"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

TIBA WAKTU REHATNYA

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera saya ucapkan buat pembaca entri saya pada kali ini.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Syukur kehadrat Allah swt kerana kita masih lagi dikurniakan nikmat Iman dan nikmat Islam. Syukur sangat-sangat apabila orang beri kita nasihat, orang beri kita teguran, kita dapat menerima dengan lapang dada, kita dapat mempertimbangkan teguran mereka dan hati kita ada keinginan berusaha menuju ke arah yang lebih baik. Sebab kita tahu, dan kita mahu, menjadi hamba Allah yang soleh. Syukur pada Allah.

Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :
Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,
Waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu,
Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
Masa luangmu sebelum datang masa sibukmu,
Hidupmu sebelum datang kematianmu.”
(HR. Al Hakim dalam Al Mustadroknya, dikatakan oleh Adz Dzahabiy dalam At Talkhish berdasarkan syarat Bukhari-Muslim. Hadits ini dikatakan shohih oleh Syaikh Al Albani dalam Al Jami’ Ash Shogir)

DARIPADA WIKIPEDIA, ENSIKLOPEDIA BEBAS

Saya yang baru di dalam medan ini, tersangat baru, apabila mendapat berita pemergian Ustaz Azizan melalui Whatsapp, tiba-tiba bergenang air mata. Terdetik di hati untuk mengenali beliau walaupun setelah pemergiannya.

Allahyarham Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak (25 Oktober 1944 - 26 September 2013) merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Dato' Seri Diraja Mahdzir Khalid. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah. Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, pernah belajar di Maktab Mahmud pada tahun 1959-1965. Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Ustaz Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada tahun 1966. Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995). Beliau fasih berbahasa Melayu (loghat Kedah), bahasa Inggeris,bahasa Arab dan bahasa Filipina. Subhanallah.

USTAZ AZIZAN YANG KU KENALI

Saya dapat bayangkan betapa akrabnya hubungan beliau dengan para wartawan sehingga salah seorang daripada mereka iaitu ROSLINDA HASHIM iaitu Wartawan Kanan, Sinar Harian Utara membuat nukilan tentang beliau.

TANGGAL 24 Ogos 2013 pasti terpahat dalam memori saya kerana itulah kali pertama bertentang mata dengan Ustaz Azizan sejak beliau dimasukkan ke hospital akibat komplikasi diabetik.

Sebaik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang selepas menziarahi Ustaz Azizan di wad ICU (HSB), saya dibenarkan melawat, ditemani bekas Setiausaha Politik beliau, Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa ahli Pas yang turut berada di situ.

Sebaik melangkah ke bilik yang menempatkan Ustaz Azizan, hati tidak sekuat yang saya sangka. Saya berdiri disisi Ustaz Azizan tanpa berkata-kata, hanya renungan yang mampu saya berikan. Sedangkan dalam benak ini, banyak yang ingin saya katakan. Ustaz Azizan ketika itu membuka mata apabila Muhammad Sanusi memanggil,

“Ustaz, Linda Sinar mai tengok ustaz".

Ustaz Azizan merenung lama wajah saya. Saat itu, tidak tertahan air mata ini mengalir laju ke pipi. Saya cuba berbual dan meluahkan beberapa patah perkataan, namun tak dapat diteruskan… Muhammad Sanusi sekali lagi bertanya kepada Ustaz Azizan,

“Ustaz ingat dak?”.

Ustaz Azizan membalas “Ingat”.

Arwah tetap merenung saya dengan kelopak matanya yang kuyu, seakan menggagahi diri untuk berbual. Tiba-tiba Ustaz Azizan berkata,

“Terima kasih” (kerana datang).

Sebaik sahaja kata-kata itu diucapkan, saya tidak mampu lagi bertentang mata dengan pemimpin berjiwa besar ini, yang cukup kuat melawan derita ketika itu. Saya segera meminta diri dan berdiri seketika di luar pintu, cuba menenangkan diri. Jururawat seolah-olah memahami perasaan saya dan memaklumkan kondisi Ustaz Azizan ketika itu.

Kali kedua saya menziarahi Ustaz Azizan ialah ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melawatnya semasa kunjungannya ke Kedah sempena Multaqa Ulama pada 15 September lalu. Waktu itu, saya agak panik melihat pelawat dikehendaki memakai pakaian khas dan sarung tangan jika masuk ke bilik. Disebabkan itu, saya hanya melihat dari luar pintu perbualan dua sahabat itu. Sekali lagi, air mata tidak dapat ditahan, lalu saya beredar dan menanti di ruang legar ICU.

Kali ketiga hajat saya tidak kesampaian. Saya menelefon isteri Ustaz Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah (yang lebih mesra dengan panggilan Tok Puan), memaklumkan untuk hadir melawat. Sebaik tiba di pintu masuk ICU, saya sekali lagi menelefon Tok Puan memaklumkan sudah tiba, namun jawapan dari Tok Puan amat mengejutkan:

“Nak tengok apa Linda; dah tak ada”, sayu tutur katanya.

Saya masih ingat kali terakhir berjumpa Ustaz Azizan sebelum beliau jatuh sakit. Ketika itu hari mengundi PRU13 (5 Mei 2013). Tepat jam 9 pagi saya sudah berada di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di mana Ustaz Azizan mengundi. Puas kami (media) menunggu hingga tengah hari, namun kelibat Ustaz Azizan tidak kelihatan. Saya menekan nombor telefon berkali-kali, tetapi semuanya masuk pesanan suara.

Terdetik di hati seolah-olah ada yang tidak kena, namun pegawai Ustaz Azizan hanya memaklumkan beliau lewat kerana singgah di beberapa lokasi untuk jumpa pengundi. Saya akur walaupun tahu benar itu bukan stail Ustaz Azizan. Ketika itu, saya antara percaya dengan tidak dengan alasan yang diberi. Tetapi, demi tugas, saya tetap menunggu hingga jam hampir 1 petang. Pada masa sama, saya terus menekan nombor telefon hingga akhirnya Ustaz Azizan menjawab panggilan.

Saya bertanya: “Kenapa tak datang mengundi?”.

Ustaz Azizan lantas berkata: “Kurang sihat, demam; kaki pula sakit.”

Mendengar itu, saya menyarankan Ustaz Azizan berehat sahaja dan tidak perlu datang. Namun Ustaz Azizan pula berkeras suruh kami (media) menunggu dan akan tiba dalam 20 minit. Tidak sampai hati pula untuk hampakan harapan Ustaz Azizan. Ketika beliau sampai, saya lihat Ustaz Azizan jalan berdingkit-dingkit, sambil dipimpin setia oleh pembantunya, Shahril Elham. Wajahnya tetap ceria, walaupun ketika itu jelas sedang menahan kesakitan. Itulah Ustaz Azizan. Beliau bagaikan lilin, sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.

Banyak situasi menunjukkan Ustaz Azizan banyak berkorban, sama ada dalam parti mahupun kerja. Pada luarannya, nampak Ustaz Azizan seperti tegas dan perongos, tetapi hati beliau lembut dan banyak bertolak-ansur. Walaupun mengenalinya hanya lima tahun (2008-2013), saya dapat memahami karakter beliau. Ia amat berbeza dengan pemimpin Pas lain, umpama satu dalam sejuta.

Saya masih ingat waktu awal memulakan tugas di Kedah (2008) iaitu selepas peralihan kuasa. Saya sering kali disuruh ketua untuk dapatkan reaksi Ustaz Azizan bagi isu-isu semasa. Ketaq perut setiap kali mahu menekan nombor telefon beliau sebab orangnya garang. Demi tugas saya beranikan diri, dapat dua tiga patah pun sudah cukup untuk 'goreng' berita.

Disebabkan terlalu kerap menelefon, suatu hari, pada sidang media di Wisma Darul Aman, Ustaz Azizan bertanya,

“Mana satu Linda?”.

Saya ketika itu berada di barisan belakang, terus berkata:

“Ya, saya”.

Rakan media di hadapan membuka ruang untuk saya ke depan. Saya tersengih tak tahu nak kata apa. Azizan dengan wajah serius, bersuara:

“Kamu ni, duk telefon saya. Saya marah, kamu telefon lagi. Saya marah lagi, kamu telefon juga. Saya dah tak tau nak marah macam mana lagi”.

Kata-kata itu tak pernah saya lupa kerana sejak itu jugalah hubungan saya dengan arwah semakin baik,dan arwah mula beri kerjasama. Ada kala, ketika bertanya isu panas, sebelum Ustaz Azizan memberi ulasan, sudah tentu saya kena marah dulu. Yang bestnya, selepas marah, Allahyarham akan memujuk dengan kata-kata jenaka, bagaikan seorang bapa bercakap dengan anaknya.

Ada juga rakan media yang dihamburi atau ditengking jika cuba dapatkan reaksi Allahyarham melalui telefon. Dari hari ke hari, saya cuba membina hubungan lebih mesra antara media dan Ustaz Azizan. Banyak pandangan saya berikan kepada Allahyarham supaya hubungan beliau dengan media menjadi lebih diplomasi dan relaks.

Sejak itu Ustaz Azizan dilihat semakin bersikap terbuka dengan media. Beliau sebenarnya bukan tidak mesra media pada awalnya, tetapi sebenarnya beliau kecewa kerana banyak kenyataannya di putar belit. Setiap kali berita Ustaz Azizan terpampang di dada akhbar yang tidak menyenangkan, setiap kali itu juga Allahyarham menghubungi saya untuk memberi kenyataan balas atau sekadar meluahkan perasaan.

Namun sebagai bekas Pengarah Urusan Harakah, Ustaz Azizan akur dan faham dengan pendirian setiap akhbar di negara ini. Sebab itu, Allahyarham tidak melatah tetapi ambil sikap malas nak layan. Jika Ustaz Azizan berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja, pagi-pagi lagi beliau menghubungi saya untuk bertanya khabar Kedah, apa yang berlaku sepanjang ketiadaan Allahyarham.

Disebabkan itu juga, saya perlu sentiasa alert dengan apa yang berlaku kerana saya tahu Alllahyarham akan hubungi saya bila-bila masa sahaja. Mungkin Ustaz Azizan mahukan perspektif berbeza satu-satu isu, di mana sebagai orang media, saya telus menceritakan dari semua sudut.


PERGINYA SEORANG PERMATA AGAMA

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri?” tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai sebahagian daripada keluarganya.

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

PENUTUP

Moga perjalanan beliau di alam barzakh merupakan tempat istirahat yang panjang. Dan kita? Kita pula yang masih hidup hendaklah mengambil ibrah akan pemergian beliau. Perjalanan kita di dunia belum cukup baik untuk dijadikan bekalan menuju alam sana. Marilah kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk metaati-Nya. Marilah kita menjadikan kehidupan yang dipinjam ini sebagai saksi bahawa kita telah melakukan amalan soleh selama hayat dikandung badan. Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju bertemu Ilahi. Saya yang berpesan bukanlah bererti saya yang terbaik. Wallahua’lam.

SUMBER COPY AND PASTE

Sila baca lanjut di :


Ketika itu Ustaz Azizan sempat berseloroh, “Mana tau, ni (gambar) yang terakhir dengan kamu semua” (Ceriita wartawan Sinar Harian)

2 ulasan:

  1. Al Fatihah untuk Ustaz Azizan..moga beliau tenang bersemadi di alam sana bersama cahaya amalan soleh yang telah disemai semasa hayatnya..amin ya Rabb..

    BalasPadam
  2. Al-fatihah, smoga ALLAH menempatkan Arwah Ustaz Azizan dikalangan org2 yg beriman dan beramal soleh.....kita kehilangan satu lagi PERMATA......

    BalasPadam