"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."
Memaparkan catatan dengan label Tolibah Mumtazah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tolibah Mumtazah. Papar semua catatan

ALAHAI, AKADEMIK VS DAKWAH LAGI?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Senyum.. senyum.. bersangka baiklah dengan Allah. Dekatilah Allah di saat senang sebagai tanda kesyukuran kita. Dekatilah Allah di saat duka kerana kita lebih memerlukan Dia pada saat itu.

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Aku mengikut sangkaan hambaKu kepadaKu, maka terserahlah dia hendak menyangka apa yang disukainya terhadap Aku.” (Riwayat Ibnu Abid-Dunya)

YEAY, SEMESTER BARU!
Telah bermula sesi pengkuliahan yang baru bagi semester ini khususnya di UTeM. Tahniah kepada sahabat-sahabat kerana dapat meneruskan pengajian seperti biasa. Moga semester ini lebih baik dari semester-semester yang lalu. Kuatkan semangat, pastikan strategi baru disusun, strategi lama yang boleh diteruskan maka teruskanlah, dan yang tidak membantu maka tambah baiklah atau tinggalkan sahaja.

Ahah, tidak ketinggalan juga bagi yang direhatkan dari pengajian bagi semester ini. Pastikan kelapangan masa yang ada digunakan sebaiknya. Muhasabah dan teruskan juga usaha menuntut ilmu fardhu kifayah ini. Ingat, walaupun tidak ke kelas, tetap juga menjadi tanggungjawab kita untuk menguasai bidang ilmu ini.

AGAIN AND AGAIN, AKADEMIK VS DAKWAH?
Kelihatannya, golongan para gerakan dakwah di kampus sudah mula pening kepala dengan bersusunnya program yang banyak menanti ye? Kenapa pula nak pening?

Yalah, kan AKADEMIK NOMBOR SATU, DAKWAH BUKAN NOMBOR DUA. Eh, yeker? Bukan-bukan, DAKWAH PENTING, AKADEMIK PUN PENTING JUGAK. Eh, AKADEMIK PERTAMA, DAKWAH UTAMALAH. Errr.. then mana satu awlanya?

Harapan ibu bapa yang ingin melihat anak kesayangannya mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik dan tanggungjawab dakwah yang menuntut harta dan keseluruhan yang ada pada diri kita?

Seringkali berlaku kepada aktivis-aktivis dakwah dimana-mana kampus sekalipun, adunan kedua-dua agenda dakwah dan akademik tidak diadun dengan baik. Dalam banyak-banyak perbahasan pula mesti timbul istilah Dakwah vs Akademik. Adalah teramat baik sekiranya kita lebih berfokus kearah mencari titik keseimbangan, kerana apabila dihayati dengan baik peranan kita untuk menerajui kedua-dua aspek kewajipan tersebut maka tidak timbul lagi samada dakwah atau akademik yang dipersalahkan atas keciciran salah satunya.

Adakala dakwah mengatasi akademik, ada pula ketikanya akademik mengatasi kerja dakwah. Rupanya dalam dakwah dan akademik pun ada pasang surutnya. Lebih malang lagi, ada antara kita yang keciciran dalam kedua-dua tanggungjawab dakwah dan akademik. Tanggungjawab kepada kedua-duanya tidak boleh dikesampingkan apatah lagi, kita memegang title sebagai seorang Muslim, pelajar dan seorang anak sekaligus.

Berkata seorang ustaz, “ apabila kita menceburkan diri dalam arena dakwah, maka kita akan cemerlang.” 

Sebenarnya, jika kita benar-benar berada dalam arena dakwah, sewajarnya kita akan cemerlang kerana dakwah menuntut seseorang itu menjadi seorang Muslim yang sejati seperti yang ditunjuki oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kalau kita itu ingin mengetahui ciri-ciri Muslim sejati cukuplah kita lihat pada diri Rasulullah SAW.

“ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”-Surah Muhammad :7

Tujuan kita benar. Usaha kita jujur. Niat kita tulus. Allah Taala pasti melihat dan menilai usaha kita walau sekecil-kecil usaha.

Namun, kita jagoan yang bersemangat dan aktif dalam lapangan dakwah, tetapi kecundang dan tumpas di dewan kuliah? Kita cergas dan cerdas berdakwah, kenapa lesu di bilik kuliah? Pelik. Kenapa pula akademik dikeluarkan dari skop dakwah? Dalam dakwah tidak ada akademik? Atau dakwah cukup sekadar berusrah dan berceramah?

Sesungguhnya akademik juga medium dakwah. Dai’e yang cemerlang akademik dipandang tinggi oleh sang mad’u. Barangkali medium akademik lebih berkesan dalam menyampaikan mesej dakwah. Kita selalu sebut dakwah bil hal. Dakwah melalui teladan. Nah, kalau konsep ini diaplikasikan dalam akademik, pastinya mad’u tidak teragak-agak untuk belajar daripada kita. Seperti satu pakej yang sempurna, duniawi cemerlang, ukhrawi gemilang.

DON’T WORRY
Let by gone be by gone. Yang ada teruskan. Allah pastikan bersamamu, jika kau menolong agamaNya.

COPY & EDITED FROM:

**boleh baca full isi dari blog mereka. tq


MASIH MENCARI, MENGAPA SAYA GAGAL LAGI?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.


Hari ini dan selama-lamanya, rafakkanlah rasa syukur kita ke hadrat Allah swt yang telah mengurniakan kita nikmat yang tiada henti-henti. Jika Dia uji kita, sekejaaaaaaap je kemudian akan datanglah pertolongan dariNya. Dan jika panjaaaaang pula tempoh ujian itu, tetap ada bantuan-bantuan dari Allah untuk kita melaluinya. Namun yang pasti, Allah itu sangat baik kepada kita. Hanya kita, kita sahaja yang sering-sering sahaja menzalimi diri sendiri. Sungguh!

MAN JADDA WAJADA
Time semangat memuncak, 2jam sepenuhnya tumpuan dapat diberi sepanjang berada di dalam kelas. Seronok dan rasanya kepuasan! Tapi kemudian, balik tidak pula ulangkaji dilaksanakan. Herm.. macam manalah nak cemerlang? Dan bila tiba masa malas memuncak, ke kelas pun tidak. Pelbagai alasan dan MC diberikan salinan kepada lecturer. Bila ditanya mengapa fail? Mengapa tidak score? Mengapa rasa susah? Jawapnya? Ada di antara kita mula mengatakan, itulah takdir. Dah usaha katanya. Sungguhkah?

Cuba perhatikan, mereka yang cemerlang, banyaknya masa mereka di kampus, melibatkan diri dalam perbincangan berkumpulan, sering ke makmal menyiapakan tugasan lab. Student-student chinese juga begitu. Mudah ceritanya, sebenarnya mereka beroleh setimpal dengan apa yang mereka usahakan. Buka mata kita! Buka minda! Buka hati! Muhasabah!

ALKISAH SEORANG PEMALAS
Abtawi seorang budak yang malas. Disebabkan malas, segala projeknya terbengkalai kerana tiada pengurusan yang baik. Tapi tiada ramai yang tahu Abtawi seorang pemalas kerana lakonannya hanya hebat, selalu menunjuk dia sibuk di depan orang ramai.

“Redha sajalah. Ini takdir Allah. Allah nakkan begitu, nak buat macam mana.” – Itulah jawapan Abtawi setiap kali ditanya Ustaz Ibrahim yang diamanahkan menjaga segala projek di kampung Gunung Senyum.

Setiap kali Abtawi berkata sedemikian, Ustaz Ibrahim akan terasa sedih kerana duit warga kampung telah terbazir lagi.

Satu hari, Ustaz Ibrahim mula menubuhkan pasukan pemantau rahsia untuk memantau projek-projek di kampung. Analisa yang dibuat oleh pasukan pemantau yang pertama, 80 peratus projek yang tak jadi semuanya dimiliki oleh Abtawi.

“Tak mungkin. Budak itu rajin. Saya kenal dia sejak kecil. Cuba nasib tak menyebelahinya,” kata Ustaz Ibrahim yang mempertahankan Abtawi yang dididiknya dengan agama sejak kecil.

Setelah 3 bulan memantau, pasukan pemantau Ustaz Ibrahim memaklumkan bahawa Abtawi sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja yang diamanahkannya.

“Sebab dia tahu Ustaz selalu akan melawat pukul 10 pagi dan 4 petang, Abtawi hanya masuk kerja hampir-hampir dengan dua waktu itu dan menunjukkan dia membuat kerja. Semua projeknya dijalankan tanpa ada apa-apa pelan tindakan dan jadual,” kata ketua pemantau rahsia Ustaz Ibrahim.

Ustaz Ibrahim masih was-was mendengar laporan itu. Beliau ingin meninjau diri sendiri.

Besok harinya, Ustaz Ibrahim menukar masa melawat ke 9 pagi.

Setiba di tapak projek, Abtawi tiada di sana. Ustaz Ibrahim menemubual beberapa pekerja di sana.

“Dia hanya datang 2 jam sahaja sehari untuk menunggu kedatangan Ustaz. Kami cuma buat ikut pengetahuan kami. Tak pasti bila nak siap, bahan apa yang nak digunakan. Biasanya bahan yang diperlukan tak dibeli, katanya duit projek tak cukup,” kata seorang pekerja Abtawi.

Ustaz Ibrahim sedih dan terus meninggalkan tapak kerja itu sebelum kehadiran Abtawi. Beliau memberitahu pekerja-pekerja Abtawi jangan memberitahu bahawa beliau pernah datang.

Abtawi yang tiba di pukul 10 pg cemas menunggu untuk sejam kerana Ustaz Ibrahim tidak hadir. Kerana bimbang apa-apa terjadi pada Ustaz Ibrahim, Abtawi terus ke pejabat Ustaz Ibrahim untuk mencarinya.

Apabila Abtawi memasuki pintunya, Ustaz Ibrahim senyum – “Maaf tak sempat pergi hari ini.”

“Ustaz ada apa-apa ke? Sakit ke?” tanya Abtawi.

“Tak. Cuma hati tak sedap sikit. Projek bagaimana, boleh siap minggu depan?” tanya Ustaz Ibrahim.

Abtawi senyap seketika.

“Saya tak tahu mengapa malang sangat nasib saya dan Allah melayan saya sedemikian. Semua projek saya ada masalah. Projek ini, maaf Ustaz, saya dah cuba, tapi masih gagal disiapkan mengikut jadual,” terang Abtawi.

Memandang pada Abtawi, Ustaz Ibrahim bertanya pada dia, apakah beliau sedar Allah sedang melihat setiap perbuatan manusia di bumi ini?

Abtawi terdiam seketika.

“Saya sangat kecewa hari ini. Sebenarnya saya tak nak pergi tapak projek hari ini adalah untuk mengurangkan dosa kamu supaya kamu kurang menipu untuk sehari. Nampaknya tidak berjaya.

Ungkapan redha dengan ketentuan dan takdir Allah biasanya hanya digunakan untuk mengubati jiwa mereka yang telah berusaha bertungkus-lumus sedaya upaya untuk mencapai sesuatu tetapi gagal. Tapi ramai yang salahgunakan ungkapan ini. Jangan samakan kelemahan mengurus dengan takdir Allah. Jangan menghina Allah berkata kegagalanmu adalah takdirnya tatkala kamu malas, kurang berusaha dan mudah berputus asa.

Kamu tak layak berkata kegagalan projek dan membazirkan wang kampung ini ketentuan Allah tatkala kamu bekerja sambil lewa selama ini. Yang kamu bersungguh-sungguh selama ini hanya menipu saya yang mempercayai kamu telah bekerja sedaya upaya untuk menyiapkan projek yang diamanahkan.

Tahu tak mengapa kamu dapat menipu saya? Kerana saya mempercayai kamu – sebab sayalah yang mendidik kamu sejak kecil. Rupanya saya silap, sangat silap,” kata Ustaz Ibrahim.

Abtawi terkedu dan tidak berkata apa-apa. Sejak itu, Abtawi berhenti menjadi malas dan mula bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawab kepadanya.

Senyum.


RENUNG DIRI
Let by gone, be by gone. Yang penting sekarang ini, what next? Apa perancangan selepas ini? Syukur alhamdulillah, kerana setiap kali kita terleka dan lalai, ada sahaja yang mengetuk pintu hati ini agar bangkit kembali. Mohonlah kepada Allah agar kita beroleh hidayah tika melalui perjalanan hidup di dunia ini. Mudah-mudahan, setiap apa yang dipertanggungjawabkan ke atas kita tidak dipandang enteng dan remeh. 

Update&Upgrade!

#Alkisah seorang pemalas di 'copy paste' dari FB Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official) di link ini : https://www.facebook.com/ustaztitm




Selamat Datang Mahasiswa/i Baru Kemasukan Ijazah 2012/2013 ke UTeM


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt
     
 Alhamdulillah. Bersyukurlah ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi dua nikmat terbesar iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman pada hari ini. Tidak lupa juga nikmat kesihatan, yang mana dengan kesihatan tubuh badan yang baik mendorong kita untuk melaksanakan lebih banyak perkara-perkara yang berfaedah selagi mana tidak bercanggah dengan kehendak syarak. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan para sahabat baginda r.a.

Di kesempatan ini, ingin saya ucapkan Selamat Datang buat mahasiswa dan mahasiswi baru sesi 2012/2013 bagi program Ijazah Sarjana Muda ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Tahniah dan syabas kerana memilih dan terpilih untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu di sini. Sungguh, pemilihan anda ke sini adalah pilihan dari Allah swt.

Siswa siswi yang dikasihi sekalian,
Gunakanlah ‘tiket kebebasan’ di alam kampus ini untuk terlibat aktif dalam proses menuntut ilmu dan meng’upgrade’ diri sebagai mahasiswa UTeM yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam ilmu duniawi (keduniaan) iaitu kejuruteraan, ICT, dan pengurusan, dan ilmu ukhrawi (akhirat). Sahabat Rasulullah saw iaitu Saidina Ali r.a pernah berpesan, sesiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang menginginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang menginginkan kedua-duanya juga hendaklah dengan ilmu.
Di dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
   
Disini segalanya bermula, lakukanlah perubahan yang baik untuk diri, keluarga dan masyarakat. Tanpa langkah pertama, kita tidak akan sampai ke mana-mana. Oleh itu, sekali lagi ucapan tahniah dan syabas buat kalian. Kedatangan kalian amat dialu-alukan. Bak kata pepatah, 'Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.' Insyaallah, kita akan bertemu nanti, terutama di program-program anjuran Badar UTeM yang mendatang. 

      Akhir kata, selamat maju jaya saya ucapkan dan masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin diucapkan kepada semua. Jangan lupa puasa enam bagi yang belum melaksanakannya. Banyak ganjaran dan kelebihannya. Selamat Beramal.

Dari saya,
NOR NADIA BINTI ZAKARIA,
NYDP 2 Badar UTeM 2011/2012.
"With Ukhuwah,We Care"