"Dengan mengingati Allah, hati PASti akan menjadi tenang."

MILIKI SALAH SATU AKHLAK NABI MUHAMMAD SAW IAITU TIDAK MUDAH MARAH


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. jari letak di hidung, ada nafas lagi, maknanya Allah beri lagi nikmat untuk bernafas, dipanjangkan usia untuk memperbaiki diri lagi. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, keluarga dan para sahabat baginda.

BERTEMU BEKAS GURU SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA JOHOR BAHRU SEKETIKA
Suatu hari saya bertemu seorang guru yang saya sangat rindui bual bicaranya, nasihatnya, yang saya panggil namanya Ustaz Hakim. Sejak saya meninggalkan sekolah, Ustaz Hakim rajin sungguh menghubungi anak-anak muridnya termasuklah saya. Namun, saya sangat terkilan kerana saya sendiri yang sudah lama tidak menghubungi Ustaz Hakim. Ustaz sering bertanya khabar sekurang-kurangnya setahun sekali sejak 2008 saya meninggalkan sekolah! Sikapnya bagaikan satu gambaran bahawa dia bukan hanya seorang guru, malah seorang pendidik, yang banyak membentuk sikap saya dan menegur kekurangan saya sebagai seorang anak muda.

Selepas saya meninggalkan sekolah, ustaz mengalami masalah mata. Setelah sekian lama tidak bertemu, akhirnya diizankan Allah untuk bertemu dengan ustaz di mana dia sedang bertugas iaitu Sek Men Keb Sri Menanti, Muar. Sedih melihatkan keadaan ustaz. Mohon kalian doakan ustaz saya agar dapat kembali melihat semula. Penglihatannya begitu kabur.

“Doakanlah saya supaya dapat melihat semula. Saya teringin sangat nak baca quran. Saya bayangkan wajah awak ni masa sweet 17th lagila..” seloroh ustaz buat saya tersenyum lebar disamping airmata yang bergenang. Permintaannya sama seperti semasa dia menghubungi saya, katanya rindu mahu membaca al-Quran.

“Akhlaknya sama ye macam dulu? Masih pakai tudung labuh lagikan?” sayu hati saya mendengar bicara Ustaz Hakim.

 Gambar bersama Ustaz Hakim di Langkawi. Ketika ini Ustaz masih mampu menikmati keindahan pemandangan di sini.

Kerana kepercayaan sekolah dan usaha Ustaz, saya ke sana bersama Ustaz dan seorang lagi wakil dari kalangan pelajar lelaki.

Ketika Abang Raja Shamri datang ke sekolah, saya sebagai pengarah program. 

MUHASABAH AKHLAK
Pada 25 Januari yang lalu, saya mengikuti program bersempena maulidurrasul di SMKAJB. Bagaikan suatu hikmah menjentik hati memuhasabah diri, sejauh manakah peranan yang telah saya mainkan sebagai bekas pelajar sekolah agama di dalam masyarakat hingga ke hari ini?

Di sekolah, saya merupakan salah seorang ahli Badar. Badar? Ya, Badar, Badan Dakwah & Rohani.

“Apa beza yang Badar dengan bukan Badar ek?” lucu pula bila teringat soalan yang saya tujukan kepada salah seorang pelajar tingkatan 5 semasa aktiviti explorace. Sudah 6 tahun berlalu, sekolah tersebut menjadi memori. Kini pandangan saya berubah. Bagi saya, mereka ahli Badar sekolah ataupun tidak, mereka semua adalah Badar. Ya, di kampus, seharusnya merekalah yang menganggotai badan-badan dakwah!

“Owh saya kenal akak..” semasa berbual dengan salah seorang alumni generasi di bawah saya. Alangkah tidak pekanya saya tidak mengenali adik ini.

“Owh kenal eh? Yang selalu marah-marah kat atas kan?” perbualan kami ketika itu di surau sekolah. Surau sekolah memang besar, selesa, dan menjadi tempat kami solat berjemaah bersama-sama setiap waktu solat. Herm, ya, setiap waktu solat, rindunya.

“Haah kak, hehe,” dia tersengih. Saya juga tersengih, tapi tersengih kelat. Terbayang. Mempersoalkan. Muhasabah. ‘Apalah aku ni, masa tu marah-marah, buruknya.’

JANGAN MUDAH MARAH, MILIKI JIWA YANG TENANG
Di dalam Kuliah Zohor di TVAlhijrah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Radhi Bin Abdul Ghani mengatakan, sedangkan Islam mengajar kita untuk berakhlak tenang, tidak mudah marah. Hidup yang tenang akan tenteram. Kerana itu, Islam mengajar kita untuk berakhlak sedemikian.

Sewaktu di sekolah, (hatta mungkin juga sekarang), ramai yang apabila pertama kalinya bertemu dengan saya mengatakan saya ini garang, takut nak mula sapa. Allahu.. biasanya saya yang mulakan ‘sesi perkenalan’ bersama teman-teman baru. First impression.

Sebenarnya, apabila kita tidak mudah marah, kita akan mudah didekati. Namun, bagaimana untuk kita mengawalnya?

Pertama, bila rasa nak marah, ucapkan isti’azah atau ta’awuz iaitu A’udzubillahi minasy syaithanir rajim yang bererti aku memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. Kita perlu mengucapkannya dengan penuh penghayatan dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan perlindungan.

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi saw, dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah A’udzubillahi minash syaitan, nescaya kemarahannya akan hilang. [Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3282 (Kitab Bad’I al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya]

Kedua, bersegeralah berwuduk. Kerana lawan api adalah air.
“Kemarahan itu dari syaitan, sedangkan syaitan tercipta dari api, api hanya boleh padam dengan air, maka kalau kamu marah, berwuduklah.” [HR Abu Daud]

Ketiga, jika sedang berdiri, duduklah. Jika sedang duduk, berbaringlah.
Al-imam Ahmad dan Abu Dawud meriwayatkan hadis dari Abu Dzar bahawa Nabi saw bersabda: “Apabila salah seorang di antara kalian marah dalam keadaan berdiri duduklah, jika belum hilang maka berbaringlah.”

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredhai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredhai.”

Update, kita tengok balik diri kita, then upgrade, perbaikilah. Mudah-mudahan kita jadi seorang anak muda yang semakin hari semakin baik akhlaknya. Mudah-mudahan insyaallah. Saya yang menyampaikan bukan bererti saya yang paling baik akhlaknya. Wassalam


2 ulasan:

  1. SALAM. TEMAN BARU DISINI. TERINGAT SAYA KEPADA KAWAN2, GURU2 ZAMAN PERSEKOLAHAN > > >http://belogcharm.blogspot.com/2013/02/segmen-kenal-mengenali-sesama-blogger.html

    BalasPadam
  2. salam... meh sinngah kt blog sy meh hihi http://jiejie90.blogspot.com/ nk follow pun boley

    BalasPadam