"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."
Memaparkan catatan dengan label Abdullah Muti'ah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Abdullah Muti'ah. Papar semua catatan

DUA RAMADHAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera!

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulilllah, bersyukur tidak terhingga kita kepada Allah swt atas segala nikmatNya, segala perhatianNya, dengan kasih sayangNya dan kehadiranNya sentiasa bersama kita, hamba Allah swt ini. Hamba yang sesungguhnya, hakikatnya sentiasa memerlukan Dia.

Apa khabar pembaca sekalian?! Mudah-mudahan sentiasa dalam lindungan rahmat kasih sayang Allah hendaknya. Semoga kita masih dalam usaha yang tidak putus-putus bermuhasabah diri dan mencari-cari jalannya untuk kita peroleh keredhaan Allah dalam kehidupan di dunia menuju akhirat. InsyaAllah ye pembaca sekalian....

Baiklah, dalam entri pada kali ini, merupakan apa yang telah lama saya ingin kongsikan, dan alhamdulillah, saat ini berkesempatan. Alhamdulillah. Tajuk yang saya beri pada entri saya kali ini adalah, "Dua Ramadhan".

Pada suatu hari, saya mengenali seorang lelaki, lalu jatuh hati padanya. Jatuh hati pada apa yang ada padanya. Sekadar apa yang diketahui dan dikenali tentangnya saat itu. Di situ bermulanya istikharah. Istikharah tentang... bersediakah dengan pernikahan? dan istikharah, adakah dia calon yang tepat? 

Sepanjang perkenalan itu, sering hadir teka teki, tarik tali dari empunya diri, perbincangan keluarga dan teman-teman, adakalanya meyakinkan, dan adakalanya meragukan. Setiap kali ragu, istikharah menjadi jalan penyelesaian. Setiap kali selesai solat, sering mendapat kepastian dan ketetapan hati. 

Itulah Ramadhan pertama, tahun 1435H iaitu pada tahun 2014, saya nekad, ingin sekali mendapat jawapan. Adakah dia lelaki yang akan mengambil saya sebagai istrinya? Pembaca sekalian, saya berkongsi agar kalian yakin, bahawa istikharah itu sangat indah. Jika itulah orangnya, akan didekatkan, jika bukan maka akan dijauhkan. Saya pernah gagal dalam perhubungan sebelum itu, dan dengan istikharah juga dia semakin jauh. Dan dengan istikharah juga, yang didekatkan adalah yang kini menjadi suami saya. 

Ramadhan tahun itu, setiap hari saya wajibkan diri saya untuk menunaikan solat taubat, agar dosa bukan menjadi penghalang antara kita dengan Allah wahai pembaca sekalian. Istighfarlah walau sependek "Astaghfirullah" sebanyak 100x. Dan kemudian dirikanlah solat Hajat, mohon hajat kita, mohon jangan biar kita sendirian di dunia ini. Dan kemudian, dirikanlah solat Istikharah. Mohonlah petunjuk, daripada Allah, "Ya Allah, jika dia baik untukku, baik untuk agamaku, baik untuk keseluruhan penghidupanku, maka dekatkan dia denganku, tetapi andai dia tidak baik untukku, tidak baik untuk agamaku dan tidak baik untuk keseluruhan penghidupanku, maka jauhkanlah dia daripadaku, dan gantikanlah tempat dengan yang lebih baik ya Allah." Saat itu, dan hampir setiap saat itu, air mata akan mengalir.... kerana terasa sebak... betapa terlalu perlunya pada Allah di saat itu. Dan seusai itu, hati menjadi tenang... Seakan telah diserahkan segalanya yang terbaik akan hadir daripada Allah. 

Semakin hari, dia semakin rapat dengan keluarga. Semakin banyak petunjuka diperoleh. Sehinggalah pada suatu hari, "Ibu, saya nak masuk meminanag yaya... Boleh tak bu?"

Dan sehinggalah ke suatu saat yang lain.... "Along, Harith, ibu dah bincang dengan keluarga, dan keluarga semua setuju, bulan 3."

Dan sehinggalah ke suatu saat yang lain lagi..."Bulan 3 tu... 6hb Mac jatuh hari Jumaat, 7hb pula jatuh Sabtu, oklah, 6hb tu nikah, 7hb majlis. Lepastu majlis belah lelaki pula boleh serentak dengan majlis sepupu Harith."

Dan sehinggalah ke suatu saat yang lain lagi.... "Aku terima nikahnya Nor Nadia Binti Zakaria dengan mas kahwinnya 1 dinar emas tunai...." dan.... "Sah."

Ramadhan Kedua... seperti biasa duhai pembaca sekalian, dah kahwin, semua risau tentang anak pula kan? Aduhai manusia ini akan sentiasa berharap dan berhajat. Begitulah. Tahun 1436H, iaitu 2015, 3 bulan berlalu, setiap kali uzur, seringkali saya risau. Risau, adakah rezki anak untuk saya? 

Hamba yang penuh dengan pengharapan, hari pertama di bulan Ramadhan, solat taubat menjadi pilihan pertama. Saya manusia pendosa, penuh dengan dosa ya Allah.. sungguh, hanya Allah tutup aib saya, Kalaulah dosa itu berbau, alangkah malunya saya, pasti tercium bau yang amat busuk.... Allah... dan kemudian, hamba ini meminta penuh berharap... "Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku dan dosa-dosa suamiku..ya Allah... sempena Ramadhan tahun ini, rezkikanlah kami anak ya Allah..." 

Hari pertama Ramadhan, saya berpuasa penuh, sedangkan sepatutnya hari saya dah "cuti" dah. Tapi saya dapat puasa full! Kemudian hari kedua, pada malam itu, perut saya sangat sakit, dan saya tidak dapat tidur... pada fikiran kerana malam itu saya makan durian. Kemudian hari ketiga. Kemudian keempat dan sehinggalah hari ketujuh Ramadhan, waktu "cuti" dah terlalu lambat. Suami pula mengadu sering mual-mual. 

Pada hari Isnin, saya nekad, saya ke Mydin Melaka untuk mendapatkan Pregnancy Test, dan terus buat test tersebut di tandas Mydin! Tersandar, mengalir airmata, sebab saya fikir apa..... "Ya Allah... aku pendosa.... tapi kau dengar doa aku... berkat Ramadhan ya Allah....." Saya sedih, sebab saya sering lalai... saya selalu lupa Allah... tapi Allah dengar juga doa saya... 

Dua Ramadhan yang saya maksudkan aitu Ramadhan pada tahun 1436H (2015) dan 1435H (2014), jika saya berpeluang suka saya kongsikan dengan kenalan-kenalan saya, sebab saya semakin merasa istimewanya Ramadhan, maka jangan persiakan. Dan sebenarnya, bukan Ramadhan sahaja, tetapi sebenarnya Allah sentiasa hampir dengan hampirnya, apatahlagi jika hambanya mahu dan ingin semakin dekat denganNya. 

Maka wahai pembaca sekalian, carilah Allah. Jika kita lalai, kita pernah lalai, kita pernah jauh dari Allah, kembalilah. Allah akan sentiasa menerima kita, jangan lepaskan peluang ini. Jangan sesekali!

Allah.... Maha dekat!!

Sekian.

Semoga bermanfaat buat hati, khususnya hatiku sendiri.

MENGENALI DIA YANG TERINDAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan buat pembaca blog mahupun entri saya pada kali ini.

Pertama dan selama-lamanya, bersyukur kita kepada Allah swt dengan kurniaan rahmat dan kasihNya melalui pelbagai cara. Subhanallah… Patutlahkan Rasulullah pernah kata, “Salahkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur…” tatkala ditanya mengapa Rasulullah saw beribadah sehingga bengkak-bengkak kakinya walhal baginda merupakan calon yang pastinya akan masuk syurga, merupakan kekasih Allah yang nama baginda telahpun terlakar sejak Nabi Adam a.s baru diciptakan lagi. Allahurabbi..

DIA?
Ya, Dia. Dia yang menciptakan kita. Dia yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Memiliki, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pengampun, dan semua nama-namaNya yang terindah. Dialah Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah cinta teragung dan yang kekal abadi dan hakiki.

Pernah bermain teka teki, ayam atau telur yang wujud dulu? Ahah, ada yang kata ayam, sebab ayam yang bertelur. Kemudian ada juga yang kata telurlah wujud dulu kemudian barulah ayam! Aik, yang mana satu ni? Tak kisahlah siapa pun dulukan, yang pasti siapa yang menciptakan ayam dan telur ayam itu? Sepastinya Allah yang menciptakan. Begitu juga dengan diri kita. Ibu ayam hanya sebagai perantara adanya telur dan kemudian menetas menjadi anak ayam dan seterusnya menjadi ayam dewasa.

MENGENALI DIA
Mengenali Dia sang Pencipta merupakan fitrah kita, fitrah manusia, semulajadi yang ada pada hati ini, ingin mengetahui siapakah yang menjadikan alam ini. Melainkan golongan ateas yang berpegang kepada kefahaman bahawa dunia ini terjadi dengan semula jadinya. Namun sebagai Muslim, hendaklah kita yakin dan percaya bahawa setiap makhluk ada penciptanya dan pencipta yang teragung adalah Allah swt..

Di dalam hadis Qudsi, Allah berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya Aku telah menciptakan semua hamba-Ku dalam cenderung kepada kebenaran, namun syaitan-syaitan mendatangi dan menjauhkan mereka daripada agamanya. Syaitan-syaitan mengharamkan apa-apa yang telah Aku halalkan dan menyuruh manusia untuk mempersekutukan diri-Ku dengan sesuatu yang tidak memiliki kuasa apa-apa.” (Riwayat Muslim)

YANG TERINDAH
Mengenali Tuhan kita menjadikan jiwa kita tidak kosong, tidak kering dan penuh bermakna. Kita pasti akan merasakan ketenangan, merasakan kehadiran Dia dalam setiap waktu dan ketika. Merasakan bahawa Dia sentiasa melihat kita, sentiasa sudi mendengar keluhan kita.. Tiada halangan dan batasan untuk kita terus-terusan berhubung dengan Allah swt.

Ibn Taymiah berkata, “Sesungguhnya kelazatan, kegembiraan, kenikmatan dan kebahagiaan yang tidak mungkin digambarkan dengan kata-kata hanya boleh kita rasai apabila mengenal Allah, mentauhidkan-Nya dan beriman kepada-Nya. Hati tidak akan merasai kegembiraan dan kelazatan sempurna melainkan apabila mencitai Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.”

MAKRIFATULLAH
Abu Ali al-Daqqaq menyebut, “Makrifah dalam lisan para ulama bermakna ilmu. Setiap ilmu ialah makrifah. Dan setiap makrifah ialah ilmu.”
Manakala Muhammad bin Fadl pula menyebut, “Makrifah ialah hati yang selalu hidup dengan Allah.”
Maka apa yang kita mesti dalami adalah nama-nama dan sifat-sifat Allah. Apabila kita dapat salami, hayati dan merasakan kesemua sifat dan nama-nama Allah, insyaallah benih-benih makrifah akan tertanam di dalam hati kita. Semakin kerap kita memikirkannya, semakin bertambah ilmu kita tentang Allah. Hatta, keserabutan yang melanda dek kerana cabaran dalam kehidupan pastinya dapat dihadapi dengan tenang…

Kata Abu Ali al-Daqqaq, apa katanya? “Makrifah melahirkan ketenangan dalam hati. Sesiapa yang bertambah makrifatnya, maka bertambahlah ketenangan dalam hatinya.”
Dan, Ibn Umar berkata, “Apabila seorang manusia hanya takutkan Allah, maka tidak ada sesuatu yang mampu menyakitinya.”

BAGAIMANA?
Berusahalah kita untuk menghafal nama-nama Allah, menghayatinya dan mengaitkan setiap kejadian dalam kehidupan kita dengan nama-nama tersebut.

“Setiap kali melihat penguasa jatuh hina lihatlah Allah di sebaliknya. Setiap kali melihat orang miskin yang menjadi kaya, Allah juga berada di sebaliknya. Segala sesuatu yang berlaku, semuanya adalah atas kehendak dan kuasa Allah. Jika kebiasaan ini terus kita lakukan, maktifat kita akan meningkat.”

Berkata Muhammad bin Wasi dalam al-Ta’aruf: “Setiap kali aku melihat sesuatu, aku melihat Allah bersamanya.”

Zun Nun al-Misri pula menyatakan, “Tiga tanda keyakinan: Melihat Allah pada segala sesuatu, merujuk kepada-Nya pada segala sesuatu, dan meminta bantuan daripada-Nya dalam segala sesuatu.”

Ibn al-Qayyim menjelaskan dalam kitab al-Fawaid, “Allah menyeru seluruh hambaNya dalam al-Quran untuk mengenaliNya menerusi dua cara. Pertama dengan mengamati perbuatan-perbuatanNya. Kedua dengan memikirkan dan menganalisis ayat-ayatNya. Yan pertama ialah ayat-ayat Allah yang terlihat, manakal yang kedua, ayat-ayat Allah yang terdengar.”

Selain itu, kita hendaklah berusaha untuk khusyuk di dalam ibadah kita kepada Allah. Hadirkanlah Allah di dalam hati yang merupakan roh untuk menghidupkan ibadah tersebut. Jika tidak, ibadah yang kita lakukan hanyalah menjadi rutin harian yang tidak mampu membawa kepada nilai-nilai pembaikan pada diri kita.

“Ibadah tanpa makrifatullah ibarat jasad tanpa roh.”

AKHRI SEKALI
Say, “I Love you so, Allah.”

Budail bin Warqa berkata, “Siapa yang mengenali Allah, dia pasti jatuh cinta kepada-Nya.”


Selamat “bertaaruf” dengan Allah. J


MAKA TAATLAH KITA AKAN PERINTAH ALLAH


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat semua pembaca yang saya hormati sekalian.

Pertama-tamanya dan selama-lamanya mari kita rafakkan rasa syukur kepada Allah swt dengan lafaz ‘Alhamdulillah’, segala pujian bagi Allah yang telah memberi kita dengan pelbagai nikmat. Walaupun masing-masing ada ujian yang sedang dirunsingkan, ada yang menggelisahkan jiwa, yang hampir memecahkan kepala, namun ingat, ujian yang diberi percentnya tidak sebanyak nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Bukankah begitu? Nikmat yang tidak terhitung banyaknya.

Bagi yang tidak buta, hakikatnya Allah beri nikmat mata. Bagi yang tidak bisu, hakikatnya Allah beri nikmat mulut. Bagi yang tidak pekak, hakikatnya Allah beri nikmat telinga. Bukankah dengan mata kita dapat membaca al-Quran, memandang wajah para ulama’, memandang ayah dan ibu, membaca buku-buku ilmiah pengisi jiwa? Bukankah dengan mulut kita dapat berzikir, bermuzakarah, bermua’malah dengan manusia? Bukankah dengan telinga kita dapat mendengar ceramah-ceramah agama, mendengar nasihat, mendengar azan? Nikmat mana satukah yang kita dustakan? Makanya, say ‘thank you Allah. Alhamdulillah.

MANUSIA DAN AIR MANI
Hari itu saya baru tiba di Johor. Lama sudah tidak balik negeri sendiri. Alhamdulillah masih diizin Allah. Kebetulan pula, malam itu ada ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Cahaya Baru. Wow! Ustaz Azhar di Jay Bee!

“Along, malam ni Ustaz Azhar kat Cahaya Baru tau!” saya tersengih. Pernah juga saya nak ajak ibu dan ayah tengok video Ustaz Azhar, tapi takut mereka tidak memahami loghat bahasa Terengganunya tu. Tak sangka pula, selama mana saya tinggalkan rumah, mereka dah mula minat dengan kuliah Ustaz Azhar. Itulah, don’t judge before you try ajak ye! Can be applied dalam kita dakwah. ‘Mungkin dia taknak kowt..’ walhal kita belum pernah ajak lagi. Malam itu, kami pergi juga ke kuliah Ustaz Azhar, walaupun serasa badan agak penat juga. Namun, peluang datang belum tentu ada kali yang kedua.

Para pembaca yang saya hormati sekalian, tuan puan, ibu ayah, adik-adik, akak-akak, abang-abang, kalau kita tengok air mani, geli tak? Saya cuba search something related to write dari google search tentang air mani, tetapi akhirnya terhenti kerana terasa geli mahu dibaca. Hehe. Sungguh. Mana tidaknya, tajuk-tajuk yang keluar semua pelik-pelik, air mana dalam cawanlah dan sebagainya. Allahuakbar.. tak sanggup saya nak baca. Apatahlagi mahu ditulis kembali di sini untuk dikongsi. Tak perlu kot.

Mengimbau kembali ilmu yang diajar oleh guru dulu, kejadian kita pada mula-mula sekali adalah dengan bersatunya air mani ayah dan ovum ibu. Bermakna, air mani itu adalah asal kejadian kita. Yang kita kata, ‘eeeeeee…air mani!’ ye, itulah asal kita. Kita adalah air mani yang juara menembusi ovum ibu. Hina rupanya kita ni. Astaghrifullah..


ALAM JAUH HEBAT DARI KITA
Saya nak Tanya, kita dengan burung siapa lagi hebat? Cuba lihat burung, burung mampu terbang. Kita boleh terbang? Cuba diri di atas bumbung rumah, then terjun, kepakkan tangan. Boleh terbang? Tapi janganlah ye, saya sayang anda, don’t try it at home. Jadi, hebat tak burung? Hebatkan?  

Kita dengan gunung, siapa lagi hebat? Gunung yang menjadi paku kepada bumi, kita besar atau gunung besar? Sepastinyalah gunungkan? Kita nak daki gunung pun tercungap-cungap. Tak mudah nak daki gunung. Hebat tak gunung? Hebatkan?

Kita dengan harimau, siapa lagi hebat? Main kejar-kejar dengan harimau, mestilah kita kalah. Setuju? Atau mahu sahut cabaran saya untuk menewaskan harimau dalam pertandingan lumba lari dengan harimau? Terpulanglah. Hebat tak harimau? Semestinya harimau lebih hebat.


MAKA IKUTLAH HUKUM ALLAH
Melihatkan kepada penciptaan kita yang berasal dari mani, membandingkan diri kita dengan alam, ayat yang menyentap jiwa saya ketika Ustaz Azhar sebut,

“Jadi kenapa sombong sangat???? Manusia dari air mani, air mani tu diri kita.”

Allahuakbar, hinanya air mani bermakna hinanya kita. Apabila ulama’ tegur, kita tidak mahu terima. Hukum Allah, kita tak mahu laksana. Kenapa kita lawan Allah? Dibandingkan kita dengan alam, kita adalah penciptaan yang paling lemah.. tetapi, kita menang sebab AKAL. Dan yang paling menang adalah akal yang dipandu oleh wahyu. Kerana akal kita diangkat mulia, ‘walaqad karramna Adam’.

Kita semua dari Adam a.s. Adam a.s dari tanah. Hawa pula dari tulang rusuk Adam a.s. Dari zaman Nabi Adam a.s sehinggalah Nabi Nuh, manusia masih tidak menyembah berhala. Namun selepas Nabi Nuh a.s, manusia mula menyembah berhala. Malah, kaabah yang merupakan kiblat buat ummat Islam pada hari ini pernah dipenuhi dengan berhala-berhala sembahan manusia sebelum berlakunya peristiwa pembukaan Kota Mekah.

Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah Ayat ke 21 yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! sembahlah Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dan ummat sebelum kamu, agar kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.”

Oleh itu, taatlah kita kepada Allah swt mengikut kemampuan kita. Sembahlah Allah, membawa erti susah payahnya kita untuk taat akan perintah Allah. Seorang hamba Allah adalah siapa yang bersusah payah untuk Allah. Kerana satu masa nanti kita juga akan mati. Kita tidak akan bawa apa-apa melainkan sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan amal. Hatta raja juga akan mangkat. Qarun suatu ketika dulu, yang paling banyak harta juga telah mati. Allah ciptakan dari tiada kepada ada adalah untuk membuktikan kebesaran Allah swt.

“Nak selamat, jadi hamba Allah, jangan jadi hamba manusia. Bila takbir (takbiratul ihram), haramkan diri kita berhenti kalau dah habis sebut ‘Allahu akbarrr’. Melainkan yang melibatkan nyawa,” pesan Ustaz Azhar Idrus.

“Tak baca sudah,” mudah. 5 minit sudah selesai. Islam lebih mudah dari dunia sebenarnya. Namun, nafsu yang menampakkannya susah dan berat.

Islam itu mudah dan tidak payah. Misalnya, di dalam rukun solat, yang wajib hanyalah alfatihah, jika tidak dibaca surah alfatihah, solat kita sah. Hadiriliah majlis, dan tingkatkan amal ibadah kita. Qiamat dalam pengetahuan Allah, kerja kita adalah berbuat ibadah.

Akhir kalam, pepatah arab mengatakan, terimalah yang benar walaupun keluar dari mulut lembu yang bodoh. Ustaz kata apa? “Ikut kebenaran, jangan ikut lembu!” Haha, berderai gelak semua. Namun, dalam maksudnya. Saya yang menyampaikan bukanlah bererti sayalah yang paling baik dari kalangan kalian. Sama-samalah kita update and upgrade diri ke arah menjadi hamba Allah yang terbaik. Insyaallah. Wassalam.




Duhai Ramadhan Yang Bakal Pergi


                                                                بسم الله الرحمن الرحيم
                Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat pembaca yang dikasihi sekalian.

Ramadhan semakin hampir ke pengakhirannya. Aduhai, kehadiran Syawal bagaikan terlebih dahulu diraikan melebihi penyempurnaan Ramadhan sehingga saat-saat yang dijanjikan untuk meraih takwa banyak dilepaskan. Lagu-lagu raya semakin rancak kedengaran. Hanya IKIM.fm yang masih memujuk jiwa yang masih ingin meniti dan ‘memujuk Ramadhan agar jangan pergi dulu’.

Menyedari Ramadhan yang kita lalui pada kali ini semakin hampir meninggalkan, termenung seketika memikirkan sama ada peluang ini akan hadirkah lagi pada masa akan datang? Pastinya tiada seorang pun yang ada jawapannya. Bukanlah maksud saya untuk menghalang para pembaca sekalian daripada kita menyambut Syawal dengan meriahnya, tetapi saya ingin memastikan agar kita benar-benar kembali kepada matlamat asal kita untuk melaksanakan dan mengisi Ramadhan kita dengan pengisian yang sempurna. Sungguh, peluang untuknya masih ada, masih ada. Ayuhlah wahai diri, ayuhlah wahai pembaca yang budiman sekalian, kita nikmati indahnya malam-malam 10 Ramadhan terakhir untuk berbicara dengan Pencipta di saat yang lain begitu asyik dengan buaian mimpi yang lena.

Sepertimana dengan Bazar Ramadhan, makin banyak keluar duit, makin banyaklah 'belian' juadahnyakan? Begitulah perumpamaannya, makin banyak masa menonton, makin game, borak-borak dan pelbagai perkara lagha yang kita korbankan untuk melaksanakan ibadah kepada Allah, pastinya banyak jugalah hasilnya insyaallah. Namun, yang pasti, dan lebih penting, diterima oleh Allah swt hendaknya. 

Dan dalam doa-doa kita untuk mendapatkan keampunan Allah, mendapat redha Allah, memohon kepada Allah diberi kekuatan agar kita istiqamah, janganlah kita lupa untuk selitkan juga doa untuk saudara-saudara kita di Syria, di Palestin, di Rohingya dan seluruhnya agar dilindungi oleh Allah, dan disentuh hati kita ini agar tidak ketinggalan daripada mengambil berat tentang ummat Islam.

Akhirnya, marilah kita ‘update dan upgrade’ diri kita untuk memastikan prestasi puasa kita pada tahun ini masih berterusan hingga ke akhirnya. Jika masih kurang dan tidak berpuas hati lagi, kita masih ada sisa-sisa waktu untuk kita memecut menuju ke penghujungnya dengan sebaik-baik dan semampu kita. Insyaallah. Semoga Allah berikan kita kekuatan tersebut. Berdoalah kepadaNya. Lahaulawalaquwwataillabillah.. 


SUASANA SEKELILING (BIAH) RANGSANG DIRI

 بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera.

Pertama dan selamanya kita bersyukur kepada Allah swt yang sentiasa memberikan nikmat kepada kita yang tidak terkira banyaknya. Moga-moga kita tergolong dalam golongan hamba-hamabaNya yang sentiasa bersyukur. Salah satu cara untuk kita membuktikan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah swt adalah dengan cara kita menggunakan segala nikmat yang diberikan kepada kita ke arah kebaikan, ke arah keredhaanNya dan ke arah perkara-perkara yang bermanfaat sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain.

Antaranya pada saya adalah 'menjejakkan kaki' sekali lagi ke bulan Ramadhan. Segala pujian bagi Allah swt. Pastinya diri yang begitu banyak kekurangan amal ibadahnya dan banyak dosanya, Ramadhan pastinya tidak sewajarnya dibiarkan berlalu begitu sahaja. 

Ramadhan, bulan pesta ibadah, bulan penuh berkat, bulan yang bersejarahkan perjuangan ummat Islam di dalam perang BADAR, menggambarkan betapa kencangnya keimanan mereka pada ketika itu. Ramadhan pertama disyariatkan kepada mereka untuk berpuasa. Dan mereka mengangkat senjata dan berlawan dengan musuh dalam keadaan mereka sedang berpuasa. Subhanallah! Mereka adalah generasi didikan Rasulullah saw.

Suasana mampu mempengaruhi diri kira. Jika suasana ketika itu, biah solehah dalam kalangan ummat Islam begitu masyhur dan dirindui, ketika ini terasa hangatnya keindahan Islam apabila berada dalam kalangan sahabat-sahabat seperjuangan. Bangun sahurnya, qiamullailnya, mathuratnya, sungguh mereka adalah wanita-wanita yang saya kagumi. Tidak sempat untuk saya bermalas rasanya, kesungguhan mereka memanfaatkan setiap ruang Ramadhan turut mendorong diri saya untuk melakukan perkara yang sama. 

Istilah 'ikut-ikut' bukan masalahnya, apa salahnya kalau ia mampu menjadi perencat untuk turut sama melakukannya? Itulah yang saya rasa setiap kali bersama dengan sahabat-sahabat BADAR. Ramadhan bersama mereka. Berbuka bersama mereka, setiap waktu solat ditemani mereka. 

Di bulan-bulan biasa, kita memberi alasan, syaitan suka kacau kita! Betul tu, syaitan dan nafsu 'bekerjasama' untuk merosakkan diri kita. Namun, di bulan Ramadhan, kita hanya ada 1 musuh. Ye, betul, nafsu juga sukar dilawan, tetapi jika dibandingkan di bulan biasa, syaitan lagi... So, lawan-lawan! Kita didik nafsu kita, jangan biarkan dia terus 'nakal'. 

Terlalu banyak ibrah yang mampu diperoleh jika kita banyak menggunakan akal kurniaan Allah ini. Akal juga adalah nikmat Allah swt yang membezakan kita dengan haiwan. Jika kita tidak menggunakan akal, serupa sahaja kita tidak memilikinya, betul? 

Akhir kata, selamat berpuasa, selamat melalui hari-hari di bulan Ramadhan ini penuh ceria, penuh bersemangat. Banyakkan istighfar, moga dosa-dosa kita diampukan oleh Allah swt. Apabila saya memberi nasihat, bukanlah saya yang terbaik. Lain orang, lain cara penulisannya di blog, saya hanya menyediakan 1 cara, jika tidak berminat, hish tiada masalah bagi saya. :) Sekadar perkongsian ringkas dari saya, moga bermanfaat. Jumpa lagi!

Semakan harian:
- Solat Sunat Tahajjud, Dhuha, Hajat, Taubat, Witir, Rawatib dan sebagainya
- Baca Al-Quran, Mathurat dan sebagainya
- Solat Fardhu secara berjemaah, khusyuk dan sebagainya
- Kulimin, Tazkirah, Baca buku ilmiah, Dengar IKIM, Dengar ceramah agama di You-tube, dan sebagainya