"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."
Memaparkan catatan dengan label Bintu Solehah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bintu Solehah. Papar semua catatan

DALAM MENJADI YANG TERBAIK


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan buat pembaca entri saya pada kali ini.

Entri terakhir yang menjadi catatan saya adalah pada April 2014 yang lalu. Selama tempoh itu, banyak yang berlaku dan banyak yang berlalu. Dan sedar atau tidak, mungkin juga inilah entri terakhir saya dalam status bujang. Masyaallah.

Pertama dan selama-lamanya, syukur kita ke hadrat Allah swt, yang mengurniakan kita segala-galanya. Hamba yang berdosa moga diberi keampunan dan kesedaran agar tidak putus asa dengan usaha taubatnya.

MASIH BELUMKU MAMPU
Bak kata sahabat saya sebentar tadi menyakat, “Enti, minggu terakhir jadi anak dara,” kata Atiq. Err…. Ye tak ye juga. Saya baru sedar. Dalam kesibukan dengan persiapan perkahwinan dan urusan di kampus, saya baru sedar apabila sahabat saya sendiri yang menyebutnya. Keliru dengan apa yang dirasa. Risau, sedih, gembira dan pelbagai rasa. Terfikir, sudahkah saya cukup menjadi anak yang baik untuk menjadi isteri yang baik? Mampukah saya taat kepada seorang suami dengan sikap degil terhadap ibu dan ayah selama ini masih belum dapat dikikis sepenuhnya?

Ayah dan ibu, belum pun dirasa hasil titik peluhku dari bekerja dan berpendapatan sendiri, kini jodohku bakal tiba. Kutahu mereka merestuinya, kutahu mereka melepaskanku dengan rela, namun dengan penuh harapan agar mereka tidak dilupa. Sungguh, aku bukan manusia sempurna, mengecilkan hatimu bukanlah niat sebenarnya. Jika aku masih tersalah, janganlah maaf diberi tanpa putus asa. Teruslah menasihatiku agar tidak leka. Teruslah mengingatkanku walau aku sudah berpunya.

Di saat ini, aku berehat menunggu masa. Kesibukanku tidak sesibuk mereka, bersengkang mata menyiapkan segala, menghadapi hari majlis ikatan kaseh satu-satunya puteri mereka. Semoga segalanya berjalan lancar dan dikurniakan keberkatan di dalamnya.

MENJAGA HATI IBU BAPA DENGAN BERKESAN
Pembaca yang dihormati sekalian, sejauh manakah kita telah menunjukkan cinta kita kepada ibu dan ayah? Sedar atau tidak, dalam tahu atau tidak, sesungguhnya pengorbanan mereka terlalu besar buat kita. Benar, kita manusia biasa dan tidak akan pernah sempurna dan akan ada kurangnya. Namun, haruslah kita mengusahakan yang terbaik.

Seorang ustazah pernah berpesan, “Nadia, selepas kahwin nanti, lebih banyak hati yang perlu dijaga. Terutamanya perasaan dan hati ibu dan ayah dan mertua.”

Dalam menjaga hati, saya tertanya, bagaimanakah caranya yang mungkin boleh diusahakan. Pernah ibu kata, “Ibu tak minta duit along, ibu tak nak minta apa-apa, Cuma jaga hati ibu.” Berat saya rasa, kerna saya tidak pernah mahu melakukannya. Namun, saya manusia biasa. Terlalu banyak kekurangannya.

BOLEH DIUSAHAKAN
Di sebuah blog, saya terbaca cadangan cara dari penulisnya agar dapat menjaga hati ibu dan ayah. Mungkin boleh dipraktikkan dan semoga sifat ini dapat dijadikan kebiasaan dan dibawa sehingga bila-bila nanti. Antaranya adalah bersikap hormat dalam keadaan apa jua emosi sekali pun. Mungkin kita pernah marah, pernah kecewa, tetapi perasaan itu sebaik-baiknya tidak mengurangkan rasa hormat kita terhadap ibu dan ayah. Berusahalah untuk tetap tenang dan tetap bijak menjaga emosi dengan baik.

Ayah kata begini, saya kata begini. Ibu kata begitu, saya pula kata “tidak… sebenarnya begini…” Huhu, sahabat yang memerhati menghalang, “cuba dengar dulu….” Hehe. Nadia…Nadia… Terukkan saya? Dalam soal pandangan dan pendapat, sampaikanlah dengan cara yang halus dan sopan, janganlah berkeras. Bukankah beza generasi, usia dan pengalaman membuka ruang perbezaan yang luas?

Adakalanya, dikemuncak, suara ini bagaikan meninggi. Astaghfirullah.. bercakapnya dengan ayah dan ibu tu kan… Bagaimana sekalipun perasaan kita pada masa itu, usahalah agar tidak berteriak, membentak, bersuara dan bernada keras. Susah…. mengendalikan emosi ketika marah, tetapi cubalah lakukan dengan baik. Insyaallah, semuanya dapat diatasi dengan baik. Jangan sesekali memarahi mereka, walaupun ada yang kita rasakan tidak betul pada mereka. Meskipun mereka di pihak yang salah.

PENUTUP
Sungguh, saya tidak pernah merasa layak membicarakan soal ini. Terlalu jauh bagaikan langit dengan bumi jika mahu dibandingkan dengan insan bernama Muhammad Nazreen bin Pauzan, yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 Februari 2015, meniti dibibir yang mengenali bahawa dia seorang anak yang taat, tidak pernah membentak, tidak melawan, dan diredhai oleh mama dan ayahnya. Insyaallah. Pemergiannya pemergian yang baik. Sehingga hari ini dirindui oleh mama dan ayah. Mohon hadiahkan al-fatehah dan doa “Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu ‘anhu” buat sepupu saya ini. Al-fatehah. Terima kasih sudi menyinggah. Mungkin catatan ini lebih penting buat saya sendiri, mungkin juga bermanfaat buat anda. Semoga bertemu lagi. Wassalam.

RUJUKAN

- https://aqilahnik.wordpress.com/2013/12/22/tips-jadi-anak-soleh-solehah-amin/

DIRIMU AYAH


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan buat pembaca blog dan entri saya pada kali ini.

Tersenyum-senyum saya keseorangan di hadapan laptop. Bukan apa, sebab teringat kembali kisah bagaimana saya mula belajar solat untuk pertama kalinya bersama ayah. Sebelum saya bercerita, dan memanjangkan perkongsian saya, seperti biasa, saya mahu mengingatkan diri saya dan pembaca sekalian agar ucapkanlah Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah dengan nikmat Iman dan nikmat Islam. Dengan nikmat iman dan nikmat Islam ini mudah-mudahan kita dapat juga membezakan yang mana yang hak untuk kita syukuri dan mana satu yang batil yang seharusnya kita kesali.

SAAT-SAAT SWEET BELAJAR SOLAT

“Ayah, along nak solat. Ayah ajar boleh?” kelihatan ayah sedang berbaring di atas katil bujang di dalam sebuah bilik kecil tingkat bawah rumah arwah nenek.

“Boleh, pergi ambil air sembahyang, pakai telekung, along tahu pergerakan kan?” seingat saya ketika itu umur saya sekitar darjah 1, 2 atau 3. Lewat sebenarnya. Namun syukur ada kemahuan untuk belajar. Tambah syukur kerana ayah begitu supportive untuk mengajar dan merasakan tanggungjawabnya untuk mengajar. Walaupun di sekolah ada diajarkan cara-cara menunaikan solat, namun sekolah kebangsaanlah katakan, tiada pula diDIDIK sampai pandai. Maka, kenalah usaha sendirikan?

Saya berdiri menghadap kiblat, membelakangkan ayah yang masih berbaring.

“Usolli fardhu zohri ….” Ayah bersuara. Saya turuti setiap bacaan ayah di dalam hati, berserta pergerakan yang sesuai dengan qaulinya.

“Allahuakbar,” satu persatu rukun dilepasi sehinggalah selesai. Begitulah hari demi hari sehinggalah kini saya dapat menunaikannya sendiri.

AYAH SAYA

Ayah. Zakaria Bin Talib. Kekurangannya pasti ada. Tak dinafikan kerna mana ada manusia yang sempurna? Usianya semakin bertambah, anak daranya seorang ini pula semakin mendewasa. Begitu juga anak bujangnya yang seorang.
Ayah seorang yang sangat supportive. Dalam banyak sudut, banyak hal. Walaupun adakalnya ayah menentang, namun tentangan ayah ada sebabnya. Ada yang dirisaukannya. Maaf ayah begitu mudah diperoleh. Kekecewaan ayah pada anak-anak tidak pernah diluah dengan kata-kata. Begitukah sifat seorang lelaki mungkin?

Penglibatan aktif di sekolah hinggalah ke kampus tidak pernah ayah bantah. Malah ayah sering memberikan sokongan moral dan kata-kata perangsang agar anaknya terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang baik yang dapat mendorong ke arah pembentukan diri yang baik. Ayah jarang marah. Dan jarang diluahkan dengan kata-kata.

“Takpe long, along tumpukan pada kejayaan diri along,” baru-baru ini bila saya kecewa. Yang sedikit lebih dihargai. Kata-kata yang pendek tetapi saya tahu, ayah begitu mengambil berat perasaan dan keadaan anaknya.

APA YANG ANDA TAK TAHU TENTANG SEORANG AYAH?

Mungkin ibu lebih kerap menelefon utk menanyakan keadaan kita setiap hari.. Tapi tahukah kita, sebenarnya ayahlah yang mengingatkan ibu untuk menelefon kita?

Ayah selalu tanya," Telefon lah anak kita tu tanya dia macam mana kerja.."

Semasa kecil, ibu lah yg lebih sering mendukung kita..Tapi tahukah kita bahawa sebaik saja ayah pulang bekerja dengan wajah yang letih ayahlah selalu menanyakan apa yg kita lakukan seharian..

Saat kita sakit atau demam, ayah sering membentak "Kan ayah dah kata jangan main hujan?? kan ayah dah bagitau jangan minum air sejukk?? ". Tapi tahukah kamu bahawa ayah sangat risau.??

Ketika kita remaja, kita meminta izin untk keluar malam. Ayah dengan tegas berkata "Tidak boleh!"..Sedarkah kita bahawa ayah hanya ingin menjaga kita? Kerana bagi ayah, kita adalah sesuatu yang sangat berharga.
Saat kita sudah di percayai, ayah pun melonggarkan peraturannya. Maka kita telah melanggar kepercayaannya... Maka ayah lah yang setia menunggu kita di ruang tamu dengan rasa sangat risau.. ayah marah kita.. tahukah kita yang ayah taknak apa2 terjadi dekat kita bila keluar lewat malam?

Setelah kita dewasa,ayah telah menghantar kita ke sekolah atau kolej untuk belajar.. Di saat kita memerlukan macam-macam, untuk keperluan kuliah kita, ayah hanya mengerutkan dahi. Tanpa menolak, beliau memenuhinya..

Saat kamu berjaya..Ayah adalah orang pertama yang berdiri dan bertepuk tangan untukmu..Ayah akan tersenyum dengan bangga.. walaupun kadang2 ayah macam buat tak tau tapi tahukah kamu sebaik kamu pergi, ayah ceritakan dekat ibu kekaguman dia terhadap kita?

Sampai ketika jodoh kita telah datang dan meminta izin untuk mengambil kita dari ayah.. Ayah sangat berhati-hati mengizinkan nya..Dan akhirnya.. Saat ayah melihat kita duduk di atas pelamin bersama pasangan kita..ayah pun tersenyum bahagia.. Apa kita tahu,bahawa ayah sempat pergi ke belakang dan menangis? Ayah menangis kerana ayah sangat bahagia..Dan dia pun berdoa "Ya Tuhan, tugasku telah selesai dgn baik..Bahagiakan lah putera puteri kecilku yg manis bersama pasangannya"..

Setelah itu ayah hanya akan menunggu kedatangan kita bersama cucu-cucunya yg sesekali dtg untuk menjenguk..Deng an rambut yg memutih dan badan yang tak lagi kuat untuk menjaga kita.. Itulah pengorbanan seorang ayah..

Apakah kita masih belum sedar? masih memandang kemarahan ayah itu alasan untuk kita bencikan dia? percayalah.. dia orang yang paling rindukan kamu walaupun kerinduan ibu lebih menyerlah, tak dinafikan kerinduan ayah terhadap kita mungkin melebihi kerinduan ibu dekat kita.. kita cium pipi ibu, ayah hanya tersenyum melihat..

Tahukah kita yang kita telah berlaku tidak adil terhadap ayah?? apakah ayah tak layak mendapat ciuman sama yang kita berikan dekat ibu? kamu lupa masa kamu kecil, ayah mendukung kamu dan mencium kamu??

# fikir-fikirkan lah wahai kawan-kawan.. ayah dan ibu ade lah sgale galenya.. jgnlah sesekali abaikan mreka..dan jangn sesekali membenci mereka..apa bila anda di tegur atau di marahi kerana teguran mereka untuk kebikan kita semua...syggi la mereka semasa mereka msh ada di dunia ini...:')

SUMBER
-          - Solusi

-         -  Facebook Dato’ Tn Ibrahim B. Tn Man


RINDU SEORANG IBU

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah swt yang telah memberi kita peluang demi peluang bagi mengecapi kehidupan di dunia ini yang sebenarnya, dan sebenar-benarnya, setiap hari baru yang kita sedar dari 'syahid sughra' itu, adalah peluang untuk kita memperbaiki diri, memenuhkan bekalan sendiri bagi menghadapi perjalanan yang panjang dan begitu jauh lagi selepas ini. 

Siapa sangka, hari ini adalah milik kita lagi? Dan siapa sangka, mungkin INIKALILAH yang terakhir buat kita?

Sesungguhnya, saya melihat banyak yang saya pelajari dari orang lain bagi melayari bahtera perjalanan kehidupan ini. Jatuh bangun itu bukankah lumrah? Kegagalan dan kejayaan dalam kehidupan adalah pengalaman manis dan faktor pembentuk kematangan diri. 

Tuan puan, akak abang, adik-adik pembaca yang saya hormati sekalian, maaf saya bertanya, masih ibu dan ayah? 

“Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya”
[Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari]

"Tertanam naluri keibuan amat mendalam di jiwa insan yang mendambakan kebahagian, oh ibu, di bahumu tergalas beban, perjalananmu penuh rintangan, kau titipkan kasih sayang sejujur pengorbanan, takku nafikan. Di saat kita berjauhan, terasa inginku berlari, mendakapi penuh girang, bak si kecil kehilangan."

Ingat lagi kisah seorang adik bernama Siti Hajar? 
Yang pernah saya gunakan medium blog saya sebagai perkongsian penulisan dari ibunya? 
Pernah saya bicarakan soal pengorbanan ibu dan ayahnya?

Kisah yang terpapar di mana-mana, akhbar, majalah, malah di blog-blog. 

Sejauh mana pengajaran itu tersentuh di jiwa kita duhai pembaca yang dihormati sekalian?

Hari ini, 12 Julai, kisah itu mengimbau kembali, dan sehingga hari ini saya gagal memastikan saya menziarahi keluarganya, di wall facebook, melalui ID Muaz, ibunya mencoretkan suatu perkongsian bermakna...

"Semalam hari pertama berpuasa. Dapat peluang berbuka puasa dgn Sheikh Prof Dr Athiah Mustafa Muhamad, dr Al Azhar, yg menjadi tetamu Pej Mufti NS. Beliau sudi mengimamkan solat terawih kami pada malam itu. Bacaannya merdu semerdu bacaan Sheikh Shurim. Sewaktu sampai, kami terlihat kelibat seorg gadis bertubuh kecil molek berjubah, bertudung labuh serta berpurdah (Satu suit purple). Serta merta kami semua terkenangkan seseorg. Semasa berterawih, sekali lagi gadis tersebut solat betul-betul sebelah mak. Penampilannya semakin menyayat hati. Tanpa telekung, dia terus solat bersama pakaian yg dipakainya itu, ditambah dengan stokin belang biru. Kalaulah jubah, tudung dan stokin itu berwarna pink, tentu saling tak tumpah mcm akak. Gerak gerinya cukup lembut, sewaktu bersalaman dgn mak, jari jemarinya juga halus-halus mcm akak. Hati mana yg tak sebak? Hati mana yg tak rindu."

Andai kita pergi mendahului, mungkin inilah yang ibu rasa. 
Dan saat andai ibu pergi, pasti jiwa ini turut meronta. 
Takdir menentukan segala. 
Peluang yang ada jangan pernah kita persia. Menjadi anak soleh solehah penyejuk hati dan jiwa, bermanfaat buat mereka di dunia dan akhirat. Jadilah kita anak-anak yang baik. Insyaallah, mudah-mudahan.

Semoga bermanfaat buat diri ini dan pembaca. Marilah saling ingat mengingatkan ke arah kebaikan. Insyaallah.
Saya yang menyampaikan bukanlah bererti saya yang terbaik.
Wassalam.


Sebahagian Hikmah Sepanjang Bersama Almarhumah Siti Hajar


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.

Segala puji bagi Allah swt atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam. Mintalah kepada Allah swt tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke syurgaNya dengan iman. Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati. Selawat dan salam atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw.

TANGGUNGJAWAB DAN KASIH SAYANG
Pada suatu malam, sedang saya mengulangkaji pelajaran di meja belajar, maklumlah ketika itu masih dalam minggu peperiksaan, mendapat panggilan telefon,

“Nadia, Nadia ada paper tak esok?”

“Takde kak, Cuma nanti bila dah start berderet. Kenapa kak? Ada apa-apa ke?”

“Nadia, tasnim accident. Nak minta tolong Nadia ke sana boleh?”

Terdiam seketika.. menelan air liur.. ‘Adik aku.’ Tasnim merupakan salah seorang ahli Badar UTeM yang komit dan sangat rapat dengan saya. Persoalan dari ahli rumah tentang dengan siapa tasnim accident, mereka naik apa, kemalangan langgar apa, dijawab dengan wajah yang risau tanpa kata. Linda, sahabat saya diminta untuk sama bersiap menemani saya. Tanpa banyak soal dan tanya, dituruti sahaja.

“Nadia boleh pergi hospital ke? “Tak kisah ke?”

“Takkan kes camni ana nak berkira kak?” Respon saya begitu spontan.

SETIAP YANG BERLAKU ADA HIKMAHNYA
Setibanya di hospital, kami ke sana ke mari mencari adik-adik kami. Seorang wanita bertudung labuh dan sopan berbaju kurung menghampiri kami.

“Dari UTeM ke?”

“Ye makcik. Makcik?”

“Makcik mak Hajar.” Ujar makcik memperkenalkan diri. “Ada di zon merah katanya.” Berkerut dahi saya.

“Zon merah? Teruk tu.” Bisik Linda (ada yang panggil Dayang) menghampiri saya. Abg Rahman (yang merupakan mantan YDP Badar UTeM sesi 2010/2011) yang telah menguruskan mereka sedari awal mereka diturunkan dari ambulan meminta diri kerana ada peperiksaan esok harinya. Malam itu juga, Ibu Solehah datang dari Terengganu, baru lepas seminar terus ambil flight ke KL dan terus bergegas ke sini bersama dengan ayahnya dan beberapa orang ahli keluarga. Ayah Siti Hajar kelihatan gelisah, ke hulu dan ke hilir. Ibu ayah Azizue juga datang ke hospital beberapa hari selepas itu dari Terengganu, kemudian dibawa pulang anaknya. Tasnim yang mengalami kecederaan paling ringan malam itu kami hantar pulang ke hostel atas permintaan dia. Kawasan tempat menunggu kecemasan kelihatan ramai orang dengan kehadiran sahabat-sahabat dari UTeM dan luar UTeM. Malam itu, hanya tinggal Azizue dan Hajar yang dinantikan berita.

Sekitar jam 8pagi sehari selepas kejadian berlaku, saya datang semula ke hospital. Terus ke zon merah hospital, dimaklumkan Siti Hajar telah dipindahkan ke wad icu Mawar. ‘Allahuakbar, kenapa sampai icu?’ Mujurlah pagi itu bersama dengan kakmiza. Kakmiza menemai Azizue dan saya bergegeas ke icu. Sampai di icu, “Siti Hajar? Awak siapa? Doktor cari waris.” Kata nurse di situ.

“Makcik pergi mana?” Saya mengomel sendirian. “Takpe la, saya pergi cari sebentar.”
Tak tahu saya nak gambarkan bagaimana situasi makcik masa saya jumpa dia di tempat menunggu kecemasan. Masih tersenyum, tetapi, tetapi, tetapi, jalannya, cara cakapnya, jelas menunjukkan dia tidak tidur sepanjang malam, semestinya tidak juga makan.

“Makcik.. mari ikut saya meh, doktor cari…” Diikutkan sahaja ke mana arah yang saya pimpinkan.



KASIH AYAH TIDAK DILUAH DENGAN KATA-KATA
Selesainya semua paper, saya bersama beberapa orang sahabat mengambil barang-barang Siti Hajar di hostel untuk diserahkan kepada keluarganya. Janji untuk berjumpa dan pindahkan barang dari kereta ke kereta di hospital sahaja.

 “Assalamualaikum pakcik, saya dah on the way ke hospital. Pakcik di mana ya?” saya memulakan bicara di telefon dengan salam.

“Pakcik ada kat wad ni. Taukan wadnya?” Seakan meminta saya hadir. Asalnya tidak berhajat untuk naik berziarah, kerana ada urusan yang ingin dikejarkan selepas itu. Namun hati saya kuat ingin datang juga ke wad walhal jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 7 malam, menunjukkan masa melawat telahpun tamat. Dengan izin Allah, makcik guard buat tak nampak sahaja masa saya masuk, dan tiada pula yang meminta saya keluar. Apakah yang Allah nak tunjukkan sebenarnya?

Langkah terhenti saat melihat Siti Hajar dari jauh. Hati tertanya apa yang berlaku? Penuh dengan tong-tong gas di tepi-tepi katil. Update dari mesej makcik gagal untuk buat saya gambarkan situasI yang saya lihat depan mata ketika itu. Mungkin kerana itulah juga pakcik minta saya datang. Dengan laju saya melangkah mendapatkan makcik. “Dia tak boleh nak bercakap.” Suara makcik seakan tegas. Pakcik pula minta saya bercakap dengan Hajar, seboleh-boleh minta saya duduk dekat dengan Hajar di sebelah katil, saya turutkan dengan perasaan serba salah. Saya menelan air liur menahan rasa sebak yang memenuhi dada. ’Nadia kau jangan nangis Nadia..’ seakan memujuk diri. Saya senyum sungguh-sungguh, memandang matanya seolah memberi semangat yang sedia ada kuat.

Saya usap dahi Hajar. Saya nampak dia menarik nafas dengan sungguh-sungguh. Makcik kata dia sedang melawan rasa sakit. Nampak wajahnya begitu semangat walaupun telah dililit dengan wayar-wayar.  

“Hajar kena kuat tau.” Saya tersenyum seolah memberi kata semangat. Itu sahaja yang terucap. Kalau tidak, saya yang menangis di situ rasanya. Saya pandang pakcik dan memberi isyarat untuk ke kereta. Allah mudahkan urusan untuk membantu keluarga ini. Banyak sangat. Kebetulan kereta diparking rupanya searas sahaja. Masa pindahkan kereta, suara pakcik lemah dengar dia jawab telefon.  ‘Prestasi dia makin menurun.’ Jawab pakcik pada yang menelefon.

Selesai angkat barang, saya minta diri. “Terima kasih ye. Terima kasih tolong Hajar.” Nampak airmata pakcik mengalir, suara terketar. Saya tak tahan… tunduk dan bergerak cepat. Dah tak tahan dah masa. Airmata dah cukup takung. Sambil memandu saya menangis tersesak-esak.

PENGORBANAN AYAH DAN IBU
Makan minum mereka tidak terjaga, bayangkan pakcik tidak makan ubat darah tinggi setelah berhari-hari bermalam dan menghabiskan masanya di hospital. Malah nama ubat juga dia terlupa. Melihatkan wajah pakcik, melihatkan wajah makcik, saya teringat ayah dan ibu saya.

Ya Allah, adakah kerana ini Kau minta kami sebagai anak jangan sekalipun berkata ‘ah’ kepada ayah dan ibu kami? Walau mereka teruk? Walau mereka buat maksiat? Tidak layakkan kami membenci mereka? Ya Allah….

Malam saat diberitahu untuk ‘melepaskan’ anaknya, pakcik memberi pelbagai alasan. Nanti atok marah, nanti itu.. nanti ini.. lebih rela dia menanggung anaknya yang sudah sepastinya lumpuh daripada kehilangan? Begitu berat gambaran untuk dia melepaskan Hajar pergi. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Kalaulah saya ditempat Hajar saat itu, 1001 penyesalan saya gambarkan. Betapa saya bukan seorang anak yang baik.. menanti penuh sabar.. dia pasti seorang anak yang baik. Sehingga makcik menyatakan syukur kerana diberi pinjaman Allah dengan seorang anak yang baik selama 20 tahun. Kita? Adakah selama mana umur kita hidup sudah cukup kita menjadi anak yang baik kepada ayah dan ibu kita?

Berbuat baik kepada ayah dan ibu merupakan amanah. Jawatan kita sebagai seorang anak adalah amanah. Kita yang masih hidup, salah satu jawatan kita adalah sebagai seorang anak. Sekalipun ayah dan ibu dah pergi, kita tidak akan diturunkan pangkat melainkan kita sendiri yang mendahului. Kerana saat itu, terhenti sudah segala amal kita. 

Firman Allah swt di dalam surah al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umut empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata, “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk dan patuh kepadamu).”