Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Seusai kelas tamat hari ini, 25 Mac 2014, Selasa, berhenti rehat sebelum ke lab petangnya, jam 2 hingga 5, saya melangkah ke Pusat Komputer di kampus tempat pengajian atas urusan akademik. Terpandangkan inbox pada email, lalu mengingatkan kembali pada pesan mak (mak kepada Hajar), katanya dia ada hantar email untuk saya baca.
Mak, tak pernah pun jemu mengingatkan, berusaha meniupkan roh-roh dakwah agar ianya tidak terpadam dalam diri saya dan anak-anak muda, jiwa-jiwa muda yang seharusnya terus bergerak dan kencang dalam rentak dakwah. Namun, jiwa muda inilah yang selalunya lalai dan alpa, hanyut dalam hiburan yang sering melalaikan.
Maka, tidak hairanlah lahir mujahidah seperti Hajar.. Sungguh akak cemburu padamu dek..
Saya kongsikan kepada anda, tulisan mak..
Allah...Allah...
Allah...Allah...
Bismillahirrahmanirrahim
Pada awalnya kami keberatan
menukilkan kisah perjalanan akhir Siti Hajar kerana bimbang disalahertikan.
Sejujurnya kisah itu terhasil dari permintaan
Siti Hajar sendiri kerana rasa terhutang budi yang menggunung tinggi terhadap
setiap insan yang telah membantunya selepas kemalangan itu, ditambah pula dengan
permintaan yang kuat dari sahabat-sahabatnya yang ingin tahu perkembangan Siti
Hajar semasa di dalam Hospital. Disebabkan sewaktu kemalangan itu berlaku,
rakan-rakannya sedang menghadapi peperiksaan akhir, dan sukar pula untuk
melawatnya kerana beliau di tempatkan di wad ICU. Terasa hiba hatinya melihat
kesungguhan teman-teman melawatnya walaupun di waktu yang sungguh tidak sesuai.
Sehinggakan, kedatangan pelawat yang terlalu ramai tersebut, telah mendatangkan
rasa tidak senang pihak hospital.
Keikhlasan Siti Hajar
dalam menjalankan tugas dakwah, `dibayar tunai ’ oleh Allah semasa saat-saat
akhirnya. Lalu Hajar berharap agar pengalamannya itu dirakamkan dalam bentuk
penulisan agar dibaca oleh rakan-rakannya sebagai `hadiah terakhir’ darinya bagi
me’motivasi’kan rakan-rakan, para mujahid dan mujahidah di luar sana.
Apa yang ingin disampaikannya
ialah janji Allah kepada mereka yang ikhlas berdakwah adalah benar. `Hadiah’
yang Allah sediakan untuk mereka sangat indah dan manis. Kerana sesungguhnya
tugas dakwah itu sangatlah berat dan melelahkan, ramai yang patah semangat dan
berhenti dipertengahan jalan. Lalu pengalaman Hajar ini adalah berita gembira
yang Allah sampaikan kepada kita semua supaya jangan berputus asa dengan RAHMAT
Allah yang tidak terhingga banyaknya. Pertolongan yang Allah beri juga adalah
benar dan ada pelbagai cara ianya disampaikan. Menjadi tugas kita untuk
memikirkannya dan bertasbih serta bertahmid mensyukuri nikmat-nikmatnya diatas
pertolongan-pertolongan tersebut.
PERIBADI HAJAR
Gadis bertubuh kecil ini,
pada zahirnya kelihatan pendiam tetapi kepada yang telah mengenalinya pasti
tahu bahawa beliau sebenarnya seorang yang sangat positif dan periang. Mulutnya
sangat petah berbicara dan kita boleh terpaku mendengar celotehnya tanpa sedar
masa berlalu. Seorang pelawak berbakat semulajadi, apa yang keluar dari mulutnya sering
mencetuskan gelak tawa. Hati-hati yang
sedang berduka pun akan tersenyum mendengar butir bicaranya. Memang sukar untuk
kita menahan gelak jika dia telah memulakan bicara. Biasanya dialah yang
menceriakan suasana seperti katanya sendiri…`Bila dia ada, orang kata bising. Bila
tiada….orang cari. Bila senyap, ditanya sakitkah? Bila dia dah pergi nanti….pasti
orang akan rindukannya.’
Tidak sukar sebenarnya untuk
bertegur sapa dengan gadis berwajah `baby face‘ ini. Umpamanya mungkin suatu ketika, sedang anda berjalan,
tiba-tiba anda disapa oleh seorang gadis yang bercakap seolah-olah dia telah
mengenali anda sepanjang hayat. Dia sangat peramah dan kelakar. Kalau anda dari
Kelantan, dia akan‘kece kelate’, jika anda dari Terengganu, dia akan gunakan
bahasa ‘ganu kite’. Jika anda dari Melaka, dia tidak kekok berbahasa Melaka dan
jika anda dari N.Sembilan, dia akan berbahasa‘nogoghi’. Andai anda bermasalah,
anda rasa selesa berkongsi masalah dengannya. Melihat airmukanya yang tenang
dan wajahnya yang polos, terasa anda meyakininya. Dan dengan senyumannya yang
murah, dia sentiasa cuba menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh kepada
anda. Anda segera akan rasa selesa berkawan dengannya. Jika anda melakukan
kesilapan dihadapannya, dia akan segera menegur dan membetulkan anda semula. Anda
mungkin sebenarnya telah pernah berjumpa
dengan insan yang bernama SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR.
SEJARAH HIDUP
Beliau dilahirkan pada
27hb Jun 1993, di Hospital Besar Kuala Lumpur. Memulakan persekolahan pada usia
4 tahun dipelbagai Tadika Islam. Menjejakkan kaki ke Tahun Satu di SK Sungai
Kantan di Kajang. Seterusnya menyambung
persekolahan di Sek Madinatul Ilmi,
Pondok Tok Kenali Kelantan di bawah kelolaan Ustaz Soleh, cucu Almarhum Ulama
Tok Kenali, yang ketika itu baru pulang dari Mekah. Pernah setahun, iaitu
semasa di darjah 5, beliau belajar
di Madrasah Darul Taqwa, Kuala Terengganu. Di sanalah, beliau diajar
pengajian akademik bersepadu dengan sistem pondok. Pelajar dididik dengan
akhlak yang baik, agar sangat mencintai Allah dan Rasul, menjaga hubungan
sesama manusia serta menjaga ADAB di hadapan Allah, Rasul, ibubapa dan guru-guru.
Hajar muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang di situ yang sangat disayangi
oleh guru-guru dan rakan-rakan.
Sebagaimana lazimnya bagi seorang pelajar pondok, menghafal surah-surah munjiyat terpilih adalah diwajibkan. Di dalam Al
Quran milik beliau, ada ditandakan surah-surah yang dihafalnya iaitu Al Mulk, As Sajdah, Al
Insan, Al Waqiah, Yassin, dan Ar Rahman sementara surah lain yang kerap dibaca
seperti Al Kahfi, Al Baqarah, As Soff, As Saffat, Al Jumuah, Al Hujurat, Al
Luqman, Al Maidah dan ‘Ali Imran. Surah-surah ini dibaca mengikut jadualnya
sendiri: ada yang dibaca setiap hari sebelum tidur, pada waktu selepas solat dan
ada yang dibaca bila berkesempatan kerana kekangan masa sebagai pelajar.
SEKOLAH MENENGAH
Seterusnya beliau
menyambung pengajian peringkat menengah di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota
Bharu, Kelantan. Di situ beliau mula diasuh untuk berdakwah tetapi kerana umur
yang belum matang, semua itu dipandang ringan. Tugas dakwah dilepaskan pada`
senior’ yang lebih syadid.
Semasa masuk ke Tingkatan
3, tempoh kerja ayahnya di Pantai Timur telah berakhir dan Siti Hajar dipindahkan
ke SMK Lubok Cina Melaka. Bertukar dari Sek Agama Perempuan ke sekolah
kebangsaan memang satu kejutan budaya bagi beliau. Di sini, terlalu banyak
masalah di kalangan remaja sekolah yang disaksikannya .Kelemahan akhlak di
kalangan remaja terlalu ketara. Sedikit demi sedikit beliau mula berdakwah
secara bersendirian di kalangan pelajar-pelajar perempuan. Segala ilmu yang
dipelajarinya di sekolah lamanya dimanafaatkan sebaik-baiknya. Dia bagaikan
kaunselor yang merawat jiwa-jiwa yang hilang arah. Pelajar-pelajar yang terluka
kerana ‘cinta monyet’ diajak bertaubat dan dipujuk mendekati Allah. Rahsia-rahsia mereka
disimpannya dengan teliti. Yang mana tidak mampu mengaji Al Quran, diajarkan
dengan sabar malah beliau menjadi Naqibah di asrama, membantu Ustazah mengendalikan
kelas mengaji. Masa berlalu, semakin ramai yang mendapat `sentuhan jiwa’ dari beliau
termasuk dari kalangan pelajar-pelajar lelaki.
Hajar mula rasa terbeban bergerak sendirian kerana persatuan ugama di sekolah
tidak cukup memainkan peranan yang sepatutnya. Fikirnya alangkah baik kalau ada Jemaah yang sama-sama memikul gerakan
dakwah di sekolahnya pada masa itu supaya pelajar lelaki boleh dibantu oleh
kaum sejenisnya sementara pelajar perempuan dibantu oleh sesama perempuan.
KOLEJ MATRIKULASI MELAKA
Doa Hajar diperkenankan
Allah. Menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Melaka adalah RAHMAT Allah untuk
memudahkan kerja dakwah beliau. Di sini, beliau dihimpunkan dengan rakan-rakan
yang sama bercita-cita untuk melihat Islam tinggi di muka bumi ini. Beban yang
berat terasa ringan apabila dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Dipilih
sebagai Naib Exco Publisiti di dalam Nadi Tarbiyah Pelajar, yang
bertanggungjawab mempromosikan aktiviti-aktiviti Nadi Tarbiyah. Alhamdulillah,
semua tugasan yang diberi, disempurnakan dengan baik dalam tempoh masa yang
ditetapkan.
Tugas dakwah menjadi semakin
menyeronokkan bila usaha mereka mula membuahkan hasil. Antara kejayaan terbesar
Nadi Tarbiyah Pelajar sepanjang setahun
itu ialah mengubah majoriti pelajar perempuan agar bertudung dengan sempurna
dan meramaikan pelajar lelaki bersolat jemaah. Dan diantara kursus yang paling
bermanafaat yang dianjurkan oleh NTP ialah kursus pengurusan jenazah. Apa yang indahnya
ialah apabila Hajar yang mengikuti kursus tersebut, menggunakan pengetahuannya
itu dalam menghadapi sakaratulmautnya sendiri dan rakan-rakannya yang turut
serta dalam kursus tersebut adalah rakan-rakan yang turut memandikan,
mengkafankan dan menyembahyangkan jenazahnya. Dulu itulah ikrar mereka, jika
mereka telah terpisah, andai ada yang mengadakan walimah, maka datanglah
memeriahkan suasana. Tapi andai ada yang dijemput Allah, maka datanglah memandikan,
mengkafankan, menyembahyangkan dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Belajar di UTeM
Timbulnya minat untuk
mempelajari MEDIA KREATIF sebagai pilihannya di UTeM, supaya mudah beliau menyampaikan
dakwahnya melalui media elektronik; menggunakan watak-watak animasi dan satira.
Waktu itu nanti, ruang lingkup dakwahnya tidak terbatas kepada khalayak
perempuan sahaja tetapi merangkumi kedua-dua jantina di seluruh dunia. Baru
sepenggal menjadi penghuni bumi bertuah UTeM, Hajar belum dapat mencurahkan
baktinya. Namun dia sempat mengambil bahagian di dalam setiap program yang
dianjurkan oleh BADAR. Mungkin kerana terlalu teruja untuk mempelajari
teknik-teknik pembikinan video, dia cuba
menyiapkan video pertamanya untuk kami saksikan. Janjinya, nanti dia akan membaiki
lagi mutu videonya bila ilmunya bertambah dan secepat mungkin dia akan mula
berdakwah di internet. Malangnya, umur beliau telah sampai ke penghujungnya.
Bagaikan tahu hayatnya
semakin singkat, sebelum kemalangan tersebut, beliau sempat menghubungi
rakan-rakan lamanya dan berpesan agar mereka meneruskan dakwah tanpa henti. Pada
muslimat, ditekankan bersungguh-sungguh agar terus kuat dan agar meletakkan
malu pada tempat yang sesuai. Padanya muslimat perlu berani dan lantang
bersuara pada waktu yang sepatutnya, perlu yakin mengeluarkan pendapat dan
tegas dalam menjalankan tugas dakwah. Seolah-olah beliau ingin berpesan, `saya
akan pergi dan kamu semua adalah pengganti saya’. Ramai rakan-rakan lamanya telah
terkesan hebat dengan obor semangat yang dibakarnya dan mereka sedang bergerak
aktif di saf kepimpinan Islam universiti-universiti seluruh Malaysia.
Pada Hajar, apapun
pandangan orang lain terhadap kerja dakwahnya, tidak berbekas dihatinya kerana
apa yang penting adalah REDHA Allah sahaja.
PERANAN HAJAR SEBAGAI PENDAKWAH
WANITA
Terdapat perbezaan yang
jelas antara peranan Dakwah seorang
lelaki dan seorang wanita. Tugas pendakwah lelaki lebih berat dan
menyeluruh. Dia lebih terkehadapan sementara seorang wanita tugasnya lebih banyak
dibelakang tabir. Wanita menjadi tulang belakang yang menguatkan kerja dakwah
seorang lelaki. Seorang pendakwah wanita harus tahu ruang lingkup medan
dakwahnya supaya penglibatannya tidak mendatangkan fitnah. Dia harus tahu
batasan-batasan yang tidak boleh dilanggarnya semasa berdakwah. Janganlah
hendaknya kerana ingin berdakwah, kita menghalalkan segala cara.
Kebijaksaan pendakwah
wanita memilih medium untuk berdakwah terutamanya kepada golongan wanita
sendiri, akan memudahkan Islam disebarkan dengan meluas dibumi ini dan
ajarannya difahami dengan mudah. Pendakwah wanita harus melengkapkan diri dengan
pelbagai ilmu terutamanya fiqh untuk wanita. Hajar memainkan peranan yang
cemerlang dalam merangsang dakwah kaum wanita turut menggerakkan kaum lelaki
terutama sekali ayah dan adik-adik
lelakinya yang In Shaa Allah, kini sedang giat mempersiapkan diri
menyambung tugasan dakwahnya.
HAJAR SEBAGAI SEORANG ANAK
Adalah sukar untuk
memahami bagaimana seorang anak yang telah remaja, masih mempunyai ikatan
perasaan yang begitu kuat dengan orang tuanya. Hajar amat menghormati ibubapa
dan setiap hari dia meraikan ibunya. Hampir setiap hari dia menghantar pesanan
ringkas, berkongsi pelbagai cerita yang
dilaluinya. Padanya, ibu bukan sekadar ibu yang melahirkan, tapi juga sahabat karib,
guru dan mentornya dalam mengharungi hidup. Beliau berkongsi minat yang sama dengan
ayahnya dalam bidang komputer serta mengambil bakat ayahnya dalam watak ceria
dan gurau sendanya. Dalam banyak hal, pandangan ibubapa tidak pernah
diketepikan dan sentiasa minta didoakan yang terbaik untuknya.
Kami pernah menyarankan
agar dia menjadikan cara dakwahnya seperti serbuk kopi yang mampu mengubah air dengan lembut dan tanpa
paksaan. Tuntasnya, agar dia menyampaikan ilmu dengan berHIKMAH dan lemah
lembut dan supaya orang ramai `jatuh cinta’ dengan Islam selepas melihat
peribadi indah yang ditonjolkan oleh penganut islam itu sendiri. Kerana itu,
sentiasa kami katakan kepadanya, kami ikhlaskan hidup matinya di jalan Allah,
agar dia sendiri IKHLAS dalam setiap tindak tanduknya. Juga kami pesankan,
dakwah yang disampaikan dari hati yang ikhlas itu bagaikan cahaya, akan mudah meresap masuk ke dalam hati-hati yang mendengarnya.
PAHIT GETIR PENGALAMAN
SEORANG PENDAKWAH
Namun Allah tidak
menjanjikan laluan mudah kepada para pendakwah. Sesiapa yang mengaku beriman,
pasti Allah datangkan ujian untuk melihat sejauh mana keimanan hamba tersebut. Di
Kolej Matrikulasi Melaka, Hajar terkena gangguan jin (bukan kerasukan) sehingga
tubuhnya kerap kelesuan. Kami merawat beliau menggunakan rawatan islam dan kami
titipkan zikir- zikir untuk diamalkan bagi melindungi dirinya dari gangguan
tersebut. Itulah hikmah disebalik kejadian. Zikir-zikir yang diamalkan
dari gurunya Dato’ Sheikh Hj Mohd
Murtadza bin Sheikh Hj Ahmad, mantan mufti Negeri Sembilan, menjadi sebati
dengan diri dan mendekatkan hubungannya dengan Allah.
Sejak itu Allah sentiasa
di hatinya. Sentiasa dia memerhatikan alam sambil menghayati kebesaran Allah. Sentiasa
terasa Allah berada disampingnya, membantunya dalam setiap perkara. Setiap
urusannya diadukan kepada Allah. Allah dipilih sebagai pelindung dalam setiap
musibah yang datang. Di situ bermulanya kisah cinta hakiki seorang makhluk
kepada penciptanya. Sehinggakan saat-saat kematiannya bagaikan saat yang mengembirakan,
saat yang sentiasa ditunggu-tunggu dan tanpa rasa berat hati, dia terus minta
izin untuk melangkah pergi. Bagaikan sebelum pemergiannya itu, Allah telah dulu
menghiburkan hatinya dengan mempamerkan anugerah-anugerah yang indah. Kerana
itu, di wajahnya tiada terpancar sebarang kebimbangan dan dalam kesakitan, senyuman
masih tidak lekang dari bibirnya.
BERITA DARI ALLAH
Maha suci Allah yang Maha Mengasihani, sebulan sebelum
kemalangan tersebut, Allah telah
menyampaikan berita bahawa Hajar akan
diambil kembali untuk bertemu penciptanya. Dalam mimpi ibunya, Hajar telah dipakaikan pakaian pengantin keemasan
dan tetamu yang hadir memenuhi seluruh ruang dewan yang amat besar. Walaupun
pelbagai ikhtiar telah dilakukan tapi ajalnya sudah tidak boleh ditangguhkan
lagi. Dia pergi membawa hatinya yang suci bersih dan meninggalkan semangat
juangnya untuk diteruskan oleh seluruh rakan-rakan yang ditinggalkan. Lahirnya
dulu pada hari Ahad 8hb Muharram, perginya pula juga pada hari Ahad 8hb
RabiulAwal.
AKHIR KATA
Jika anda menyayangi Siti Hajar, dia juga menyayangi anda sebagai
saudaranya kerana orang Islam itu bersaudara. Siti Hajar mencintai Allah dan
Rasulnya, maka anda juga cintailah apa yang dicintainya. Jika anda menyanjung
Siti Hajar, maka dia tidak layak untuk menerima sanjungan itu. Dia juga manusia
seperti anda yang pernah melakukan kesilapan. Beliau hanya meneruskan jejak
dakwah idolanya iaitu Nabi Muhammad s.a.w., maka ambillah Nabi Muhammad s.a.w.
sebagai idola anda.
Hajar sebagai seorang mujahidah, terlahir dari hasrat seorang
ayah yang mahu anaknya menjadi pembela Agama Islam, lalu berkorban segala-galanya
untuk pendidikan anak tersebut. Hasrat tersebut dipermudahkan oleh Allah dengan
menghantarkan dia untuk dididik oleh guru-guru yang hebat dan dibimbing oleh
senior-senior yang lebih berpengalaman. Seterusnya tugas beliau disokong pula
oleh kehadiran sahabat-sahabat yang suci bersih hatinya dan ikhlas di dalam
persahabatan.
Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk dari
kelemahan kami sendiri. Semoga setiap yang mendengar perkongsian ini mendapat taufiq dan hidayah dari Allah dan
mengambil pengajaran yang berguna darinya. Amin 3x …Ya Rabbal ‘Alamin.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
:'( terima kasih atas perkongsian ini.
BalasPadam