaz Azizan ketika itu membuka mata apabila Muhammad Sanusi
memanggil,
“Ustaz,
Linda Sinar mai tengok ustaz".
Ustaz
Azizan merenung lama wajah saya. Saat itu, tidak tertahan air mata ini mengalir
laju ke pipi. Saya cuba berbual dan meluahkan beberapa patah perkataan, namun
tak dapat diteruskan… Muhammad Sanusi sekali lagi bertanya kepada Ustaz Azizan,
“Ustaz
ingat dak?”.
Ustaz
Azizan membalas “Ingat”.
Arwah
tetap merenung saya dengan kelopak matanya yang kuyu, seakan menggagahi diri
untuk berbual. Tiba-tiba Ustaz Azizan berkata,
“Terima
kasih” (kerana datang).
Sebaik
sahaja kata-kata itu diucapkan, saya tidak mampu lagi bertentang mata dengan
pemimpin berjiwa besar ini, yang cukup kuat melawan derita ketika itu. Saya
segera meminta diri dan berdiri seketika di luar pintu, cuba menenangkan diri. Jururawat
seolah-olah memahami perasaan saya dan memaklumkan kondisi Ustaz Azizan ketika
itu.
Kali
kedua saya menziarahi Ustaz Azizan ialah ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang melawatnya semasa kunjungannya ke Kedah sempena Multaqa Ulama pada
15 September lalu. Waktu itu, saya agak panik melihat pelawat dikehendaki
memakai pakaian khas dan sarung tangan jika masuk ke bilik. Disebabkan itu,
saya hanya melihat dari luar pintu perbualan dua sahabat itu. Sekali lagi, air
mata tidak dapat ditahan, lalu saya beredar dan menanti di ruang legar ICU.
Kali
ketiga hajat saya tidak kesampaian. Saya menelefon isteri Ustaz Azizan, Puan
Sri Faekah Sheikh Hamzah (yang lebih mesra dengan panggilan Tok Puan),
memaklumkan untuk hadir melawat. Sebaik tiba di pintu masuk ICU, saya sekali
lagi menelefon Tok Puan memaklumkan sudah tiba, namun jawapan dari Tok Puan
amat mengejutkan:
“Nak
tengok apa Linda; dah tak ada”, sayu tutur katanya.
Saya
masih ingat kali terakhir berjumpa Ustaz Azizan sebelum beliau jatuh sakit. Ketika
itu hari mengundi PRU13 (5 Mei 2013). Tepat jam 9 pagi saya sudah berada di
Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di mana Ustaz Azizan mengundi. Puas kami
(media) menunggu hingga tengah hari, namun kelibat Ustaz Azizan tidak
kelihatan. Saya menekan nombor telefon berkali-kali, tetapi semuanya masuk
pesanan suara.
Terdetik
di hati seolah-olah ada yang tidak kena, namun pegawai Ustaz Azizan hanya
memaklumkan beliau lewat kerana singgah di beberapa lokasi untuk jumpa
pengundi. Saya akur walaupun tahu benar itu bukan stail Ustaz Azizan. Ketika
itu, saya antara percaya dengan tidak dengan alasan yang diberi. Tetapi, demi
tugas, saya tetap menunggu hingga jam hampir 1 petang. Pada masa sama, saya
terus menekan nombor telefon hingga akhirnya Ustaz Azizan menjawab panggilan.
Saya
bertanya: “Kenapa tak datang mengundi?”.
Ustaz
Azizan lantas berkata: “Kurang sihat, demam; kaki pula sakit.”
Mendengar
itu, saya menyarankan Ustaz Azizan berehat sahaja dan tidak perlu datang. Namun
Ustaz Azizan pula berkeras suruh kami (media) menunggu dan akan tiba dalam 20
minit. Tidak sampai hati pula untuk hampakan harapan Ustaz Azizan. Ketika
beliau sampai, saya lihat Ustaz Azizan jalan berdingkit-dingkit, sambil
dipimpin setia oleh pembantunya, Shahril Elham. Wajahnya tetap ceria, walaupun
ketika itu jelas sedang menahan kesakitan. Itulah Ustaz Azizan. Beliau bagaikan
lilin, sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.
Banyak
situasi menunjukkan Ustaz Azizan banyak berkorban, sama ada dalam parti mahupun
kerja. Pada luarannya, nampak Ustaz Azizan seperti tegas dan perongos, tetapi
hati beliau lembut dan banyak bertolak-ansur. Walaupun mengenalinya hanya lima
tahun (2008-2013), saya dapat memahami karakter beliau. Ia amat berbeza dengan
pemimpin Pas lain, umpama satu dalam sejuta.
Saya
masih ingat waktu awal memulakan tugas di Kedah (2008) iaitu selepas peralihan
kuasa. Saya sering kali disuruh ketua untuk dapatkan reaksi Ustaz Azizan bagi
isu-isu semasa. Ketaq perut setiap kali mahu menekan nombor telefon beliau
sebab orangnya garang. Demi tugas saya beranikan diri, dapat dua tiga patah pun
sudah cukup untuk 'goreng' berita.
Disebabkan
terlalu kerap menelefon, suatu hari, pada sidang media di Wisma Darul Aman,
Ustaz Azizan bertanya,
“Mana
satu Linda?”.
Saya
ketika itu berada di barisan belakang, terus berkata:
“Ya,
saya”.
Rakan
media di hadapan membuka ruang untuk saya ke depan. Saya tersengih tak tahu nak
kata apa. Azizan dengan wajah serius, bersuara:
“Kamu
ni, duk telefon saya. Saya marah, kamu telefon lagi. Saya marah lagi, kamu
telefon juga. Saya dah tak tau nak marah macam mana lagi”.
Kata-kata
itu tak pernah saya lupa kerana sejak itu jugalah hubungan saya dengan arwah
semakin baik,dan arwah mula beri kerjasama. Ada kala, ketika bertanya isu
panas, sebelum Ustaz Azizan memberi ulasan, sudah tentu saya kena marah dulu. Yang
bestnya, selepas marah, Allahyarham akan memujuk dengan kata-kata jenaka,
bagaikan seorang bapa bercakap dengan anaknya.
Ada
juga rakan media yang dihamburi atau ditengking jika cuba dapatkan reaksi
Allahyarham melalui telefon. Dari hari ke hari, saya cuba membina hubungan
lebih mesra antara media dan Ustaz Azizan. Banyak pandangan saya berikan kepada
Allahyarham supaya hubungan beliau dengan media menjadi lebih diplomasi dan
relaks.
Sejak
itu Ustaz Azizan dilihat semakin bersikap terbuka dengan media. Beliau
sebenarnya bukan tidak mesra media pada awalnya, tetapi sebenarnya beliau
kecewa kerana banyak kenyataannya di putar belit. Setiap kali berita Ustaz
Azizan terpampang di dada akhbar yang tidak menyenangkan, setiap kali itu juga
Allahyarham menghubungi saya untuk memberi kenyataan balas atau sekadar
meluahkan perasaan.
Namun
sebagai bekas Pengarah Urusan Harakah, Ustaz Azizan akur dan faham dengan
pendirian setiap akhbar di negara ini. Sebab itu, Allahyarham tidak melatah
tetapi ambil sikap malas nak layan. Jika Ustaz Azizan berada di Kuala Lumpur
atas urusan kerja, pagi-pagi lagi beliau menghubungi saya untuk bertanya khabar
Kedah, apa yang berlaku sepanjang ketiadaan Allahyarham.
Disebabkan
itu juga, saya perlu sentiasa alert dengan apa yang berlaku kerana saya tahu
Alllahyarham akan hubungi saya bila-bila masa sahaja. Mungkin Ustaz Azizan
mahukan perspektif berbeza satu-satu isu, di mana sebagai orang media, saya
telus menceritakan dari semua sudut.
PERGINYA
SEORANG PERMATA AGAMA
"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato'
Seri?” tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi
beliau.
"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya
Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak
dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.
"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air.
Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara
ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa,
supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.
Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat
Menteri Besar, seminggu sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal
media. Bukan setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan
serta bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai
sebahagian daripada keluarganya.
Ada kisah menarik perhatian saya, ketika
dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang
dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.
Waktu itu, di masjid-masjid telah
teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB
Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.
Esok paginya lebih 300 orang memenuhi
pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang
risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga
dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan
apa yang berlaku.
Anda tahu keputusannya? Jika dilihat
perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan
selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!
Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan
orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada
bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan
bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.
Lantas beliau mengarahkan para
pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir
dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!
PENUTUP
Moga perjalanan beliau di alam barzakh
merupakan tempat istirahat yang panjang. Dan kita? Kita pula yang masih hidup
hendaklah mengambil ibrah akan pemergian beliau. Perjalanan kita di dunia belum
cukup baik untuk dijadikan bekalan menuju alam sana. Marilah kita gunakan usia
yang masih berbaki ini untuk metaati-Nya. Marilah kita menjadikan kehidupan
yang dipinjam ini sebagai saksi bahawa kita telah melakukan amalan soleh selama
hayat dikandung badan. Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju
bertemu Ilahi. Saya yang berpesan bukanlah bererti saya yang terbaik. Wallahua’lam.
SUMBER
COPY AND PASTE
Sila baca lanjut di :
Ketika itu Ustaz Azizan sempat berseloroh, “Mana tau, ni (gambar) yang terakhir dengan kamu semua” (Ceriita wartawan Sinar Harian)
Al Fatihah untuk Ustaz Azizan..moga beliau tenang bersemadi di alam sana bersama cahaya amalan soleh yang telah disemai semasa hayatnya..amin ya Rabb..
BalasPadamAl-fatihah, smoga ALLAH menempatkan Arwah Ustaz Azizan dikalangan org2 yg beriman dan beramal soleh.....kita kehilangan satu lagi PERMATA......
BalasPadam