"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."
Memaparkan catatan dengan label Mujahidah Mukminah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mujahidah Mukminah. Papar semua catatan

DUHAI DAIE YANG MELEMAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah. Benarlah orang kata, bila kita kehilangan sesuatu, barulah kita akan belajar menghargainya. Namun, mengapa selalunya kita setelah kehilangnya barulah kita mahu belajar menghargai? Ketika itu sebenarnya kekesalan tiada lagi bererti. Hanya dapat menjadi pengajaran, namun peluang kedua mungkin tiada lagi.

Saat ini, saya berada di rumah, atau istilah bahasa kami yang duduk merantau, ‘di kampung’ walaupun sebenarnya tidak juga tinggal di kawasan kampung. Masuk hari ini, sudah berbelas hari tidak berada di bumi tempat khusus saya menuntut ilmu, iaitu Melaka. Dan hari ini, barulah dapat membuka laptop, rindu juga. Kenapa? Sebab 1 jari saya sakit. 1 jari? Yep, 1 jari.

Para pembaca yang dikasihi sekalian,
Di saat ini, saya menulis bukan untuk mendapat simpati dan kata-kata “moga cepat sembuh” kalian. Terima kasih, jazakumullahu khair atas doa kalian.. hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Tetapi hari ini, saya ingin bermuhasabah dan mengajak kalian untuk turut serta bersama. Memandangkan berbelas hari saya menghadap jari, saya ingin membicarakan tentang jari. Boleh? Dengan harapan, mungkin ini salah satu usaha dakwah yang dapat saya usahakan walaupun tersekat daripada turun ke lapangan.

Orang kata, cubit peha kanan, peha kiri terasa. Saya kata, sakit 1 jari, jari-jari lain terasa juga. 

Sahabat-sahabat,
Jari, jari ada jari kelingking, jari manis, jari hantu, jari telunjuk, dan jari ibu. Kemudian, adanya belah kanan dan belah kiri. Perhatikan, ada panjang dan pendeknya. Ada gemuk dan kurusnya. Perasan?

Sahabat-sahabat,
Jika dibicarakn soal nikmat Allah, terlalu banyak, kita fokus seketika tentang jari. Kesemuanya ada 10. Setiap 1 ada kelebihan masing-masing. Setiap 1 ada fungsi dan peranan masing-masing. Jadi apa yang saya cuba nak sampaikan di sini?

Dakwah. Cuba kira usaha dakwah apakah yang kita buat hari ini? Cuba keluarkan, 1 jari mewakili 1 usaha. Ada? Ok mungkin, kita kata kita belajar sebagai 1 usaha dakwah. Tapi betul ke? Atau kita dalam hati kita belajar sebab “aku nak gaji besar”? Jangan ngelat, cuba naikkan 1 jari demi 1 jari, jika ada usaha yang benar-benar kita diniatkan sebagai dakwah. Paling tidakpun, mungkin sekadar 10 jari?

Sahabat-sahabat,
Kita tahukan, jika kita tidak bantu agama Allah, ada insan-insan lain yang akan terus bergerak. Dakwah akan terus berjalan, walaupun kita tidak terlibat. Jadi, mengapa kita semakin lemah? Mungkin kita kata kita tidak mencari alasan, tetapi hakikatnya kita memberi alasan. Jika semangat dakwah kita kuat, walau hanya dengan jari kelingking kita tetap akan usahakan. Betul? Perhatikan kembali alasan-alasan kita, adakah ianya terlalu peribadi dan jika kita jadi orang lain, mungkin kita akan perasan, alasan kita terlalu mementingkan diri.

Benar sahabat-sahabat, orang lain tidak faham situasi kita, tetapi mungkin kita sendiri yang tidak memahami keadaan kita. Duhai jiwa daie yang lemah, bangkitlah kembali, kita diberi 10 jari maka usahakanlah. Bermaksud, usahakanlah dengan kudrat yang ada.

Biarkan mereka terus menilaimu, yang pasti bermuhasabahlah. Mungkin mereka tidak tahu usaha dakwahmu sebenarnya berjalan, yang pasti teruskanlah dan bersungguhlah. Sepertimana kau tahu, betapa Allah melihat setiap usahamu, dan Maha Melihat segala-galanya.

Jangan sahabat, jangan biarkan ruh daiemu kian melemah! Dakwah itu medan pahala. Jadilah kita orang yang‘gilakan’ pahala.

SAIDINA ABU BAKAR ASSIDDIQ:
“TAKKAN AKU BIARKAN KURANGNYA (RUNTUH) AGAMA INI SEDANGKAN AKU MASIH HIDUP.”




KENAPA KISAH 2 MINGGU TERAKHIR SITI HAJAR DITULIS?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Seusai kelas tamat hari ini, 25 Mac 2014, Selasa, berhenti rehat sebelum ke lab petangnya, jam 2 hingga 5, saya melangkah ke Pusat Komputer di kampus tempat pengajian atas urusan akademik. Terpandangkan inbox pada email, lalu mengingatkan kembali pada pesan mak (mak kepada Hajar), katanya dia ada hantar email untuk saya baca. 

Mak, tak pernah pun jemu mengingatkan, berusaha meniupkan roh-roh dakwah agar ianya tidak terpadam dalam diri saya dan anak-anak muda, jiwa-jiwa muda yang seharusnya terus bergerak dan kencang dalam rentak dakwah. Namun, jiwa muda inilah yang selalunya lalai dan alpa, hanyut dalam hiburan yang sering melalaikan. 

Maka, tidak hairanlah lahir mujahidah seperti Hajar.. Sungguh akak cemburu padamu dek.. 

Saya kongsikan kepada anda, tulisan mak..

Allah...Allah...

Bismillahirrahmanirrahim

Pada awalnya kami keberatan menukilkan kisah perjalanan akhir Siti Hajar kerana bimbang disalahertikan. Sejujurnya kisah itu  terhasil dari permintaan Siti Hajar sendiri kerana rasa terhutang budi yang menggunung tinggi terhadap setiap insan yang telah membantunya selepas kemalangan itu, ditambah pula dengan permintaan yang kuat dari sahabat-sahabatnya yang ingin tahu perkembangan Siti Hajar semasa di dalam Hospital. Disebabkan sewaktu kemalangan itu berlaku, rakan-rakannya sedang menghadapi peperiksaan akhir, dan sukar pula untuk melawatnya kerana beliau di tempatkan di wad ICU. Terasa hiba hatinya melihat kesungguhan teman-teman melawatnya walaupun di waktu yang sungguh tidak sesuai. Sehinggakan, kedatangan pelawat yang terlalu ramai tersebut, telah mendatangkan rasa tidak senang pihak hospital.

Keikhlasan Siti Hajar dalam menjalankan tugas dakwah, `dibayar tunai ’ oleh Allah semasa saat-saat akhirnya. Lalu Hajar berharap agar pengalamannya itu dirakamkan dalam bentuk penulisan agar dibaca oleh rakan-rakannya sebagai `hadiah terakhir’ darinya bagi me’motivasi’kan rakan-rakan, para mujahid dan mujahidah di luar sana.

Apa yang ingin disampaikannya ialah janji Allah kepada mereka yang ikhlas berdakwah adalah benar. `Hadiah’ yang Allah sediakan untuk mereka sangat indah dan manis. Kerana sesungguhnya tugas dakwah itu sangatlah berat dan melelahkan, ramai yang patah semangat dan berhenti dipertengahan jalan. Lalu pengalaman Hajar ini adalah berita gembira yang Allah sampaikan kepada kita semua supaya jangan berputus asa dengan RAHMAT Allah yang tidak terhingga banyaknya. Pertolongan yang Allah beri juga adalah benar dan ada pelbagai cara ianya disampaikan. Menjadi tugas kita untuk memikirkannya dan bertasbih serta bertahmid mensyukuri nikmat-nikmatnya diatas pertolongan-pertolongan tersebut.

PERIBADI HAJAR

Gadis bertubuh kecil ini, pada zahirnya kelihatan pendiam tetapi kepada yang telah mengenalinya pasti tahu bahawa beliau sebenarnya seorang yang sangat positif dan periang. Mulutnya sangat petah berbicara dan kita boleh terpaku mendengar celotehnya tanpa sedar masa berlalu. Seorang pelawak berbakat semulajadi,  apa yang keluar dari mulutnya sering mencetuskan gelak tawa. Hati-hati  yang sedang berduka pun akan tersenyum mendengar butir bicaranya. Memang sukar untuk kita menahan gelak jika dia telah memulakan bicara. Biasanya dialah yang menceriakan suasana seperti katanya sendiri…`Bila dia ada, orang kata bising. Bila tiada….orang cari. Bila senyap, ditanya sakitkah? Bila dia dah pergi nanti….pasti orang akan rindukannya.’

Tidak sukar sebenarnya untuk bertegur sapa dengan gadis berwajah `baby face‘ ini. Umpamanya  mungkin suatu ketika, sedang anda berjalan, tiba-tiba anda disapa oleh seorang gadis yang bercakap seolah-olah dia telah mengenali anda sepanjang hayat. Dia sangat peramah dan kelakar. Kalau anda dari Kelantan, dia akan‘kece kelate’, jika anda dari Terengganu, dia akan gunakan bahasa ‘ganu kite’. Jika anda dari Melaka, dia tidak kekok berbahasa Melaka dan jika anda dari N.Sembilan, dia akan  berbahasa‘nogoghi’. Andai anda bermasalah, anda rasa selesa berkongsi masalah dengannya. Melihat airmukanya yang tenang dan wajahnya yang polos, terasa anda meyakininya. Dan dengan senyumannya yang murah, dia sentiasa cuba menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh kepada anda. Anda segera akan rasa selesa berkawan dengannya. Jika anda melakukan kesilapan dihadapannya, dia akan segera menegur dan membetulkan anda semula. Anda mungkin sebenarnya  telah pernah berjumpa dengan insan yang bernama SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR.

SEJARAH HIDUP

Beliau dilahirkan pada 27hb Jun 1993, di Hospital Besar Kuala Lumpur. Memulakan persekolahan pada usia 4 tahun dipelbagai Tadika Islam. Menjejakkan kaki ke Tahun Satu di SK Sungai Kantan  di Kajang. Seterusnya menyambung persekolahan di  Sek Madinatul Ilmi, Pondok Tok Kenali Kelantan di bawah kelolaan Ustaz Soleh, cucu Almarhum Ulama Tok Kenali, yang ketika itu baru pulang dari Mekah. Pernah setahun, iaitu semasa di darjah 5,  beliau belajar di  Madrasah Darul Taqwa,  Kuala Terengganu. Di sanalah, beliau diajar pengajian akademik bersepadu dengan sistem pondok. Pelajar dididik dengan akhlak yang baik, agar sangat mencintai Allah dan Rasul, menjaga hubungan sesama manusia serta menjaga ADAB di hadapan Allah, Rasul, ibubapa dan guru-guru. Hajar muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang di situ yang sangat disayangi oleh guru-guru dan rakan-rakan.

Sebagaimana lazimnya bagi seorang  pelajar pondok, menghafal surah-surah  munjiyat terpilih adalah diwajibkan. Di dalam Al Quran milik beliau, ada ditandakan surah-surah yang  dihafalnya iaitu Al Mulk, As Sajdah, Al Insan, Al Waqiah, Yassin, dan Ar Rahman sementara surah lain yang kerap dibaca seperti Al Kahfi, Al Baqarah, As Soff, As Saffat, Al Jumuah, Al Hujurat, Al Luqman, Al Maidah dan ‘Ali Imran. Surah-surah ini dibaca mengikut jadualnya sendiri: ada yang dibaca setiap hari sebelum tidur, pada waktu selepas solat dan ada yang dibaca bila berkesempatan kerana kekangan masa sebagai pelajar.

SEKOLAH MENENGAH

Seterusnya beliau menyambung pengajian peringkat menengah di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Kelantan. Di situ beliau mula diasuh untuk berdakwah tetapi kerana umur yang belum matang, semua itu dipandang ringan. Tugas dakwah dilepaskan pada` senior’ yang lebih syadid.

Semasa masuk ke Tingkatan 3, tempoh kerja ayahnya di Pantai Timur telah berakhir dan Siti Hajar dipindahkan ke SMK Lubok Cina Melaka. Bertukar dari Sek Agama Perempuan ke sekolah kebangsaan memang satu kejutan budaya bagi beliau. Di sini, terlalu banyak masalah di kalangan remaja sekolah yang disaksikannya .Kelemahan akhlak di kalangan remaja terlalu ketara. Sedikit demi sedikit beliau mula berdakwah secara bersendirian di kalangan pelajar-pelajar perempuan. Segala ilmu yang dipelajarinya di sekolah lamanya dimanafaatkan sebaik-baiknya. Dia bagaikan kaunselor yang merawat jiwa-jiwa yang hilang arah. Pelajar-pelajar yang terluka kerana ‘cinta monyet’ diajak bertaubat dan  dipujuk mendekati Allah. Rahsia-rahsia mereka disimpannya dengan teliti. Yang mana tidak mampu mengaji Al Quran, diajarkan dengan sabar malah beliau menjadi Naqibah di asrama, membantu Ustazah mengendalikan kelas mengaji. Masa berlalu, semakin ramai yang mendapat `sentuhan jiwa’ dari beliau termasuk dari kalangan pelajar-pelajar  lelaki. Hajar mula rasa terbeban bergerak sendirian kerana persatuan ugama di sekolah tidak cukup memainkan peranan yang sepatutnya. Fikirnya alangkah baik kalau ada Jemaah yang sama-sama memikul gerakan dakwah di sekolahnya pada masa itu supaya pelajar lelaki boleh dibantu oleh kaum sejenisnya sementara pelajar perempuan dibantu oleh sesama perempuan.

KOLEJ MATRIKULASI MELAKA

Doa Hajar diperkenankan Allah. Menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Melaka adalah RAHMAT Allah untuk memudahkan kerja dakwah beliau. Di sini, beliau dihimpunkan dengan rakan-rakan yang sama bercita-cita untuk melihat Islam tinggi di muka bumi ini. Beban yang berat terasa ringan apabila dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Dipilih sebagai Naib Exco Publisiti di dalam Nadi Tarbiyah Pelajar, yang bertanggungjawab mempromosikan aktiviti-aktiviti Nadi Tarbiyah. Alhamdulillah, semua tugasan yang diberi, disempurnakan dengan baik dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Tugas dakwah menjadi semakin menyeronokkan bila usaha mereka mula membuahkan hasil. Antara kejayaan terbesar Nadi Tarbiyah Pelajar  sepanjang setahun itu ialah mengubah majoriti pelajar perempuan agar bertudung dengan sempurna dan meramaikan pelajar lelaki bersolat jemaah. Dan diantara kursus yang paling bermanafaat yang dianjurkan oleh NTP ialah kursus pengurusan jenazah. Apa yang indahnya ialah apabila Hajar yang mengikuti kursus tersebut, menggunakan pengetahuannya itu dalam menghadapi sakaratulmautnya sendiri dan rakan-rakannya yang turut serta dalam kursus tersebut adalah rakan-rakan yang turut memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan jenazahnya. Dulu itulah ikrar mereka, jika mereka telah terpisah, andai ada yang mengadakan walimah, maka datanglah memeriahkan suasana. Tapi andai ada yang dijemput Allah, maka datanglah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Belajar di UTeM

Timbulnya minat untuk mempelajari MEDIA KREATIF sebagai pilihannya di UTeM, supaya mudah beliau menyampaikan dakwahnya melalui media elektronik; menggunakan watak-watak animasi dan satira. Waktu itu nanti, ruang lingkup dakwahnya tidak terbatas kepada khalayak perempuan sahaja tetapi merangkumi kedua-dua jantina di seluruh dunia. Baru sepenggal menjadi penghuni bumi bertuah UTeM, Hajar belum dapat mencurahkan baktinya. Namun dia sempat mengambil bahagian di dalam setiap program yang dianjurkan oleh BADAR. Mungkin kerana terlalu teruja untuk mempelajari teknik-teknik  pembikinan video, dia cuba menyiapkan video pertamanya untuk kami saksikan. Janjinya, nanti dia akan membaiki lagi mutu videonya bila ilmunya bertambah dan secepat mungkin dia akan mula berdakwah di internet. Malangnya, umur beliau telah sampai ke penghujungnya.

Bagaikan tahu hayatnya semakin singkat, sebelum kemalangan tersebut, beliau sempat menghubungi rakan-rakan lamanya dan berpesan agar mereka meneruskan dakwah tanpa henti. Pada muslimat, ditekankan bersungguh-sungguh agar terus kuat dan agar meletakkan malu pada tempat yang sesuai. Padanya muslimat perlu berani dan lantang bersuara pada waktu yang sepatutnya, perlu yakin mengeluarkan pendapat dan tegas dalam menjalankan tugas dakwah. Seolah-olah beliau ingin berpesan, `saya akan pergi dan kamu semua adalah pengganti saya’. Ramai rakan-rakan lamanya telah terkesan hebat dengan obor semangat yang dibakarnya dan mereka sedang bergerak aktif di saf kepimpinan Islam universiti-universiti seluruh Malaysia.

Pada Hajar, apapun pandangan orang lain terhadap kerja dakwahnya, tidak berbekas dihatinya kerana apa yang penting adalah REDHA Allah sahaja.

PERANAN HAJAR SEBAGAI PENDAKWAH WANITA

Terdapat perbezaan yang jelas antara peranan Dakwah seorang  lelaki dan seorang wanita. Tugas pendakwah lelaki lebih berat dan menyeluruh. Dia lebih terkehadapan sementara seorang wanita tugasnya lebih banyak dibelakang tabir. Wanita menjadi tulang belakang yang menguatkan kerja dakwah seorang lelaki. Seorang pendakwah wanita harus tahu ruang lingkup medan dakwahnya supaya penglibatannya tidak mendatangkan fitnah. Dia harus tahu batasan-batasan yang tidak boleh dilanggarnya semasa berdakwah. Janganlah hendaknya kerana ingin berdakwah, kita menghalalkan segala cara.

Kebijaksaan pendakwah wanita memilih medium untuk berdakwah terutamanya kepada golongan wanita sendiri, akan memudahkan Islam disebarkan dengan meluas dibumi ini dan ajarannya difahami dengan mudah. Pendakwah wanita harus melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya fiqh untuk wanita. Hajar memainkan peranan yang cemerlang dalam merangsang dakwah kaum wanita turut menggerakkan kaum lelaki terutama sekali ayah dan adik-adik  lelakinya yang In Shaa Allah, kini sedang giat mempersiapkan diri menyambung tugasan dakwahnya.

HAJAR SEBAGAI SEORANG ANAK

Adalah sukar untuk memahami bagaimana seorang anak yang telah remaja, masih mempunyai ikatan perasaan yang begitu kuat dengan orang tuanya. Hajar amat menghormati ibubapa dan setiap hari dia meraikan ibunya. Hampir setiap hari dia menghantar pesanan ringkas,  berkongsi pelbagai cerita yang dilaluinya. Padanya, ibu bukan sekadar ibu yang melahirkan, tapi juga sahabat karib, guru dan mentornya dalam mengharungi hidup. Beliau berkongsi minat yang sama dengan ayahnya dalam bidang komputer serta mengambil bakat ayahnya dalam watak ceria dan gurau sendanya. Dalam banyak hal, pandangan ibubapa tidak pernah diketepikan dan sentiasa minta didoakan yang terbaik untuknya.

Kami pernah menyarankan agar dia menjadikan cara dakwahnya seperti serbuk kopi yang  mampu mengubah air dengan lembut dan tanpa paksaan. Tuntasnya, agar dia menyampaikan ilmu dengan berHIKMAH dan lemah lembut dan supaya orang ramai `jatuh cinta’ dengan Islam selepas melihat peribadi indah yang ditonjolkan oleh penganut islam itu sendiri. Kerana itu, sentiasa kami katakan kepadanya, kami ikhlaskan hidup matinya di jalan Allah, agar dia sendiri IKHLAS dalam setiap tindak tanduknya. Juga kami pesankan, dakwah yang disampaikan dari hati yang ikhlas itu bagaikan cahaya,  akan mudah meresap masuk  ke dalam hati-hati yang mendengarnya.

PAHIT GETIR PENGALAMAN SEORANG PENDAKWAH

Namun Allah tidak menjanjikan laluan mudah kepada para pendakwah. Sesiapa yang mengaku beriman, pasti Allah datangkan ujian untuk melihat sejauh mana keimanan hamba tersebut. Di Kolej Matrikulasi Melaka, Hajar terkena gangguan jin (bukan kerasukan) sehingga tubuhnya kerap kelesuan. Kami merawat beliau menggunakan rawatan islam dan kami titipkan zikir- zikir untuk diamalkan bagi melindungi dirinya dari gangguan tersebut. Itulah hikmah disebalik kejadian. Zikir-zikir  yang diamalkan  dari gurunya Dato’  Sheikh Hj Mohd Murtadza bin Sheikh Hj Ahmad, mantan mufti Negeri Sembilan, menjadi sebati dengan diri dan mendekatkan hubungannya dengan Allah.

Sejak itu Allah sentiasa di hatinya. Sentiasa dia memerhatikan alam sambil menghayati kebesaran Allah. Sentiasa terasa Allah berada disampingnya, membantunya dalam setiap perkara. Setiap urusannya diadukan kepada Allah. Allah dipilih sebagai pelindung dalam setiap musibah yang datang. Di situ bermulanya kisah cinta hakiki seorang makhluk kepada penciptanya. Sehinggakan saat-saat  kematiannya bagaikan saat yang mengembirakan, saat yang sentiasa ditunggu-tunggu dan tanpa rasa berat hati, dia terus minta izin untuk melangkah pergi. Bagaikan sebelum pemergiannya itu, Allah telah dulu menghiburkan hatinya dengan mempamerkan anugerah-anugerah yang indah. Kerana itu, di wajahnya tiada terpancar sebarang kebimbangan dan dalam kesakitan, senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.

BERITA DARI ALLAH

Maha suci Allah yang Maha Mengasihani, sebulan sebelum kemalangan tersebut,  Allah telah menyampaikan berita  bahawa Hajar akan diambil kembali untuk bertemu penciptanya. Dalam mimpi ibunya, Hajar  telah dipakaikan pakaian pengantin keemasan dan tetamu yang hadir memenuhi seluruh ruang dewan yang amat besar. Walaupun pelbagai ikhtiar telah dilakukan tapi ajalnya sudah tidak boleh ditangguhkan lagi. Dia pergi membawa hatinya yang suci bersih dan meninggalkan semangat juangnya untuk diteruskan oleh seluruh rakan-rakan yang ditinggalkan. Lahirnya dulu pada hari Ahad 8hb Muharram, perginya pula juga pada hari Ahad 8hb RabiulAwal.

AKHIR KATA

Jika anda menyayangi Siti Hajar, dia juga menyayangi anda sebagai saudaranya kerana orang Islam itu bersaudara. Siti Hajar mencintai Allah dan Rasulnya, maka anda juga cintailah apa yang dicintainya. Jika anda menyanjung Siti Hajar, maka dia tidak layak untuk menerima sanjungan itu. Dia juga manusia seperti anda yang pernah melakukan kesilapan. Beliau hanya meneruskan jejak dakwah idolanya iaitu Nabi Muhammad s.a.w., maka ambillah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai idola anda.

Hajar sebagai seorang mujahidah, terlahir dari hasrat seorang ayah yang mahu anaknya menjadi pembela Agama Islam, lalu berkorban segala-galanya untuk pendidikan anak tersebut. Hasrat tersebut dipermudahkan oleh Allah dengan menghantarkan dia untuk dididik oleh guru-guru yang hebat dan dibimbing oleh senior-senior yang lebih berpengalaman. Seterusnya tugas beliau disokong pula oleh kehadiran sahabat-sahabat yang suci bersih hatinya dan ikhlas di dalam persahabatan.

Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk dari kelemahan kami sendiri. Semoga setiap yang mendengar perkongsian  ini mendapat taufiq dan hidayah dari Allah dan mengambil pengajaran yang berguna darinya. Amin 3x …Ya Rabbal ‘Alamin.

                            ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Syukur alhamdulillah..syukur dengan segala nikmat kurniaan Allah.. syukur ada mata untuk membaca, ada hati untuk merasai 'simbahan' teguran, syukur ada telinga yang masih mahu mendegar, syukur ada kaki yang masih mahu ke tempat-tempat kuliah. Mudah-mudahan kita istiqamah walau apa jua cubaan yang melanda. 

Isi tulisan seterusnya saya 'copy & paste' untuk manfaat bersama dan peringatan khusus buat diri saya. 


Ingatan dan Nasihat Dr Raghib Sirjani (Ahli Ikhwan di dalam bukunya Pemuda Peka Zaman):


1.      Tinggalkan perbuatan dosa dan maksiat sekarang juga !


"Wahai anakku, Orang yang melakukan maksiat tidak akan mampu untuk memberikan komitmen dalam perjuangan di jalan Allah ini." (kata Dr Raghib Sirjani)
Seperti mana pesan Saidina Umar Al Khattab kepada angkatan tentera Islam, ketika mana mereka mahu berangkat ke medan perang, “Jangan sesekali kalian berbuat maksiat, sedangkan kalian berjuang di jalan Allah.”

Juga kisah yang diceritakan oleh Dr Amr Khaled di dalam bukunya mengenai seorang pemuda yang datang kepada Saidina Ali lalu berkata, “Aku khuatir bencana yang terjadi di seluruh negeri Muslim adalah kerana dosaku, sebab aku mengetahui betul dosa-dosaku.”

"Aku terkejut ! Aku merenung ! Benar apa yang dikatakan oleh pemuda itu. Tidak ramai yang mengerti akan hakikat ini. Sesungguhnya bencana turun kerana maksiat dan lenyap kerana taubat." (Saidina Ali r.a).

2.      Kenalilah Agamamu

“Wahai anakku, bagaimana mungkin anda ingin menunjukkan komitmen terhadap Islam sedangkan anda sendiri tidak mengenalinya ? Bagaimana anda akan berpegang teguh kepada sunnah, ajaran dan manhaj hidup Islam sedangkan anda tidak mengetahui asal usulnya ?” (Pesan Dr Raghib)

Justeru, jangan pernah berhenti belajar agama ! Analogi mudah, belajar agama ini macam ambil nutrisi untuk hidup. Cukupkah sekadar makan nestum dari kecil sampai besar ? Cukupkah zat untuk terus hidup ?

Begitu juga dengan belajar agama. Agak-agaknya, cukup ke ilmu agama yang kita belajar setakat kafa 1-6 itu buat bekalan kita sampai akhir hayat ? Dengan cabaran yang semakin dasyat. Ianya pasti tidak akan cukup. Sama-sama renungkan.

3.      Tambatkanlah hatimu dengan masjid

“Wahai anakku, sesungguhnya orang yang hatinya terpaut dan cinta akan masjid, sebenarnya ia telah berhasil membina stamina keimanannya kepada Allah.”

Seperti firman Allah swt di dalam Surah At Taubah ayat 18 : “Hanyalah orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian.”

4.      Jadilah pemuda yang berprestasi

Dr Amr Khaled pernah berkata, “Musibah terbesar umat ini, adalah bilamana pemuda hanya menganggap agama hanya ada di masjid.”

Mereka sebenarnya lupa, bahawa, keputusan cemerlang dalam pelajaran sebagai contoh adalah kayu ukur untuk menilai betapa tingginya darjat sesuatu ummat itu ? Selain kepakaran di dalam beberapa bidang yang lain.

Katanya lagi, “Sanggupkah engkau melihat, prestasi akademik mahasiswa nasrani (bukan Islam), mahasiswa yang menganut fahaman sekularisme, plurasime, liberalisme lebih baik daripada dirimu ?

Allah.. Ampunkan dosaku ini..

5.      Sambungkan tali silaturahim

“Wahai anakku, eratkanlah kembali hubungannmu dengan ibu bapa, kaum keluarga, serta sanak saudara. Perpaduan ummat pada masa kini tidak dapat dicapai melainkan dengan bermula daripada yang asas. Iaitu institusi keluarga.”

6.      Berhati-hatilah dalam memilih teman

“Wahai anakku, meskipun stamina keimananmu terasa sudah mantap, tetapi jika engkau bergaul dengan orang-orang yang tidak baik, hal tersebut akan mengembalikan kondisimu ke titik permulaan atau atau bisa terjerumus ke titik yang paling rendah.”

Jangan sesekali engkau berkata, “Saya akan menjaga diri dan saya tidak akan terpengaruh dengan mereka.”

Sesekali jangan engkau katakan begitu. Kerana, sesungguhnya akhlak, agama dan tabiat seseorang serupa/ diukur dengan akhlak, agama dan tabiat temannya.

Adapun ada satu pesan daripada Syed Qutb, jika kita still mahu bergaul dengan mereka (dengan tujuan untuk berdakwah), kita haruslah beruzlah. Istilah ini dinamakan sebagai “uzlah Syu’uriyah”. Pengertian uzlah yg dimaksudkan ialah, pengasingan jiwa daripada turut dikotori atau dijangkiti noda-noda masyarakat jahiliyah dengan:
a.       Menjadi seorang yang punya qudwah
b.      Menunjukkan akhlak yg baik
c.       Terus merasai ketinggian iman

Uzlah yg dimaksudkan juga adalah perbezaan.

a.       Perbezaan antara golongan yg beriman dan kufur.
b.      Perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan
c.       Perbezaan dari sudut akhlak dan perlakuan.

7.       Peduli terhadap realiti yang menimpa umat Islam

“Wahai anakku, amatlah mustahil untuk anda mengubah nasib ummat ini, melainkan anda mengetahui dengan sebenar-benarnya masalah yang berlaku terhadap umat ini.”

Maka, disiplinkan dirimu pada setiap hari untuk:
- Membaca berita-berita dunia. (Subscribe, Al Jazeera, Preess tv, CNN, BBC, di phone atau gadget canggih masing-masing)
- Membaca situasi politik, terutamanya di negara timur tengah dan negara umat Islam keseluruhannya (melazimi untuk membaca majalah times, atau melayari web-web seperti Al Jazeera dan membaca journal-journal antarabangsa)
- Mengambil tahu perkembangan ekonomi dunia.

Ingatlah, tarbiyah kita adalah tarbiyah pejuang ! Bukan tarbiyah manja-manja ! Apatah lagi, tarbiyah buih sabun ! Justeru, hanya dengan mengetahui dengan benar kondisi sebenar umat Islam, barulah kepribadian muslim yang sempurna akan terbentuk agar umat ini dapat berdiri dengan kukuh dan kuat !

8.      Jadilah seorang Olahragawan

Wahai anakku, badanmu harus sihat, cergas dan kuat ! Pukulan keras yang dilakukan oleh Muadz Bin Amr r.a kepada Abu Jahal hanya mampu dilakukan oleh olahragawan sejati !

Maka, pilihlah aktiviti sukan yang bermanfaat. Yang benar-benar memberi manfaat buat dirimu dan ummat mu ! Seperti (Karate, silat, taekwando, dan sebagainya). Sukan yang menguji kekuatan seperti angkat berat dan menunggang kuda. Sukan yang menguji stamina seperti futsal dan bola sepak. Badminton serta sebagainya.

Tetapi ingat ! jangan sampai dirimu leka dan lalai dengannya, sehingga mengahabiskan waktumu untuk ummat !

9.       Ajaklah orang lain !

“Siapakah yang lebih baik perkataannya, daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal saleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (Fushilat :33)
Maaf ikhwah, maaf sekali lagi ikhwah ! Anda berbulatan gembira, bermain belon sabun air, berukhuwah manis-manis, namun apa guna andai itu semua tidak dapat kita aplikasikan dalam dunia sebenar !

Dunia realiti ! Usrah itu bukan hanya dalam lingkungan kita sahaja. Lingkungan orang baik-baik, tetapi usrah itu menuntut supaya kita berfikir untuk ummat, pergi lebih jauh, perhalusi setiap isu lebih dalam ! Pergi pada dunia luar, buka mata, buka telinga.

Jangan jadi orang yang syiok sendiri dengan tarbiyah. Sibuk hadam segala bagai buku fikrah dan dakwah, tapi bila sebut, isu umat Islam ?ha … terlopong .. isu Rohingya ? kaum gasar apa tu bro ? Isu kristianisasi ? kau biar betul ? Sekularisme ? Liberalisme ? Ha ? Lagi aku tak tau ? Usrah macam ni, namanya usrah di bawah tempurung !

10.   Uruskanlah waktumu dengan baik !

Akhir sekali, renungi dua pesan Imam Ghazali ini yang ditujukan khas buat pemuda “Kehidupan ini cuma tiga detik ; sesaat yang berlalu tidak dapat kita ubah lagi, sesaat yang sedang dilalui ini manfaatkan sebaiknya dan sesaat yang akan tiba pasti kita temui”

Dan, Wahai pemuda, Gunakanlah waktu lapangmu dengan sebaiknya kerana, Pengangguran adalah penyakit dan kesibukan itulah ubatnya. Seperti air yang diam menghanyutkan, menenggelamkan, mematikan, menjadi sarang nyamuk, membusuk, memburuk dan menimbulkan penyakit. Siapa pun orangnya, selama dia menganggur di rumahnya, dia tidak akan pernah terlepas dari kemungkaran.

Kesimpulan, Inilah serba sedikit nasihat yang saya dapat kutip mengenai pemuda melalui pembacaan yang sedikit ini. Semoga kita dijauhkan daripada menjadi golongan pemuda yang leka dan lalai dalam hidup.

Seperti mana yang disebutkan oleh Imam Hassan Al Banna di dalam risalah pemuda ;

”Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.”

Tetapi menjadi golongan pemuda yang membesar di tengah-tengah umat yang berjuang dan dirinya turut berjuang. Berjuang bersama untuk mengembalikan kedaulatan Islam agar kembali kepada posisinya yang sebenar. Posisi yang lebih agung dan mulia.

Maka sahabat sekalian, mulai saat ini, ayuh kita berubah ! Jangan kita menunda-nunda lagi ! Jangan kita bertangguh-tangguh lagi ! Jangan kita bermalas-malasan lagi ! Kerana kita tidak tahu apa yang bakal menunggu kita dihadapan nanti ! Boleh jadi cabaran yang lebih besar bakal menghalang kita untuk berubah.


MUSLIMAT HARAKI ITU

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, masih lagi kita dikurniakan nikmat terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat Islam. Yang mana, bukan semua orang berpeluang mengecapi nikmat ini. "Syukur padaMu Allah." 

SIAPA NAK MASAK NI?
Musim-musim exam seperti ini, norma bagi mahasiswa mahasiswa masing-masing begitu tekun menggunakan  sisa-sisa masa yang ada bagi membuat persiapan terbaik sebelum menjejak masuk ke dewan peperiksaan bagi setiap paper yang diambil. Selain belajar, masa yang ada dicuri sedikit untuk makan, untuk mandi, mungkin untuk jengah-jengah sedikit update di Facebook. Siswa siswi, setuju? 

Sehinggalah berlaku dialog di bawah.

"Zulaikha, kamu masak boleh petang ni?"

"Err...tapi Alisa, saya ada paper esok," 

"Ala, lisa pun pun ada paper gak. Sumer orang ada paper. Erm, takperlah, kita makan luar? Tapi nak makan luar pula, dah akhir-akhir ni duit dah nak habis. Nak makan luar pula. Husna?" serba salah Zulaikha dibuatnya. 

"Husna pun ada paper esok sama ngan ika.."sambil mempamerkan riak wajah meminta kasihan. 

Zulaikha, Husna dan Alisa, merupakan muslimat haraki, yang masih bujang, yang apabila membicarakan tentang Baitul Muslim, hebat-hebat belaka. 

AMANAH YANG SANGAT BESAR MENANTI DI HADAPAN
Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, urusannya dengan Allah begitu banyak, tidak ketinggalan menghadirkan diri ke kuliah-kuliah membentuk fikrah, merebut peluang berjemaah di masjid dan surau, malamnya meratap rindu dipecah kesunyian dengan tangisan yang syahdu, suaranya merdu dengan alunan surat cinta dari Allah iaitu al-Quran, dan hatinya sentiasa berhubung dengan kekasih terutamanya iaitu Allahu rabbul alamin.

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, urusannya sebagai seorang anak muda tidak ketinggalan, mendekati wanita-wanita di luar sana yang memerlukan sentuhan iman, dirinya di'serahkan' kepada yang memerlukan, sentiasa ada untuk membantu dengan penuh keikhlasan. Bahan bacaannya merupakan bahan-bahan yang mampu membina akhlaknya ke arah yang lebih baik. Melihat dirinya, bukanlah terlalu sempurna, tetapi cukup untuk dijadikan contoh buat teman-teman yang lain.

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, urusannya sebagai seorang anak yang solehah, seusai solat sering mendoakan ibu dan ayahnya, setiap kebaikan dihadiahkan pahala buat yang membesarkannya, setiap butir bicara, tindakan dan apa padanya menjadi penyejuk hati buat si ayah dan si ibu, silapnya sentiasa diminta ampunkan, dan menjadi harapan besar di hari tua kelak.

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, begitu sibuk urusan kehidupannya. Mana tidaknya, dia bakal menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Makan pakai suaminya, urusan rumahtangga, mengemas, memasak, pendidikan anak-anak, menjadi tanggungjawab utama. 

Saya membayangkan seorang muslimat haraki itu, mungkin juga seorang jurutera penting sesebuah syarikat, seorang doktor, dan ahli-ahli profesional, yang dirinya menjadi kepentingan sesebuah organisasi, tugasannya bukan setakat di lapangan kerjaya, apatahlagi yang menjadi kepentingan dalam masyarakat. 

BANGKIT MUSLIMAT HARAKI
Sungguh, dia benar-benar muslimat haraki, inginku tanya bilakah waktu rehatnya? Bagaimanakah dia mampu lakukan itu semua?

Semalam adalah sejarah yang tidak boleh dipinda, esok adalah khayalan yang belum nyata, hari ini adalah kenyataan dan penentu siapa kita. 

Detik-detik yang kita lalui hari ini, mungkin akan menjadi kebiasaan di hari kemudian kelak. Bagaimana bisa kita mampu melalui maratibul muslim dengan cemerlang jika di peringkat individu lagi kita sudah  fail?

TERMENUNG DI MEJA MAKAN
Sambil menjamah makanan yang tidak seberapa di depan mata, itulah yang saya fikirkan dan saya risaukan. Adakalanya kita hebat berbicara soal baitul muslim, namun bila masuk ke praktikalnya, sehingga ke pengurusan rumah yang belum belum bertangga (belum berumahtanggalah maksudnya kan), kita fail. 

Ingin saya kongsikan, kerana saya yakin, belum semua antara serius menggalas amanah sebagai muslimat haraki. Adapun mungkin hanya sekadar nama. Terbayang wajah YB Zailah, kak Aida Rohayu dan almarhumah Dr Lolo. 

Soal pengurusan masa sangat memainkan peranan. Perlukan kesedaran. Hidup untuk berjuang. Moga kita teguh untuk terus melangkah. 

Bagi muslimin, supportlah muslimat. Bagi muslimat, mohon kuat!

Moga kita bermanfaat buat Islam! Takbir!



Bagi Tazkirah di Hadapan? Oh, Tidak!

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat pembaca yang dikasihi sekalian.

Pejam celik, pejam celik, masyaallah di penghujung Ramadhan sudah. So, macam mana progress? Dah sedia ke nak graduate dari Ramadhan pada kali ini? Insyaallah, ada masa lagi, sahabat pembaca sekalian. Ada masa lagi untuk terus upgrade kualiti Ramadhan kita. Di kesempatan yang ada, jangan dipersiakan. 

"Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiq-Nya)." [7. Al-A'raf, 43]

Zohor tadi, Naib Canselor tercinta, Dato' Prof Dr. Ahmad Yusof Bin Hassan menyampaikan tazkirah di Masjid Saidina Abu Bakar UTeM. Kagum dengan beliau, walaupun seorang yang sibuk dan ternama, tidak ketinggalan mengerjakan solat berjemaah di masjid setiap hari. Hari ini pula, beliau menyampaikan tazkirah. Subhanallah!

Di pembukaan, Dato' begitu merendah diri menyatakan bahawa beliau tidak layak bercakap di hadapan, iaitu menyampaikan tazkirah. Menurut Naib Canselor yang amat dikasihi ini, kita perlu lebih banyak mendengar daripada bercakap. Subhanallah! Namun, dengan satu cerita yang dikongsikan oleh sahabat beliau, Dato' berada di hadapan untuk menyampaikan tazkirah. 

Apakah ceritanya?

Seorang guru, jika diminta diceritakan pengalamannya sepanjang menjadi seorang guru, terlalu banyak ceritanya. Seorang askar, jika diminta diceritakan pengalamannya sepanjang menjadi seorang askar pastinya tidak terhabis ceritanya dan memerlukan masa yang banyak untuk diceritakan. Dan seorang mahasiswa yang menuntut 4 tahun di UTeM misalnya, jika diminta menceritakan pengalamannya sebagai mahasiswa di UTeM, pasti banyak ceritanya. Tetapi, jika diminta menyampaikan tentang Islam, tentang agama, apa anda jawab duhai sahabat pembaca yang saya kasihi sekalian?

'Saya bukan ustazah.'
'Saya tak layak sebab saya tidak hebat dalam bab-bab agama ni.'
'Saya tak cukup ilmu.'
'Saya tak tahu.'
'Bagilah ustaz ustazah yang cakap bab ni.'

Walhal, sahabat-sahabat pembaca sekalian, kita menjadi orang Islam, sepanjang hidup kita. Walau sedikit tentang agama tidak mampukah kita sampaikan dan kita berikan peringatan? Hal ini berikutan sikap ummat Islam itu sendiri tidak 'izzah' dengan agama mereka sendiri. Jika 'izzah'nya ada, pastinya sentiasa dikaji, dibaca lagi, digali lagi ilmu Islam dan sentiasa inginkan penambahbaikan pada diri dari sudut perspektif Islam. 

Oleh itu, sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi sekalian, Ramadhan ini suburkanlah 'izzah' kita terhadap agama kita sendiri, iaitu Islam. Kita berikan 2 nikmat terbesar iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman. Kerana itu, di samping berpuasa, kita dituntun mempergiatkan kehadiran ke kuliah-kuliah agama dan menambah pembacaan ilmiah. 

Bulan Ramadhan merupakan bulan bercucuk tanam untuk hari kemudian. 1 bulan yang kita lalui ini penentu kepada bulan-bulan yang akan datang. Dan, jika selepas Ramadhan berlalu pergi, jika kita terus istiqamah, insyaallah, amalan kita sepanjang bulan Ramadhan adalah yang terbaik. Tetapi, jika kita kembali seperti sebelum Ramadhan, wana'uzubillah min zalik, janganlah amalan kita di bulan Ramadhan tersia begitu sahaja. Kerana itu, di penghujung Ramadhan ini, jika perkataan dan perbuatan masih tidak terjaga batasnya, jagalah, perbaikilah. Semoga benih yang kita tanam di bulan Ramadhan ini akan tumbuh pohonnya yang elok selepas Ramadhan nanti.

Ayat Dato' tidaklah bulat-bulat dapat saya ingat, tetapi 'ibrah'nya dapatlah saya kongsikan sedikit sebanyak di samping menjadi tatapan peribadi saya sendiri. Semoga bermanfaat. Insyaallah kita jumpa lagi. Assalamualaikum wbt. 

Semakan harian:
- Solat Sunat Tahajjud, Dhuha, Hajat, Taubat, Witir, Rawatib, done tak?
- Baca Al-Quran, Mathurat, buat tak rini?
- Solat Fardhu secara berjemaah, khusyuk, grap dah?
- Kulimin, Tazkirah, Baca buku ilmiah, Dengar IKIM, Dengar ceramah agama di You-tube, bagi kesan pada hati?

Moga lebih baik dari sebelumnya. Insyaallah!

'Cer sebut' 10 Sahabat Rasulullah Dijamin Syurga


 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat semua pembaca yang saya hormati.

Karnival Penghayatan Islam III (KPI III) masih in progress. Dari masa ke semasa, masih dalam usaha ke arah pelaksanaan. Sahabat-sahabat yang sentiasa menghulurkan bantuan, kerjasama yang dihulur tidak jemu-jemu diberikan oleh para penggerak KPI III ini. 

Dalam pada itu, tidak dinafikan tekanannya tetap terasa. Namun, kata-kata sokongan sahabat-sahabat dan doa mereka pastinya memberi perangsang buat jiwa meneruskan langkah. Di kala saya jatuh, mereka berusaha gagah, dan di kala giliran mereka rebah, giliran saya pula untuk menggapai tangan mereka. Begitulah suasana perjuangan bersama sahabat-sahabat dalam jalan dakwah. Saling lengkap melengkapi, berganding bahu dalam suasana ukhuwah Islamiyah yang tiada jemu.

Merebahkan diri seawal mungkin malam kelmarin membolehkan saya bangkit di awal pagi. Berziarah seketika ke group Badar UTeM d laman sosial Facebook. Tertarik dengan perkongisian seorang adik, Dzunnur Bintu Fmk, salah seorang ahli Badar UTeM yang aktif, berkongi dalam postnya satu dialog seperti berikut : 

Siti:adik minat k-pop?

Nur:Haa..k-pop? minat,minat,minat..*_*
Siti:Siapa artis-artis k-pop yg adik kenal?
Nur:Ish,ramai kak,lee min ho,hyun bin,kim hyun joong,siwon,bla,bla...
Siti:wah,ramai jugak ye artis k-pop yg adik kenal?
Nur:hehe..biasalah kak,peminat setia k-pop lah katakan..
Siti:Ooh..akak nak tanya lagi boleh?
Nur:Boleh kak..akak nak tanya pasal apa lagi,pasal artis k-pop lagi ke?
Siti:hmm..tak lah..pasal lain pulak..
Nur:pasal apa kak?
Siti:hmm..adik tau tak siapa 10 sahabat nabi yang dijamin masuk 
Syurga?
Nur:err..aa..hihi..tak tau lah kak..


Jika diminta, saya sendiri pun gagal menyenaraikan 10 nama sahabat ini, walhal saya tidak juga mengenal artis-artis K-pop atau seangkatan dengan mereka. Alhamdulillah, media massa kini seperti laman-laman sosial, radio, televisyen akhbar dan banyak lagi media telah banyak dimanfaatkan sebagai medium dakwah, medium tarbiyah buat ummah pada hari ini. Cuma, tinggal kita mahu atau tidak memanfaatkannya untuk kebaikan diri kita. 

Dan berikut adalah 10 nama sahabat yang dijanjikan syurga:
1) Abu Bakar As-Siddiq
2) Umar Bin Al-Khattab
3) Uthman Bin Affan
4) Ali Bin Abi Talib
5) Talhah Bin Ubaidillah
6) Zubair Bin Al-Awwam
7) Abdul Rahman Bin Auf
8) Saad Bin Abi Waqqas
9) Said Bin Zaid
10) Abu Ubaidah Al-Jarrah


Moga kita dapat mencontohi mereka, sahabat-sahabat Rasulullah saw dalam usaha untuk memburu keredhaan Allah swt dalam kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Insyaallah.

Semakan harian:
- Solat Sunat Tahajjud, Dhuha, Hajat, Taubat, Witir, Rawatib dan sebagainya
- Baca Al-Quran, Mathurat dan sebagainya
- Solat Fardhu secara berjemaah, khusyuk dan sebagainya
- Kulimin, Tazkirah, Baca buku ilmiah, Dengar IKIM, Dengar ceramah agama di You-tube, dan sebagainya